Terpaksa telan 17 biji termasuk ubat kemo setiap hari, derita Opa tak kesudahan selepas tanggung sakit buah pinggang kronik
“MAKAN ubat pun boleh mati!” Demikian kata-kata kesal yang diluahkan Siti Aufa Muhd Rosdi tatkala sudah patah semangat selepas menanggung sakit buah pinggang kronik.
Mana tidaknya, sebanyak 17 biji pil termasuk ubat kemoterapi terpaksa ditelan anak kelima daripada sembilan beradik itu hampir setiap hari sejak lima tahun lalu.
Barangkali melihat kondisi kesihatan masih tiada perubahan, ditambah dengan nasib yang ditanggung arwah si kakak yang menghidap penyakit sama membuatkan Siti Aufa atau manja dipanggil Opa kemurungan.
Kepada SinarPlus, ibunya, Suhada Hamzah memberitahu, walaupun memahami kesan ubat yang membuatkan si anak menderita kesakitan, namun itulah jalan ikhtiar terakhir untuk Opa.
“Ubat kemoterapi yang perlu dimakan memang membuatkan Opa panas satu badan. Bila jadi begitu, kepalanya kerap sakit sampaikan dia tak sanggup untuk meneruskan rawatan.
“Cuma saya boleh pujuk dan kata Opa sudah besar dan cerdik, umi nak Opa jaga diri supaya cepat sihat sebab bila umi tak ada nanti, dia boleh berdikari,” katanya yang nada sebak.
Selain menghidap sakit buah pinggang kronik disebabkan sindrom Nefrotik, remaja berusia 12 tahun itu juga menanggung penyakit darah tinggi dan sawan.
Mengimbau semula simptom awal yang dikesan, Suhada berkata, pelik dengan keadaan muka si anak yang sembam dan sukar untuk membuang air kencing mendorongnya untuk dirujuk ke klinik berhampiran.
“Saya dapat kesan masa Opa umur enam tahun. Dia kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan.
“Bila doktor sahkan penyakit buah pinggang, jantung saya macam terhenti tiba-tiba. Memang panik terkenangkan arwah anak, Siti Hawa yang meninggal dunia disebabkan sakit yang sama,” ceritanya yang menetap di Kampung Stong, Dabong, Kelantan.
Arwah Siti Hawa yang merupakan anak ketiga daripada sembilan itu disahkan sakit buah pinggang ketika berusia 2 tahun dan keadaannya semakin kritikal sebelum meninggal dunia pada usia 8 tahun.
Tidak mahu sejarah hitam yang meninggalkan trauma cukup mendalam kembali berulang, beliau berusaha sebaik mungkin supaya Opa menerima rawatan sepenuhnya.
Tanpa rasa lelah, ibu sembilan anak itu gigih berulang-alik ke hospital di Kota Bharu setiap bulan sebelum rawatan dipindahkan ke Kuala Krai disebabkan jarak lebih dekat.
Ujian berganda
Di sebalik kesungguhan seorang ibu yang sanggup berkorban apa sahaja demi melihat zuriatnya terus sihat, Suhada rupa-rupanya menanggung dua anak lagi yang diuji dengan kelainan kesihatan.
Anak keempat, Siti Soliha juga disahkan menghidap sakit buah pinggang yang dikesan pada usia 7 tahun selepas mengalami simptom serupa seperti kakak dan adiknya.
“Cuma Soliha dikesan selepas Opa. Nasib baiklah keadaan dia tidak seteruk Opa dan selepas bergantung dengan ubat, Soliha semakin pulih,” ujarnya yang tidak menyangka tiga anak menanggung sakit yang sama.
Selain Opa dan Soliha, anak bongsunya juga perlu mendapatkan rawatan susulan disebabkan komplikasi sumbing lelangit selepas dilahirkan.
Siti Fatima, 3, dikatakan mengalami masalah pertumbuhan tidak seimbang apabila berat masih di bawah 8 kilogram, selain belum boleh bercakap sempurna.
Asbab keadaan yang merungsingkan itu, si kecil yang sudah menjalani pembedahan sumbing pada tahun lalu memerlukan pemeriksaan lanjut di Kuala Krai setiap bulan.
Justeru, bergantung hidup semata-mata dengan bantuan kerajaan dan upah ajar mengaji al-Quran bagaimanapun tidak cukup untuk menampung keperluan hidup Suhada sekeluarga.
Apatah lagi, suaminya yang sebelum ini menjadi tulang belakang sudah tidak mampu bekerja disebabkan penyakit saraf rentetan kemalangan jalan raya dan insiden jatuh pokok.
Suri hati kepada Muhd Rosdi Ismail, 57, itu tanpa berselindung memberitahu, kehidupannya hanya cukup-cukup makan untuk menanggung tujuh anak yang masih bersekolah.
“Suami sebelum ini kerja kontraktor, tapi bila ditimpa kemalangan dua kali, dia sudah tiada kudrat seperti dulu. Sekarang ini, dia sanggup mendahulukan keperluan anak-anak tanpa mengisahkan dirinya.
“Bila mengenangkan suami dan anak-anak sakit, kadang-kadang membuatkan saya lelah. Namun kena terus kuatkan semangat supaya mereka kembali sihat seperti dulu,” katanya yang juga menghidap penyakit darah tinggi.
Kepada pembaca SinarPlus yang prihatin, sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0302041000125543 atas nama Suhada Hamzah.
Semoga setiap sen yang dihulurkan dapat meringankan beban yang ditanggung Suhada demi kelangsungan hidup dan rawatan susulan di hospital.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang