Tak perlu selalu jadi romantik, 'The Pocket Rocketman' kongsi tip. 'Barulah hati si isteri berbunga-bunga,  senyum sampai telinga'

No Image Caption
A
A
A

WANITA semula jadi sifatnya ingin dibelai dan dimanja serta mendambakan seorang suami yang romantik.

Mungkin sesetengah lelaki tiada sifat begitu, setidaknya cubalah belajar dan sesekali bertingkah laku romantik terhadap isteri supaya mereka lebih rasa dihargai dan disayangi.

Baru-baru ini, atlet negara yang terkenal dengan gelaran 'The Pocket Rocketman', Dato Azizulhasni berkongsikan tip menjadi suami romantik dan bertanggungjawab di laman media sosial miliknya. Malah, beliau juga akui dirinya tiada dalam senarai lelaki romantik yang akhirnya mengundang rajuk si isteri.

“Sejujurnya saya ni bukanlah romantik mana pun. Kalau nak ikutkan, saya ni komando punya style. Tegas, keras dan hati kering. Pada kebanyakkan masa saya cuba juga untuk imbangkan dengan kelembutan dan tolak ansur terutamanya bila dengan anak-anak. Akan tetapi ada juga waktunya bilamana komando tu terlebih-lebih isipadunya.

“Isteri saya ni selalu jugak cakap nak tu nak ni, bagi macam-macam hint sampaikan dia selalu juga cakap saya ni tak romantik. Saya pekakkan telinga je lah bila kena sound macam tu. Sebab orang lelaki kan penyabar dan lebih bijak," tulisnya di laman Facebook.

No Image Caption



Dalam pada itu, Dato Azizul yang mesra disapa ‘Jijoe’ ini juga beri persamaan sikap romantik dengan acara keirin yang mana kedua-duanya memerlukan teknik tertentu supaya tidak mudah basi.

“Seperti acara Keirin, kita kena ada perancangan yang teliti dan penuh dengan taktik untuk menewaskan pihak lawan. Jadi, dalam soal ini, pada percaturan saya, kalau kita selalu sangat over romantik ni, effect dia akan berkurangan. Tak payah pergi jauhlah, dalam penulisan pun tanda seru (!) hanya digunakan pada waktu yang tertentu sahaja. Kalau! Kita! Guna! Terlalu! Kerap! Dia! Akan! Jadi! Sakit! Kepala! Pulak! Kan?!.

“Walau bagaimanapun, we have to give credit when it’s due. Bila sampai waktu dan ketikanya, baru lah saya melakukan henjutan. Bagi saya, it’s all about timing. Bila henjutan dilakukan tepat pada waktunya, pihak lawan tidak dapat mengejar dan tidak sempat untuk memotong kita di garisan penamat, terus kita menjadi pemenang. Faham? Tak faham juga ke?," jelas beliau.

Tambah Dato Jijoe, sifat romantik ini memerlukan masa yang sesuai untuk dipamerkan. Hal ini barulah isteri tidak rasa bosan dan akan terkejut dengan kejutan istimewa yang diberikan. Barulah isteri makin sayang.

“Baik, bila sampai waktu dan ketikanya, saya akan keluarkan sifat romantis tu. Bukan tak ada, tetapi orang lelaki ni lebih gemar simpan romantik dia dekat hempedu. Bila romantik itu digunakan pada tempat dan waktu yang betul, maka effect dia akan jadi berganda-berganda.

"Barulah hati si isteri berbunga-bunga. Senyum pun sampai ke telinga. Percayalah nanti si isteri mesti akan bagi ungkapan “romantik juga you ni erk”. Tips saya, bagi jelingan maut, sengetkan sebelah je mulut dan jawab “I malas nak tunjuk je” sambil angkat kening dua kali," ulasnya.

No Image Caption



Namun begitu, dalam mengharapkan sang suami untuk menjadi seorang yang romantik, bersyukurlah jika mereka mampu untuk melaksanakan kewajipan yang termaktub dalam hukum. Malah, Dato Jijoe juga sempat menasihatkan para suami supaya tidak berkira dengan isteri.

Sudah semestinya, menjadi seorang suami mewajibkan anda menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bukanlah sekadar romantis sahaja. Apa yang perlu ditunaikan dalam Islam perlu dilaksanakan supaya perkahwinan itu mendapat keredhaan Allah SWT.

“Akan tetapi dia ada beda antara romantik dan kewajipan. Romantik tu benda yang si suami boleh play around ikut cita rasa. Tetapi kewajipan adalah benda yang telah termaktub dalam hukum. Satu lagi perkara yang penting saya nak kongsi berdasarkan pengalaman peribadi sendiri. Kita ni janganlah nak berkira sangat dengan isteri. Insan yang jaga makan minum kita, mendidik dan besarkan anak-anak kita dan sebagainya. Kalau kita buat semua ini kerana mencari keredhaan Allah swt, nescaya Allah akan melimpahkan dengan pelbagai kebaikan di dunia dan akhirat.”

*Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Al-Baqarah 261)," tutup kata dari beliau.

Kalau hari-hari romantik pun tak menarik juga kan? Sesekali pun tak mengapa asalkan tanggungjawab hakiki tidak culas. Kan?

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang