Tular bas rombongan murid Tahun Enam dibaling batu, rupanya laluan terhalang. ' Ada kanak-kanak menangis ketakutan'
SEBUAH video memaparkan detik cemas apabila sebuah bas sekolah dibaling batu di tepi jalan berhampiran Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson muncul tular di laman sosial.
Lebih membimbangkan, kenderaan berkenaan membawa murid Tahun Enam yang sedang dalam perjalanan lawatan ke Kuala Lumpur yang secara 'terang-terangan' melihat perbuatan orang ramai itu.
Menerusi video berdurasi 39 saat yang ditonton 1.6 juta kali, kelihatan beberapa lelaki menjerit ke arah pemandu bas manakala murid-murid di dalam bas berkenaan sudah mula menangis.
"Ada kanak-kanak yang menangis ketakutan. Kereta parkir penuh di tepi jalan kerana sedang berlangsung hari lapor diri askar," kongsinya.
Memetik Sinar Harian, kejadian terbabit pada Rabu sekitar jam 8.30 pagi dan rombongan tersebut membabitkan tiga buah bas.
Seorang wanita yang mengaku sebagai salah seorang guru yang menaiki bas itu mendedahkan kronologinya.
"Sampai di depan PUSASDA, bas terpaksa berhenti disebabkan lauan sangat sempit kerana berselisih dengan lori tangki minyak dari arah bertentangan.
"Kemudian bas terpaksa berhenti agak lama kerana ada empat kereta dipakir secara bertindih selain kiri dan kanan bahu jalan penuh dengan kereta," katanya.
Tambahnya, pemandu bas terpaksa membunyikan hon agak lama supaya didengari oleh pemilik kenderaan tersebut.
Difahamkan, ada orang awam yang tidak berpuas hati memulakan provokasi dengan memaki hamun pemandu bas dan perbuatan itu kemudian diikuti beberapa orang awam yang lain.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Maslan Udin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.
Sumber: Sinar Harian, TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

