KATA seorang pembikin kuih tradisional, Saadiah Ali, pada zaman dahulu, kawasan perkampungan di Johor sering dilanda bah.

Apabila banjir melanda, ia akan menenggelamkan banyak kediaman termasuk tanam-tanaman seperti ubi.

Melihat situasi itu, ujar Saadiah, 57, orang kampung akan segera menggali ibu kayu yang ditanam. Bermula pada detik itulah, wujudlah sejenis kuih yang dipanggil sebagai ketewol.

UBI kayu yang digunakan sebagai bahan asas kuih ketewol.

“Secara praktikalnya, apabila pokok ubi ditenggelami air banjir, ia akan mati lalu ubi menjadi busuk. Untuk mengelak pembaziran, nenek moyang kita sangat kreatif apabila merendam ubi berkenaan sebelum ditumbuk dan dikeringkan. Kemudian, diayak untuk dijadikan tepung ketewol,“ ujarnya.

Menurut Saadiah,  di sesetengah tempat kuih ketewol dipanggil sebagai kuih gaplek.

Menyambung cerita, Saadiah berkata, proses menghasilkan kuih ketewol yang terkenal dalam kalangan masyarakat Jawa memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.

Masakan tidak, ubi kayu yang telah dikupas kulit perlu direndam di dalam tempayan dalam jangka masa yang lama iaitu kira-kira satu minggu bagi memastikan ubi betul-betul empuk.

“Setiap dua hari, air di dalam tempayan perlu diganti. Biasanya, orang dahulu akan merendam ubi kayu ketika musim betul-betul panas bagi mengelak ubi berbau,“ beritahu Saadiah.

Ujar wanita kepada lima orang anak itu, kuih ketewol mempunyai tekstur yang kenyal dan sangat mengenyangkan.

Pada tahun 1950-an hingga 1960-an, kuih ketewol ibarat makanan ruji seperti nasi kepada masyarakat era itu.

Kepada yang ingin mencuba membuat kuih tradisional itu, nasihat Saadiah, pilih kulit ubi yang berwarna kemerah-merahan.

“Ubi seperti itu mempunyai ciri-ciri yang baik kerana ia mudah empuk dan tekstur warnanya yang jernih,“ ujarnya yang mengakui sukar mencari kuih ketewol yang dijual di kedai-kedai termasuk ubi kayu yang berkualiti.

Anak-anak Saadiah dan saudara-maranya beruntung kerana wanita itu sangat berkebolehan menyediakan sajian lazat itu.

“Alhamdulillah, saya masih sediakan kuih ketewol untuk mereka sebagai menu sarapan atau minum petang,“ katanya.

PROFIL

Iklan
  • Nama: Saadiah Ali
  • Umur: 57 tahun
  • Asal dan menetap: Batu Pahat, Johor

RESIPI KUIH KETEWOL

Bahan-bahan

  • 300 gram tepung gaplek
  • 100 gram kelapa parut
  • 50 gram gula
  • 10 gram gula
  • Sedikit air

Cara penyediaan:

  1. Masukkan tepung gaplek ke dalam sebuah mangkuk.
  2. Masukkan sedikit air dan gaul sehingga tepung menjadi seperti ketulan.
  3. Masukkan adunan tadi kedalam pengukus dan kukus selama 25 ke 30 minit.
  4. Keluarkan adunan dari tempat pengukus dan biarkan sejuk.
  5. Setelah adunan tepung gaplek sejuk, gaulkan bersama kelapa parut. Pastikan kelapa parut telah dicampur dengan sedkit gula.
  6. Masukkan sedikit garam. Gaul sehingga sebati.
  7. Kuih ketewol sedia untuk dihidangkan.

Sumber: Saadiah Ali      

ANEKDOT

Iklan

RESIPI KUIH BINGKA SAWIT

Bahan-bahan

  • 1 cawan pati sawit (20 ulas atau 500 gram buah sawit)
  • 1 cawan gula
  • 2 ½ cawan santan
  • 2 cawan tepung gandum
  • 3 biji telur
  • 1 sudu teh garam
  • ½ sudu the esen vanila
  • Sedikit bijan

Cara penyediaan:

  1. Basuh bersih buah kelapa sawit dan buang bahagian pangkal dan hujungnya.
  2. Kemudian, rebus buah sawit tersebut sehingga empuk lebih kurang 1 jam.
  3. Setelah empuk, buang air rebusan. Kemudian, campurkan dengan 1 cawan air suam untuk mudah diramas dan diperah.
  4. Tapis untuk mendapatkan 1 cawan pati sawit.
  5. Campurkan semua bahan-bahan iaitu gula, tepung gandum, telur, esen vanila dan garam.
  6. Kacau rata dan sebati, kemudian tapiskan adunan.
  7. Sapukan sedikit minyak pada loyang atau acuan bingka, kemudian masukkan adunan tadi dan taburkan bijan diatasnya.
  8. Bakar pada suhu 200 darjah Celsius selama 1 jam.
  9. Bingka sawit siap untuk dihidangkan.

Sumber: Facebook Aleeya AlIbrooheem