NAMA kuih kalakatar memang amat asing bagi generasi pada hari ini. Bukan itu sahaja, kuih berkenaan juga sangat jarang dijual di mana-mana tempat dan bagaikan ditelan zaman.

Namun demikian, SinarPlus bernasib baik apabila menemui seorang wanita yang telah mewarisi pembuatan kuih berkenaan daripada ibunya.

Ketika dihubungi, Nor Fazilah Yaakob berkata, kuih kalakatar sebenarnya mempunyai nama lain iaitu bingka kelapa muda.

Nor Fazilah Yaakob.

“Ia merupakan sajian tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat banjar.

“Dalam bahasa Banjar, kalakatar sebenarnya bermaksud kala iaitu ketika dan katar pula bererti panas. Lazimnya, kuih berkenaan dimakan ketika masih lembut dan panas,” kata wanita yang berasal dari Perak itu.

Menurut Nor Fazilah, penyediaan sajian berkenaan tidaklah terlalu sukar, namun memerlukan ketelitian.

“Resepi ini hanya memerlukan tepung beras, air kelapa muda, santan, isi kelapa muda, gula pasir dan garam. Semua bahan ini disatukan dalam satu bekas dan dikacau rata. Kuih kalakatar perlu ada rasa lemak daripada santan dan teksturnya mesti kena lembut,” katanya yang mengakui kuih tradisi berkena merupakan sajian kegemaran ahli keluarganya sejak dulu lagi.

Mengenai kaedah memasak kuih kalakatar, jelas Nor Fazilah, terdapat dua cara yang boleh dipraktikkan.

“Cara pertama, kuih kalakatar boleh dibakar, namun ada juga yang mengukus kuih itu.

“Selalu kuih kalakatar yang dijual menggunakan kaedah membakar tetapi ada juga yang menggunakan kaedah mengukus. Kuih ini apabila sempurna dimasak akan dilihat seperti ‘menggeletar’ apabila digoyang atau diangkat,” ujarnya.

Kepada satu soalan, wanita itu berkata, untuk menghasilkan kuih kalakatar yang sedap, pembikinnya hanya perlu menggunakan air kelapa yang secukupnya.

“Tak perlu tambah air lain, hanya guna air kelapa sahaja. Mahu lagi sedap, tambahkan lagi kuantiti isi kelapa, pasti hasilnya lebih ‘padu’,” katanya.

PROFIL

  • Nama penuh: Nor Fazilah Yaakob
  • Umur: 47 tahun
  • Asal dan menetap: Bagan Serai, Perak

RESIPI KUIH KALAKATAR

Iklan

Bahan-bahan

  • 2 cawan tepung beras
  • 4 cawan air kelapa muda dan santan
  • 1 cawan gula pasir
  • 2 cawan isi kelapa muda (dihiris nipis)
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara penyediaan:

  1. Satukan semua bahan kecuali isi kelapa muda. Kacau rata dan tapis untuk pastikan tiada tepung yang berketul.
  2. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah disapukan dengan sedikit minyak.
  3. Tabur isi kelapa muda yang telah dihiris nipis.
  4. Kukus adunan tersebut selama 30 hingga 40 minit. Ketika ini, kuih akan bertukar menjadi keperangan di permukaan atasnya.
  5. Sejukkan sebentar. Kuih kalakatar siap untuk dihidangkan.

Sumber: Nor Fazilah Yaakob

ANEKDOT

Iklan

RESIPI KUIH DANGAI

Bahan-bahan

  • 2 biji kepala parut sederhana muda (gunakan lapisan putih sahaja)
  • 2 senduk nasi gula putih
  • 1 sudu teh garam
  • 250 mililiter tepung pulut

Cara penyediaan:

  1. Dalam satu bekas, masukkan semua bahan tadi dan gaul sebati. Pastikan adunan kuih tidak berketul.
  2. Panaskan ketuhar pada suhu 160 darjah Celsius selama 10 minit. Sementara itu, sapu rata minyak ke permukaan bawah loyang dan dinding tepi.
  3. Kemudian, masukkan adunan yang telah sebati tadi.
  4. Tekan adunan sehingga padat dengan menggunakan sudu agar kuih tidak pecah dan berderai apabila sudah masak nanti.
  5. Bakar adunan kuih dengan suhu 145 hingga 150 darjah Celsius dengan menggunakan api atas dan bawah.
  6. Kuih dangai siap dihidangkan bersama secawan kopi.

Sumber: daridapur.com