Tragedi berulang! Remaja tingkatan 2 tekap rakan asrama dengan seterika panas, ditempatkan di Henry Gurney. 'Saya buat untuk berseronok...'
ENTAH di mana silapnya, seorang remaja lelaki sanggup melakukan perbuatan kejam terhadap rakan-rakannya sendiri dengan alasan mahu “berseronok” tanpa memikirkan akibatnya.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah asrama sekolah dekat Matang, Kuching, pelaku yang juga pelajar tingkatan dua bertindak kejam apabila menekap lapan rakannya yang sedang lena dibuai mimpi.
Susulan insiden itu, Mahkamah Majistret Kuching telah mengarahkan agar remaja berusia 14 tahun itu ditempatkan di Sekolah Henry Gurney sehingga usianya mencecah 17 tahun.
Perintah tersebut diputuskan selepas pelaku mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan yang dibacakan di hadapan tiga Majistret iaitu Majistret Ling Hui Chuan, Mason Jaro Lenya Barayan dan Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Sebagai tambahan, mahkamah turut memerintahkan remaja berkenaan menjalani pengawasan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama tempoh setahun, selain ibu bapanya pula hanya dibenarkan melawat dua bulan sekali.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada 2 Mei lalu telah mengakibatkan mangsa yang berusia 13 hingga 15 tahun mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan termasuk lengan, betis, buku lali dan tengkuk.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu turut disaksikan sendiri oleh beberapa penghuni asrama lain.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan seterika panas untuk menekap badan mangsa.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin dan ASP Arman Ibrahim, manakala remaja itu diwakili dua peguam bela, Russel Lim dan Brandon Ling.
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
