CERITA Nor Syamira Liana Nor Ashaha, kisah ‘cinta’ beliau terhadap kuih limas tersemai sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Pada ketika itu, wanita berusia 22 tahun tersebut rajin mengikut neneknya, Salamiah Masdar merewang pada majlis perkahwinan penduduk kampung di Felda Gunung Besout 1, Sungkai, Perak.

“Kuih limas adalah antara sajian utama yang dihidangkan. Saya sukakannya kerana teksturnya lembut dan rasanya lemak manis apabila singgah ke lidah.

“Sejak itu, saya tanamkan hasrat untuk mempelajari kuih berkenaan berbanding pastri moden. Lagipun jika bukan generasi muda yang meneruskan resipi warisan, bimbang kuih ini akan hilang ditelan zaman.

“Alhamdullilah, berkat mendalami ilmu dari masa ke masa kini saya berpeluang memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual kuih limas ketika cuti semester,“ ujar penuntut Ijazah Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Secara ringkas, kuih limas merupakan kuih tradisi negeri Perak. Sekali pandang, fizikalnya sama seperti kuih tepung pelita ataupun kuih tako disebabkan adunan kuih tersebut diisi di dalam kelongsong daun.

“Pun begitu, yang membezakan kuih limas berbanding kuih lain (tepung pelita) terletak pada penggunaan jenis daun.

“Sampan kuih limas misalnya, diperbuat daripada helaian daun pisang manakala daun pandan digunakan untuk membuat kuih tepung pelita.

“Selain itu, jenis tepung juga berbeza yang mana kuih limas menggunakan tepung gandum sementara tepung pelita berasaskan tepung beras.

“Walaupun rupanya seakan sama, tetapi kuih limas mempunyai aroma harum daun pisang. Rasanya puIa berlemak manis, lembap dan lembut,“ katanya.

kuih limas
MENURUT Nor Syamira Liana kuih limas berasaskan tepung gandum dan sampannya daun pisang manakala tepung beras dan daun pandan pula digunakan untuk menghasilkan kuih tepung pelita.

Istimewa Ramadan

Ujar Nor Syamira Liana lagi, sebelum ini beliau terpaksa peruntukkan selama lebih tiga minit untuk menyiapkan satu sampan kuih limas.

Namun, berkat pengalamannya, beliau mampu menyiapkan tiga biji kelongsong dalam tempoh seminit sahaja.

“Bagi memastikan adunan kuih ini tidak bocor apabila diisi, saya menggunakan dua helai daun pisang untuk menghasilkan satu kelongsong agar strukturnya teguh,“ jelasnya yang tidak lokek berkongsi tip untuk para pembaca SinarPlus.

Beritahu mahasiswa itu lagi, ketika mengukus lapisan bawah iaitu lapisan pandan, beliau akan memastikan teksturnya licin terlebih dulu sebelum menuang lapisan atas (lapisan santan).

“Perlu diingatkan, jika lapisan pandan tidak masak sepenuhnya, ia akan menyebabkan tekstur atas kelihatan comot selepas 15 minit dikukus.

“Bukan itu sahaja, pastikan sukatan gula juga mencukupi bagi mengelakkan rasa tawar,“ katanya yang lebih cenderung memilih santan asli berbanding santan segera atau santan kotak.

Sebelum menutup bicara, Nor Syamira Liana memberitahu, lazimnya kuih limas sukar dibeli pada hari-hari biasa di Perak kerana kuih tradisi istimewa itu muncul setahun sekali khususnya sepanjang bulan Ramadan.

“Ibarat tidak lengkap juadah berbuka puasa kami, warga Perak tanpa hidangan kuih limas.

“Bagaimanapun, ketika membeli di bazar pengguna perlu bijak mengenal pasti antara kuih limas dan kuih tepung pelita,“ tuturnya berseloroh.

RESIPI KUIH LIMAS

Iklan

kuih limas

Bahan-bahan A (lapisan pandan di bawah)

6 helai daun pandan (dikisar dan
ditapis)
2 cawan air pandan yang telah ditapis
1 1/2 cawan tepung gandum
2 cawan santan cair
4 sudu gula
*blender semua bahan dan tapis

Bahan-bahan B (lapisan santan di atas)
1 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan santan pekat
1/2 garam

Bahan-bahan C
Daun pisang

Cara-cara:
– Kisar semua bahan lapisan bawah dan tapis.

Iklan

– Seterusnya, kisar pula bahan-bahan lapisan atas dan ditapis juga.

– Bentukkan daun pisang menjadi kelongsong.

–  Masukkan satu sudu gula di dalam kelongsong yang diperbuat daripadadaun pisang.

– Selepas itu, tuang bahan lapisan bawah separuh daripada kelongsong.

– Kemudian, kukuskan lapisan bawah tersebut selama 15 minit.

– Langkah seterusnya selepas lapisan bawah masak, tuang pula lapisan atas iaitu lapisan santan di dalam kelongsong yang sama.

– Kukus lagi selama 15 minit dan siap untuk dihidang.