Tragedi asrama terbakar, berkat solat jemaah 91 pelajar selamat. 'Dengar kaca pecah, saya arah pelajar keluar'
SESUNGGUHNYA ALLAH sebaik-baik penjaga. Biarpun api marak membakar tingkat satu blok asrama, semua penghuninya terselamat.
Video kejadian tular di laman sosial memaparkan api marak memusnahkan asrama berkenaan dengan asap yang berkepul-kepul.
Seramai 91 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, Kuala Lumpur berusia 13 hingga 17 tahun bernasib baik apabila terselamat di dalam kebakaran.
Difahamkan ketika kebakaran pada jam 8.43 malam, kesemua pelajar dilaporkan selamat kerana kejadian berlaku ketika mereka berada di surau sekolah untuk menunggu waktu solat Isyak.
Berikut kronologi yang dikongsikan Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Japari Tajuddin:
1-Pihak bomba menerima panggilan kejadian pada 8.43 malam.
2-Sebanyak empat jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Sentul, BBP Jalan Hang Tuah serta BBP Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi bersama pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

3-Sebaik tiba, didapati kebakaran tersebut membabitkan tingkat satu bangunan asrama pelajar lelaki di sekolah berkenaan.
4-Operasi memadamkan segera dijalankan dan api berjaya dikawal pada 9.40 malam dan berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian dengan kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan 80 peratus.
5-Unit Forensik JBPM akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.
PELAJAR TIADA DI DORM
Difahamkan, ketika kebakaran yang memusnahkan asrama pada 8.30 malam, para pelajar tidak berada di dorm sebaliknya 91 pelajar lelaki sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak berjemaah di surau sekolah.
Sementara itu, memetik Kosmo, warden asrama, Muhd Nazmie Muhd Nasir, 31, meminta para penuntut beredar selepas mengesan mengesan tanda-tanda kebakaran.
“Lepas dengar bunyi kaca pecah, saya segera mengarahkan semua pelajar keluar.

“Sebaik terdengar dan mengesan tanda-tanda kebakaran, kami segera membunyikan loceng penggera dan mengarahkan semua murid berkumpul di kawasan selamat.
“Alhamdulillah, ketika kejadian itu semua penghuni bertindak pantas dan berdisiplin,” katanya.
Namun, kebakaran itu mengakibatkan pelbagai barangan milik pelajar dan sekolah seperti penghawa dingin, komputer riba, televisyen, mesin basuh, peti sejuk, pakaian sekolah dan pakaian harian yang tidak sempat diselamatkan menjadi abu.
Menurut Muhd Nazmie, blok yang terbakar mempunyai enam buah bilik secara keseluruhannya dan kesemuanya rosak teruk.
“Sekarang kami masih menunggu bantuan untuk membekalkan keperluan baharu kepada penghuni yang terjejas,” ujarnya.
Turut dimaklumkan, proses pembelajaran hari ini berjalan seperti biasa secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) selain guru-guru menyediakan modul latihan untuk pelajar yang tidak dapat hadir ke sekolah.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan dan tumpuan pada masa ini adalah memastikan keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah terpelihara.
TIP HADAPI ASAP TEBAL KEBAKARAN
Jika terperangkap dalam kebakaran, selain daripada api, perkara yang perlu anda beri perhatian ialah asap tebal.
Selain menyebabkan kesukaran bernafas, penglihatan mangsa juga boleh menjadi kabur dalam usaha mencari arah untuk keluar dari bangunan.
Situasi ini boleh menyebabkan kematian!
Berikut adalah enam tip yang perlu dilakukan apabila anda terperangkap di dalam kebakaran:
1- Sekiranya berada di dalam bilik yang dipenuhi asap, tutup hidung dan mulut anda dengan sehelai kain basah dan elakkan bernafas melalui mulut
2-Meniarap hampir dengan permukaan lantai kemudian merangkak ke arah keselamatan, dengan kepala anda sentiasa di bawah asap.
3-Jika terperangkap dalam kebakaran di bangunan tinggi, masuk ke dalam bilik yang selamat, sebaik-baiknya yang mempunyai tingkap terbuka, pengudaraan baik dan berhadapan jalan raya.
4-Tutup pintu di belakang anda dan tutup ruang di bawah pintu dengan selimut, kain atau fabrik lain bagi mencegah asap daripada memasuki bilik.
5-Pergi ke tingkap, jerit untuk menarik perhatian orang tentang kebakaran dan hubungi bomba jika berupaya.
6-Tenangkan diri dan jangan cuba melompat keluar dari bangunan yang tinggi.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Kosmo
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

