'Wajah mommy terbayang, syukur hak dikembalikan…' – 6 tahun berjuang, anak-anak menang tuntutan harta arwah Faziani Rohban

No Image Caption
A
A
A

ENAM  tahun bukanlah tempoh yang singkat. Itulah perjalanan getir yang terpaksa ditempuhi oleh Irdina Hakim Jasman dan adik-beradik, anak kepada pengasas Dnars, Allahyarham Faziani Rohban, selepas kehilangan insan tersayang dalam tragedi menyayat hati.

Ketika mahkamah mengarahkan suami arwah memulangkan semula RM1.3 juta yang menjadi hak keluarga, hanya satu wajah yang terbayang di minda Irdina – wajah arwah mommy.

No Image Caption

“Saya terus sujud syukur. Enam tahun cari bukti bukan mudah, tapi ALLAH hantarkan orang yang tidak dikenali untuk bantu.

"Kemenangan ini bukan sekadar tentang duit, ini soal hak kami adik-beradik,” katanya penuh sebak ketika ditemu bual secara eksklusif oleh SinarPlus.

No Image Caption

Irdina menegaskan bahawa tindakan membawa kes ke mahkamah bukanlah kerana tamak harta atau berebut duit semata-mata, sebaliknya untuk menegakkan keadilan. Baginya, tidak adil jika harta yang dikumpul arwah dengan penuh titik peluh hanya diambil sebelah pihak.

“Tak adil kalau harta arwah mommy hanya diambil sebelah pihak. Saya tahu betapa gigihnya mommy berusaha kumpul harta, kerja siang malam demi anak-anak.

"Jadi jelas harta itu sepatutnya difaraidkan dengan betul,” ujarnya.

Ketika arwah pergi, Irdina baru berusia 16 tahun. Beliau mengakui tidak tahu menahu soal faraid atau hak. Namun, melihat wajah adik bongsu yang masih kecil membuatkan dirinya tekad untuk terus melawan.

“Kalau saya tumbang waktu itu, macam mana dengan masa depan adik-adik? Itu yang bagi saya kekuatan,” katanya.

Namun perjuangan itu bukan tanpa luka. Selepas kehilangan ibu, Irdina berdepan kemurungan, keresahan dan trauma yang teruk sehingga terpaksa bergantung kepada ubat.

No Image Caption

“Tiga tahun saya ambil masa untuk pulih. Tahun 2022 paling kritikal. Saya pernah sampai tahap terdengar suara halus di telinga, rasa seolah-olah semua benda menekan.

"Tambah pula abang pernah ditahan, keadaan jadi makin teruk. Tapi syukur, doa keluarga dan orang sekeliling jadi penawar,” ceritanya.

Kerana kesihatan yang rapuh, beliau jarang hadir ke mahkamah. Namun doa tidak pernah putus.

“Saya memang tak boleh berada di tempat yang aura negatif, itu buat sakit makin teruk,” katanya jujur.

Di sebalik semua keperitan, ada pesan terakhir arwah yang kekal menjadi obor semangat buat Irdina.

“Mommy selalu pesan, tiada alasan bagi orang yang nak kaya dan berjaya dalam hidup.

"Itu kata-kata terakhirnya yang sampai sekarang saya pegang,” katanya sambil menahan sebak.

Walaupun mengaku dirinya anak yang agak “degil” dan sering buat hal, arwah tetap melayannya dengan penuh kasih. Hubungan ibu-anak yang erat itu membuatkan kehilangan terasa sukar ditelan.

Bagi Irdina, perjuangan di mahkamah bukan sekadar menuntut bahagian faraid, tetapi tentang memastikan masa depan adik-adik terjamin.

“Saya sendiri hanya sempat belajar sampai SPM sebab perlu beri perhatian kepada bisnes mommy. Saya tak mahu adik-adik alami perkara sama.

"Cukuplah saya seorang yang berkorban pelajaran. Saya mahu lihat mereka lebih berjaya daripada saya,” jelasnya.

Bagi beliau, kemenangan kes ini adalah rahmat besar daripada Allah.

“Kami adik-beradik semakin kuat, walaupun banyak ujian ditempuh, akhirnya Allah kembalikan hak yang sepatutnya,” katanya penuh syukur.

Di hujung bicara, Irdina menitipkan pesanan yang cukup dalam makna.

No Image Caption

“Jangan terlalu letak kepercayaan waima pada ahli keluarga sendiri bila membabitkan harta. Kita tak tahu hati budi manusia. Kadang-kadang orang yang kita anggap rapat pun boleh balas dengan sebaliknya.”

Beliau juga mengingatkan supaya wanita yang mempunyai harta dan anak-anak segera menyediakan wasiat atau dokumen sah.

“Jangan sekadar cakap mulut. Bila kita sudah tiada, anak-anak yang akan menanggung derita. Tengok saja kisah saya dan adik-beradik.

"Kalau dari awal arwah mommy tinggalkan hitam putih, mungkin tidak sepanjang ini perjuangan kami,"ungkapnya lagi.

Walaupun adik bongsunya lain bapa, ikatan kasih sayang tetap utuh.

“Adik memang memilih duduk bersama kami, tapi hubungan dengan ayahnya tetap tidak saya putuskan. Bila mereka mahu berjumpa, saya tiada masalah.

"Sebab kasih ibu tiada ganti, dan kasih keluarga tetap kekal selamanya,” katanya menutup bicara.

Kesimpulannya, perjuangan Irdina dan adik-beradik menuntut hak faraid ini bukan sekadar tentang wang ringgit, tetapi tentang maruah, kasih keluarga dan masa depan.

Daripada seorang remaja berusia 16 tahun yang kehilangan ibu, kini Irdina bangkit sebagai wanita tabah yang mahu memastikan legasi arwah Faziani Rohban tidak terhenti begitu sahaja.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang