Sudah relaps dua kali, pemindahan tulang sumsum ikhtiar terakhir buat Syalia. Keluarga ini mohon doa dan sokongan dana orang ramai

No Image Caption
A
A
A

PROSEDUR pemindahan tulang sumsum menjadi ikhtiar terakhir buat Nur Syalia Syarafuddin selepas disahkan menghidap kanser leukemia limfoblastik akut (ALL) sejak tahun 2019.

Beritahu ibunya, Nurul Aida Raduan kepada SinarPlus, pada awalnya, Nur Syalia yang manja dipanggil Ya disangka sudah pulih sepenuhnya selepas sel kanser berjaya ‘direhatkan’ pada tahun 2020.

“Nak dijadikan cerita, Ya sempat sekolah dalam tempoh dua tahun enam bulan sahaja sebelum keadaannya kembali pucat, selain mengadu sakit sendi dan lemah badan.

“Masa itu, saya dan suami sudah nampak keadaannya tak ubah seperti waktu dia sakit dulu. Tak mahu bersangka bukan-bukan, kami terus rujuk ke klinik sebelum Ya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

No Image Caption

Pun demikian, apa yang dikhuatiri pasangan suami isteri berkenaan benar-benar terjadi. Sel kanser darah dikatakan kembali agresif dan merebak hingga 50 peratus dalam badan.

Artikel Berkaitan:

Sekali lagi, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dimasukkan ke Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur selepas dikhabarkan keadaannya lebih serius.

No Image Caption

Cerita Nurul Aida, dirinya sendiri tidak menyangka anak kelima daripada enam beradik itu boleh berdepan relaps atau penyakit berulang sebanyak dua kali.

“Sebagai jalan terakhir, kami akur dengan rawatan pemindahan tulang sumsum dan nasib baiklah anak keempat mempunyai genetik yang sesuai.

“Proses rawatan bermula 21 Mei lalu dan sedikit demi sedikit, saya nampak perubahan akibat kesan ubat. Dia nampak lebih murung, kerap cirit-birit dan tiada selera makan,” ujarnya yang menetap di Kampung Gelam, Melaka.

No Image Caption

Lebih memilukan, Syalia berdepan masalah ulser dalam mulut yang sangat teruk sehingga menyukarkannya untuk makan dan minum sehingga terpaksa bergantung kepada tiub makanan.

“Apa yang membuatkan saya sedih, Ya sudah tak seperti dulu. Dia sebenarnya jenis anak yang kalau boleh tak nak menyusahkan orang dan kalau sakit, dia sanggup tahan.

“Bila sakit berpanjangan, saya nampak dia depresi dan tawar hati. Lebih banyak tidur dan sudah tak seceria dulu. Barangkali Ya rindu nak balik rumah jumpa kakak, abang dan adiknya,” tutur ibu tabah itu.

Atas nasihat doktor, Syalia dibenarkan pulang ke rumah pada Jumaat lalu dan rawatan diteruskan di Hospital Melaka dan HTA Kuala Lumpur setiap tiga kali dalam tempoh seminggu.

Kewangan

Sibuk menguruskan Syalia dan berkampung di hospital hampir dua bulan, Nurul Aida bergantung harap dengan anak sulung dan anak kedua untuk menguruskan adik beradik lain.

No Image Caption

Muhammad Rizman Irfan Norizman, 14, dan adiknya, Nurul Qristina Amelia, 13, menjadi tulang belakang buat keluarga sekiranya si ayah terpaksa melakukan trip penghantaran jauh.

“Saya bersyukur anak-anak faham dan masing-masing tahu tugasan yang sudah diamanahkan. Moga ALLAH lindungi kami semua,” ungkapnya penuh sayu.

No Image Caption

Tatkala ditanya soal kos yang perlu ditanggung, ditambah masih mempunyai empat anak kecil yang masih bersekolah, suri hati kepada Syarafuddin Ismail, 35, akui, simpanan yang ada sekadar cukup-cukup makan.

Memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala dirinya suri rumah sepenuh masa, soal kewangan menjadi isu paling berat.

“Pendapatan suami paling banyak trip pun boleh cecah RM2,300. Tak cukup sebenarnya kalau nak biaya semua kos dengan perbelanjaan sara hidup yang semakin meningkat.

“Kalau dihitung, semua keperluan perubatan Ya seperti ubat, susu khas, lampin pakai buang dan kos ulang-alik ke hospital setiap minggu dianggarkan mencecah RM400 seminggu,” luahnya tanpa berselindung.

No Image Caption

Jika sebelum ini, duit simpanan berjumlah RM50,000 sudah digunakan untuk membeli tujuh botol ubat dengan harga ubat sebotol mencecah RM8,500.

Justeru, Nurul Aida memohon keprihatinan orang ramai untuk membantu meringankan kos yang ditanggung demi memastikan Syalia kembali sembuh sepenuhnya.

No Image Caption

“Kalau boleh, saya nak dia ada bersama kami selama-lamanya. Walau apa yang berlaku, saya tak nak fikir negatif dan berharap sangat Ya kembali sihat macam dulu.

“Selain itu, doa buat Ya juga penting supaya dia kembali bersemangat,” katanya yang menanggung lima lagi anak masing-masing berusia dua hingga 14 tahun.

Kepada orang ramai yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 04042021778937 atas nama Syarafuddin Ismail.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang