UNTUK mendapatkan kuih chang versi halal memang sangat mudah diperoleh sejak kebelakangan ini. Kebanyakannya diusahakan oleh saudara baharu.

Baru-baru ini, penulis berjaya menjejaki seorang peniaga kuih tradisional Cina itu, Nur Basirah Chu Abdullah dari Ampang, Selangor.

Nur Basirah Chu.

Ujar Nur Basirah, kuih chang turut dikenali sebagai ketupat Cina dalam kalangan masyarakat Tionghua.

Cara pembikinannya sedikit lebih kurang sama, namun bahan-bahan yang digunakan sangat berbeza, katanya.

Selepas memeluk agama Islam beberapa tahun lalu, Nur Basirah berkata, beliau mula mempelajari cara membuat sajian berkenaan menggunakan beberapa ramuan halal.

Secara asasnya, kuih itu diperbuat daripada beras pulut yang diisi inti ayam, kacang, cendawan, telur masin dan sebagainya.

Kemudian, ia akan dibalut dengan daun buluh, dikukus dan digantung untuk dikeringkan.

Bercerita lanjut, Nur Basirah berkata, selalunya beliau akan menggunakan daun buluh yang dipotong mengikut saiz tertentu.

“Daun buluh perlu direndam semalaman dan direbus terlebih dahulu selama satu jam.

“Selepas selesai proses itu, barulah daun dibasuh satu per satu lalu direndam di dalam air,“ kata anak jati Kota Laksamana, Melaka itu.

Berkenaan teknik membuat kuih chang, kata Nur Basirah, para pembikin harus mematuhi satu syarat khusus bagi memastikan menu itu tahan lebih lama.

Iklan

“Kuih ini hendaklah direbus selama empat jam. Selepas itu, keluarkan satu persatu kuih bagi memastikan pulut cukup masak.

“Paling penting, gantung kuih chang sehingga betul-betul kering. Saya sendiri akan membiarkan ia (tergantung) selama satu jam. Proses itu akan membolehkan kuih dapat disimpan lama hingga empat hari dalam suhu bilik,“ katanya.

Nur Basirah memberitahu SinarPlus, beliau menjual jenis kuih chang yang dikenali sebagai Hokkien Chang (inti ayam), Nyonya Chang, Alkalian Chang (kosong), kuih chang inti kacang merah dan kacang tanah di premisnya di Ampang.

“Kuih chang sesuai juga dijadikan bekal ketika berkhemah, melancong atau ketika menempuh perjalanan yang jauh untuk ke satu-satu destinasi.

Iklan

“Bagi masyarakat Cina, ia disajikan sempena meraikan Festival Bot Naga. Seperti ketupat nasi, kuih ini jarang dimakan panas-panas,“ katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!