'You touch you go. Tiada ruang untuk pembuli.' Tular video pelajar MRSM kasari rakan asrama, ini reaksi Asyraf Wajdi
MEDIA sosial dikejutkan dengan satu video yang tular menunjukkan insiden buli melibatkan pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di utara tanah air.
Rakaman berdurasi pendek itu memaparkan seorang pelajar dibuli oleh sekumpulan rakan sebaya dalam suasana yang cukup menyayat hati.
Seperti biasa, netizen tidak berdiam diri — ramai meluahkan rasa marah, simpati, malah ada yang mengimbas kembali pengalaman hitam dibuli semasa zaman sekolah.
Namun yang paling mencuri perhatian adalah kenyataan tegas daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam nada yang jelas dan lantang, beliau menegaskan: “YOU TOUCH, YOU GO!” — satu prinsip yang bukan sekadar slogan, tetapi menjadi tunjang kepada pendekatan MARA dalam membanteras budaya buli dalam institusi pendidikan mereka.
Menurut beliau, sebarang elemen buli adalah satu bentuk pengkhianatan kepada matlamat MARA yang selama ini berusaha melahirkan generasi pemimpin masa depan negara.
"Saya telah menerima laporan bahawa video yang tular sejak pagi tadi disahkan berlaku di salah sebuah MRSM di utara tanah air.
MARA memandang serius insiden ini. Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan buli, tidak kira siapa pelakunya.
"Sejak hari pertama saya diberikan amanah untuk menjaga MARA, saya sudah tegaskan:“YOU TOUCH, YOU GO!”," tegas beliau.
MRSM, katanya, bukan sekadar sekolah biasa, tetapi medan untuk membina sahsiah, jati diri, dan masa depan anak-anak yang bakal menjadi pencorak negara.

Tambah beliau lagi, MARA mengambil serius kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pelaku, tanpa mengira latar belakang atau status.
"Tiada ruang untuk pembuli. Tiada toleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba membudayakan ‘BULI’ dalam apa jua bentuk di MRSM institusi yang sepatutnya menjadi medan melahirkan pemimpin masa hadapan negara.
"Kita akan pastikan tindakan tegas diambil. Buli bukan budaya kita," ungkapnya.
Sama ada buli fizikal, mental mahupun siber — semuanya akan diambil tindakan sewajarnya. Apa yang penting, katanya, adalah memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
Jadi, apa pandangan anda? Pernah alami pengalaman dibuli di sekolah atau tahu cara nak bantu anak hadapi tekanan sosial di asrama? Kongsikan pendapat anda — sebab mungkin suara anda boleh bantu menyelamatkan orang lain.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
