Tidak mahu anak tercicir pelajaran, bapa ini jalan kaki 6km hantar ke sekolah undang air mata. 'Kegigihan ayah jadi inspirasi'

No Image Caption
A
A
A

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Rasa tanggungjawab dan mahu anak perempuan selamat, seorang bapa sanggup berjalan kaki sejauh 6 kilometer (km) setiap hari semata-mata untuk menghantar permata hatinya ke ke sekolah.

Baru-baru ini tular kisah seorang bapa yang sanggup memerah keringat menghantar anak ke sekolah. Pendedahan kisah memilukan oleh aktivis Abbe Hae, atau nama sebenarnya Azhan Adnan, 56.

Beliau yang aktif melakukan kerja-kerja amal menemui keluarga kurang berkemampuan itu.

Mengagumi kegigihan si bapa yang tidak hanya berserah kepada takdir, lelaki itu sebaliknya mahu anak-anaknya berjaya dalam pelajaran walaupun hidup dalam serba kekurangan.

Melawat sendiri kediaman keluarga berkenaan di Kg Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan, Azhan berkongsi kepayahan yang ditanggung.

No Image Caption



Ujarnya, bapa berkenaan tiada pilihan melainkan terpaksa menghantar anak-anaknya dengan berjalan kaki selepas motosikal miliknya rosak dan tidak mampu menanggung kos pembaikan susulan masalah kewangan.

"Izara berjalan kaki ke sekolah setiap hari dengan ditemani bapanya.

"Pergi dan balik berjalan kaki dalam lingkungan 6 kilometer (km).

Artikel Berkaitan:


"Adakala dia ditumpangkan oleh penduduk kampung yang kebetulan terserempak dengan dua beranak ni ke sekolah.

"Terima kasih buat penduduk setempat yang prihatin dengan masalah anak beranak ini," kongsi Azhan di Facebook.

No Image Caption



Ujarnya lagi, bapa berkenaan akan berjalan kaki bersama dua orang anaknya di dua buah sekolah berbeza.

"Sekolah Izara agak jauh jika dibandingkan dengan sekolah kakaknya.

"Kakaknya di sekolah menengah dalam Tingkatan Dua yang mana jaraknya hanya 1.5km dari rumah. Jarak sekolah Izara pula 3km dari rumah dan Izara dalam Tahun Enam.

"Sebelum ini anak-anak ini dihantar dengan motosikal oleh bapanya. Namun malangnya motor itu dah rosak dan masalah kewangan menghalang untuk motor itu dibaiki," kongsinya.

Kegigihan dan kesanggupan warga emas itu dipuji Azhan dan berharap ia menjadi inspirasi.



"Apa yang menarik perhatian Abbe adalah tanggungjawab si ayah yang sanggup menghantar anaknya berjalan kaki ke sekolah agar anaknya tidak tercicir dalam pelajaran.



Satu komitmen yang harus diikuti oleh orang lain," katanya.

Dalam pada itu, menurut Azhan, si adik merupakan pelajar yang tekun dan berpotensi.

"Izara adalah anak yang rajin belajar. Sampai sahaja di rumah Izara terusbuka beg sekolah dan mengulangkaji pelajaran.

"Disebabkan komitmen Izara kepada pelajaran, maka Abbe akan sediakan biasiswa bulanan buat Izara bermula pada Oktober 2024," kongsinya.

Azhan melalui badan kebajikannya, Pertubuhan Jejak Jalanan berkata ihaknya akan menyalurkan bantuan untuk memperbaiki motosikal bapa berkenaan.

"Abbe telah minta bantuan pemberi maklumat untuk menghantar motosikal ke bengkel secepat mungkin agar mereka tidak lagi perlu berjalan kaki ke sekolah. Segala kos ditangung oleh pihak kami.

"Semoga Izara menjadi anak yang berjaya satu ketika nanti..

"Terima kasih buat pemberi maklumat, Jep dan imam Masjid Kampung Bukit Abal.

"Jutaan terima kasih juga buat penduduk setempat yang sering menumpangkan keluarga ini ke sekolah," katanya.

Warganet terharu dan sayu dengan perkongsian berkenaan menitipkan rasa simpati dan mendoakan agar keluarga berkenaan dimurahkan rezeki manakala Izara serta kakaknya berjaya dalam hidup.

Ujar mereka:

"Alhamdulillah orang macam inilah yang patut dibantu. Walaupun susah tetapi matang berfikir. Tetap hantar anak ke sekolah dan anak pula mahu berjaya serta berhati besar. Ayah yang baik dan sayangkan anak-anak akan sanggup berkorban apa sahaja."

"Alhamdulillah, semoga Izara berjaya dan menjadi anak yang solehah. Moga ALLAH pemudah urusan keluarga ini."

"Alhamdullilah.Terima kasih kerana membantu. Kami adik-beradik dahulu pun berjalan kaki 2.5km ke sekolah. Namun kami tidak sesusah adik keluarga adik ini. Pengalaman manis buat kami yang akan dikenang selama-lamanya."


Sumber: Facebook

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang