SEORANG lelaki, berusia awal 40-an telah datang mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta di ibu kota.

Bercerita mengenai dirinya, beliau mengalami masalah mengantuk yang tidak boleh dikawal, terutamanya setelah waktu makan tengah hari, sekitar jam 2 hingga 3 petang.

Walaupun tidur selama 7 jam setiap hari, beliau tetap mempunyai masalah mengantuk itu.

Natijahnya, telah dua kali terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja yang hampir meragut nyawanya, kerana tertidur tanpa disedari ketika memandu kereta.

Kongsi lelaki berbangsa Eropah, sebelum ini beliau boleh kembali segar setelah tidur sekitar 20 minit di waktu tengah hari. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, beliau masih mengantuk dengan teruk walaupun telah demikian.

Perkara itu mengganggu produktiviti dan kerjayanya hingga tidak dapat fokus untuk menyelesaikan projek-projeknya. Beliau adalah seorang jurutera tenaga solar di sebuah syarikat yang berpusat di Eropah dan kini bertugas menguruskan cawangan syarikatnya itu di Malaysia.

Beliau juga adalah seorang atlet yang aktif menyertai triathlon dan setiap hari akan berlari selama 2 jam untuk mengekalkan staminanya. Beliau juga tidak gemuk dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang ideal sekitar 24kg/m2.

Pernah diberitahu bahawa menghidap penyakit ‘Obstructive Sleep Apnea’ (OSA), penyakit sumbatan saluran pernafasan ketika tidur 3 tahun lepas, sejak itu beliau menggunakan mesin tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP).

Akan tetapi, sejak akhir-akhir ini, simptom mengantuknya semakin teruk walaupun telah menggunakan mesin CPAP dan kadar Indeks Apnea Hypopnea (AHI) adalah normal.

Mempengaruhi penderita fizikal dan mental

Mengulas lanjut mengenai itu, Pakar Perunding Perubatan & Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa menjelaskan keadaan itu boleh dikenal pasti dengan beberapa jenis ujian tidur segera dilakukan.

Iklan

Berkemungkinan besar, lelaki berbangsa Eropah itu menghidap penyakit narkolepsi iaitu masalah mengantuk yang berlebihan.

“Pesakit yang mengalami masalah itu akan terlalu mudah mengantuk dan sangat cepat tertidur.

“Setelah diberikan ubat yang sesuai, masalah mengantuk itu semakin berkurang dan beliau pasti boleh fokus dengan kerjayanya,” jelas Dr Nurul Yaqeen.

Apakah komplikasi penyakit narkolepsi?

Narkolepsi boleh menyebabkan komplikasi yang mempengaruhi penderita fizikal dan mental.
Kemungkinan komplikasi termasuk:

Iklan

1. Obesiti disebabkan oleh pola makan yang berlebihan atau kurang pergerakan kerana sering tidur.
2. Penilaian negatif terhadap persekitaran sosial. Penderitaan boleh dianggap malas kerana sering tertidur.
3. Kecederaan fizikal. Risiko kecederaan fizikal boleh berlaku ketika serangan tidur menyerang pada waktu yang salah, seperti ketika memandu atau memasak.
4. Penumpuan dan ingatan terjejas. Penumpuan dan ingatan yang menurun menyukarkan penderita untuk melakukan kerja atau bekerja di sekolah atau pejabat.

Komplikasi narkolepsi dapat dielakkan. Lakukan senaman secara teratur untuk mengelakkan kegemukan, mengelakkan memandu atau mengoperasikan peralatan berbahaya untuk mencegah kecederaan dan memberi penjelasan kepada orang di sekitar mengenai keadaan kita untuk mengelakkan pertimbangan negatif.

Pesan Dr Nurul Yaqeen, jagalah tidur, kerana tidur yang cukup dan berkualiti akan menjamin kualiti hidup yang cemerlang.