Kisah seorang ibu dari seberang, dapatkan rawatan 'lubang kunci' di Malaysia
MALAYSIA sebagai destinasi kesihatan terbaik dunia bukanlah asing lagi di mata seantero dunia. Merangkul pelbagai anugerah mahupun pengiktirafan global, negara ini menjadi pilihan kebanyakan warga luar mendapatkan rawatan perubatan sehingga turut dikenali sebagai 'Permata Tersembunyi di Asia'.
Biarpun demikian, pandemik Covid-19 memberi impak sangat hebat kepada pelancongan kesihatan negara dan Bernama menyusuri usaha seorang ibu yang sempat mendapatkan rawatan buat anaknya di Malaysia beberapa hari sebelum pintu sempadan negara ditutup kepada warga luar pada 18 Mac lepas.
Lista Hariyanti Siregar, 33, dari Medan, Indonesia berkata, beliau tidak mempunyai sumber kewangan mampan untuk membawa anaknya, Elvan Keano ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan, namun tetap mahu melakukannya juga kerana yakin dengan teknologi perubatan dan kepakaran di negara ini.
“Saya juga sering kali dengar ramai dari Medan mendapatkan rawatan di Malaysia. Sebagai seorang ibu, pastinya saya mahu yang terbaik buat Elvan. Ini membuatkan saya datang ke Kuala Lumpur awal Februari (2020) untuk berbincang rawatannya di Hospital Pantai.
“Pun demikian, bila diberitahu kos perubatan Elvan agak mahal sekitar RM60,000, saya agak sedih dan berterus-terang tidak mampu membiayainya lantas terus balik ke Medan selepas perjumpaan itu," katanya ketika dihubungi menerusi panggilan video aplikasi WhatsApp dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan Pesakit Antarabangsa (IPC), Hospital Pantai, Kuala Lumpur.
Lista Hariyanti meneruskan ceritanya. Imbas beliau, anaknya, Elvan yang berusia lima bulan sering kali diserang demam panas, batuk tanpa henti selain sukar bernafas.
Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, Elvan sudah dibawa berjumpa doktor dari pelbagai rumah sakit di Medan. Namun, kebanyakannya mengesahkan si kecil hanya demam biasa dan sekadar diberikan antibiotik, ubat batuk mahupun demam.
Bagaimanapun, keadaannya semakin teruk dan tidak sembuh selepas sebulan sehinggalah anaknya itu disuruh menjalani pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan). Hasil pemeriksaan itu mendapati, terdapat kelainan pada tisu paru-paru Elvan (pada bahagian kanan) berikutan terdapatnya pembentukan sista agak banyak di kawasan itu yang memerlukan pembedahan segera.
"Doktor di Medan mengesahkan anak saya menghidap CPAM (Congenital Pulmonary Airway Malformation) dan rawatannya hanyalah pembedahan, tetapi, ia berhadapan 10 peratus risiko kematian kerana ini melibatkan pembedahan terbuka (thoracotomy adalah surgeri yang memerlukan insisi atau torehan besar antara 6-12 sentimeter panjang).
"Majikan saya syorkan Elvan dapatkan rawatan di Malaysia kerana mungkin ada alternatif lain. Namun, saya hanya bekerja sebagai pegawai kontrak di syarikat insurans dan suami pula hanya seorang pemandu, pendapatan kami hanyalah sekitar 4 juta rupiah (kira-kira RM1,124.34).
"Memang agak sukar untuk membiayai rawatan Elvan di Malaysia apatah lagi saya ke sana pada Februari lepas pun ditanggung majikan,” kata wanita itu.
Keadaan semakin genting apabila kesihatan cahaya matanya itu bertambah teruk selain berat badannya turun mendadak kepada 6.4 kilogram (kg) ketika usianya 11 bulan berbanding bayi lain yang sebaya umurnya antara 9 ke 10 kg.
Sumbangan dana
Terkesan dengan perkembangan pekerjanya, majikan Lista Hariyanti mencadangkan supaya mereka mengambil inisiatif untuk mendapatkan pertolongan orang ramai di negaranya dengan memohon sumbangan dana menerusi media sosial, Facebook, Instagram dan Kitabisa.com bagi membolehkan anaknya mendapatkan rawatan di Malaysia.
Bagi merealisasikannya, segala dokumen berkaitan kesihatan Elvan seperti kesahihan penyakit yang ditandatangani oleh Pakar Bedah Kanak-Kanak Am dan Urologi (pengkhususan pembedahan lubang kunci) Hospital Pantai, Dr Nada Sudhakaran, gambar terkini anaknya dimuat naikkan di platform berkenaan bagi membuktikan permohonan dana berkenaan.
"Kami berjaya dapatkan RM60,000 dalam masa sebulan dan saya bersama suami serta Elvan terus ke Kuala Lumpur pada 15 Mac untuk dapatkan rawatan. Saya sangat bersyukur kerana kami sampai awal beberapa hari sebelum pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
"Bayangkan, kalau kami terlambat sedikit mesti saya tidak dapat bawa Elvan berubat di Malaysia. Saya tidak tahu apa akan berlaku padanya nanti,” katanya.
Walaupun sempadan negara untuk tujuan pelancongan kesihatan sudah dibuka kepada warganegara luar sejak 1 Julai lepas secara berfasa, namun ia hanya melibatkan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Dependensi Tinggi (HDU) termasuk pelancong kesihatan yang mempunyai masalah kesihatan serius seperti penyakit barah, jantung dan memiliki surat temujanji dari hospital ahli Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).
Biarpun begitu, kebenaran diberikan pun berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat termasuklah menjalani ujian COVID-19 (PCR), kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia selain membabitkan hanya pesawat peribadi atau pesawat sewa khas bagi mengekang penularan COVID-19 melibatkan kluster import.
Sihat, cergas
Selepas pembedahan selamat dijalankan, Elvan menunjukkan perubahan yang besar. Sekiranya sebelum ini si comel itu hanya terbaring, sukar bernafas, sangat kurus, tidak boleh berjalan dan berdiri, tetapi kini jauh berbeza.
"Dia sudah boleh berjalan, sangat cergas, berat badannya pun sudah bertambah dan boleh duduk seperti kanak-kanak lain. Sebab itu, saya minta kamu guna panggilan video supaya boleh lihat sendiri keadaan Elvan," kata wanita itu penuh gembira.
Memang benar kata ibu Elvan. Berdasarkan video itu, dapat dilihat dengan jelas betapa sihat dan aktifnya kanak-kanak itu sebaik mendengar ibunya memanggilnya. Malah, keletahnya yang ceria dan comel itu pastinya tiada siapa menyangka bahawa anak kecil itu sebelum ini tidak sihat.
Dalam pada itu, Dr Nada yang merawat Elvan berkata, terdapat beberapa risiko yang boleh memudaratkannya sekira lambat diberikan rawatan dan ini termasuklah kematian.
“Berdasarkan keputusan CT Scan, Elvan menghidap CPAM pada paru-paru bahagian kanannya yang di bawah dengan mempunyai banyak sista dan saiznya dalam anggaran 3 sentimeter.
“Sista itu merupakan takungan lendir/mukus yang mendedahkan seseorang itu senang mendapat pelbagai jangkitan. Kalau kita tengok pada keadaannya, dia asyik terkena jangkitan disebabkan sista yang tidak dibuang.
"Banyak risikonya apabila sista tidak dibuang antaranya berpotensi menjadi kanser iaitu lima peratus kerana sista itu bukannya sel biasa.
"Selain itu, ia boleh mengakibatkan pneumothorax iaitu pengumpulan udara atau gas pada bahagian rongga di antara paru-paru dan dinding dada disebabkan terdapatnya kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru (ruang pleura) atau paru-paru itu sendiri. Ini akan menyebabkan paru-paru menjadi kecut dan berisiko kematian," katanya.
Keseriusan penyakit Elvan semakin bertambah apabila didapati anak kecil itu turut diserang penyakit tibi berikutan sistem imunisasinya yang rendah.
Lubang kunci
Berpengalaman lebih 17 tahun dalam surgeri lubang kunci atau juga dikenali sebagai pembedahan invasif minimum, Dr Nada bukanlah calang-calang individu dalam kaedah rawatan itu. Malah, kepakarannya turut diburu dalam kalangan doktor bedah sektor awam, swasta untuk mempelajari kemahiran berkenaan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai pembedahan lubang kunci, Dr Nada menjelaskan, ia adalah jauh berbeza dengan pembedahan terbuka malah prosedur itu lebih selamat dan kurang risiko.
Sebelum prosedur lubang kunci, seorang pakar bedah yang sedang menjalankan pembedahan, contohnya, pada perut pesakitnya, perlu membuat potongan yang panjangnya antara 5 ke 7 sentimeter berbanding pembedahan lubang kunci hanya perlu membuat beberapa insisi/torehan kecil dalam lingkungan 3 milimeter sahaja untuk mengakses organ dalaman yang bermasalah.
“Surgeri lubang kunci juga dikenali sebagai laparoskopi (surgeri di perut) atau thoracoscopic (surgeri bahagian dada) iaitu pembedahan yang dilakukan di kawasan dikenal pasti menggunakan instrumen sangat kecil.
“Instrumen itu berdiameter 3 milimeter akan digunakan pada dada semasa surgeri. Insisi/bukaan kecil dibuat untuk memasukkan teleskop, kemudian (low pressure) gas akan dimasukkan supaya ia dapat dikembangkan agar ada lebih banyak ruang semasa surgeri.
“Dua insisi turut dilakukan bagi memasukkan instrumen ke dalam dada untuk prosedur dijalankan. Video yang dirakam melalui teleskop kecil diunjurkan ke skrin untuk dilihat oleh pakar surgeri dan pembantunya.
“Dengan adanya visual ini yang diperbesarkan menggunakan sistem pengimejan tinggi, membolehkan saya melihat lebih jelas kawasan paru-paru Elvan yang bermasalah. Untuk pembedahan Elvan, bahagian paru-parunya yang dibuang berikutan terkesan dengan CPAM adalah sekitar 25 sehingga 30 peratus,” katanya.
Kepakaran tinggi
Biarpun pembedahan ini mengambil masa 10 sehingga 20 peratus lebih lama khususnya kalau ia membabitkan operasi paru-paru berbanding pembedahan terbuka, namun ia mempunyai pelbagai kelebihan.
Antaranya proses pemulihan sangat cepat, tidak sakit, parut pembedahan tidak begitu ketara, kurang risiko jangkitan kerana tempoh penghospitalan lebih singkat.
Ini berikutan pembedahan hanyalah membabitkan insisi kecil selain prosedur itu terkenal dengan kadar kejayaan yang tinggi.
Keistimewaan inilah yang membuatkan Lista Hariyanti komited dan berusaha sedaya mungkin mendapatkan dana bagi memastikan anak kesayangannya mendapat rawatan pembedahan lubang kunci di Malaysia.
“Mana-mana pembedahan tidak kiralah surgeri terbuka ataupun lubang kunci mempunyai risiko tersendiri. Cuma, untuk pembedahan lubang kunci risikonya adalah minimum kerana prosedurnya tidak memerlukan otot kanak-kanak dipotong. Justeru, kesakitan yang dialaminya adalah minimum berbanding pembedahan terbuka.
“Surgeri terbuka melibatkan semua bahagian lapisan termasuklah otot dan ia memerlukan pakar bedah memasukkan tangan mereka ke dalam kawasan bermasalah untuk operasi. Pembedahan cara ini adalah lebih sakit dan memerlukan masa lebih lama untuk pulih," jelas Dr Nada.
Mengenai penawaran pembedahan lubang kunci di Malaysia, beliau berkata, terdapat perkembangan memberangsangkan rawatan itu di negara ini sehingga kepakaran dan teknologi perubatannya menjadi tumpuan pelancong kesihatan.
“Pembedahan lubang kunci memerlukan pakar bedah mengendalikan peralatan dengan handal kerana ia menggunakan instrumen kecil dan kerana itu tidak semua pakar bedah akan menawarkan pembedahan ini. Di Malaysia, tenaga kepakarannya agak memberangsangkan dan inilah keistimewaannya,” katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rawatan lubang kunci, orang ramai boleh mengakses laman web https://www.drnadachildsurgeon.com/dr-nada-sudhakaran-paediatric-surgeon-urologist/.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang