'Sakit dada, sesak nafas...' Suami imbas akhir hayat wanita tinggi tular. Tidak tahu isteri hidap Sindrom Marfan, reda jodoh tak panjang
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/09/thumbs/900x900/3000203.jpg)
PEMERGIAN wanita yang mempunyai tinggi luar biasa, Nur Syahirah Saufi, 28, selepas lapan hari bergelar isteri tentunya memberikan kesan kepada si suami.
Muhamad Syahmi Zulkifli, 27, dalam hantarannya di TikTok menitipkan hantaran pilu memaklumkan jenazah wanita dicintainya itu selamat dikebumikan.
"Saya Muhammad Syahmi suami kepada Nur Syahirah. Di sini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan arwah isteri saya.
"Alhamdulillah ALLAH permudahkan semua urusan, arwah selesai dikebumikan selepas solat Jumaat, 7 Februari 2025," titipnya.
Beliau juga sempat mengimbas kembali saat akhir hayat Nur Syahirah sebelum pergi selamanya.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/09/3000202.jpg)
"Untuk menjawab persoalan yang di tanya berkenaan arwah, mungkin untuk dijadikan asbab.
"Pada malam hari Khamis 6 Februari 2025, selepas selesai makan malam, dia bagitau sakit dada, sesak nafas dan terjatuh sebelum menghembuskan nafas terakhir," kongsinya.
Manakala menerusi temu ramah portal berita tempatan, Muhamad Syahmi meluahkan rasa gembira berkahwin dengan Nur Syahirah.
Wanita yang disifatkan sebagai seorang isteri yang amat baik dan mengambil berat.
Malah katanya, beliau tidak tahu wanita berketinggian 186 sentimeter (cm) itu sakit dan didiagnosis Sindrom Marfan kerana kelihatan sihat.
Pun begitu, Muhamad Syahmi reda sempat berkongsi hidup selama lapan hari.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/09/3000204.jpg)
Beliau yang pulang ke Terengganu selepas beberapa hari berkahwin untuk bekerja sepatutnya kembali ke pangkuan isteri pada hujung minggu ini.
"Kami tidak sempat berjumpa apabila isteri meninggal dunia.
"Jodoh tidak panjang kerana hanya seminggu dapat hidup sebagai pasangan suami isteri," kongsinya.
Terdahulu, Nur Syahirah wanita yang memiliki ciri luar biasa itu pernah mendedahkan beliau dan tiga adik-beradiknya yang berketinggian 179 cm hingga 193cm mempunyai sindrom Marfan.
Sindrom itu jarang berlaku itu lazimnya dialami oleh mereka bertubuh tinggi dengan nisbah kira-kira 1 dalam 3,000 hingga 20,000 kelahiran.
Ia menyebabkan penghidapnya mengalami komplikasi pada jantung, paru-paru dan masalah rabun mata.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang