SEMPENA HARI LELAKI SEDUNIA

SUDAH menjadi lumrah, apabila pasangan gagal memperoleh cahaya mata, wanita yang dipersalahkan.

Mereka dipandang serong, dihina, dimaki dan lebih teruk, dipulaukan oleh keluarga mertua.

Terus terang, ibu saudara penulis yang masih belum diberi rezeki membelai anak sendiri, meskipun sudah 10 tahun berkahwin sering diperlekehkan.

Hakikatnya, bukan sahaja wanita, malah lelaki juga mandul!

Namun, kenyataan itu sering dinafikan kaum Adam.

Bagi mendapatkan kesahihan fakta dari aspek perubatan, penulis mengajak Pakar Perunding Perubatan Urologi, Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Praveen Singam untuk memperhalusi topik itu dengan lebih terperinci.

Dr Praveen

Membuka bicara, Dr Praveen terus menyatakan bahawa trend kemandulan dalam kalangan kaum lelaki di Malaysia telah menunjukkan peningkatan dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

“Dianggarkan sebanyak 7 peratus daripada jumlah lelaki akan menghadapi masalah kemandulan. Bagaimanapun, secara puratanya, 10 hingga 15 peratus pasangan akan mengalami masalah tidak berkeupayaan menghasilkan zuriat.

“Jika dilihat kes yang berlaku pada 10 tahun lalu, daripada jumlah pasangan ini, hanya 5 peratus sahaja disebabkan oleh masalah kemandulan lelaki. Namun, kini hampir 40 hingga 50 peratus daripada kes berpunca disebabkan oleh kaum Adam,” terangnya.

Diagnosis

Apakah definisi dan kriteria kemandulan dalam kalangan lelaki?

Kepada SinarPlus, Dr Praveen menjelaskannya dengan mengemukakan tiga faktor.

i) Ketidakupyaan seseorang lelaki untuk menghamilkan seorang wanita yang tidak mempunyai masalah kesuburan.

ii) Mencuba untuk memperoleh zuriat dan tidak menjalani sebarang jenis kaedah perancangan keluarga.

iii) Tidak memperoleh zuriat sewaktu bersama sebagai pasangan sekurang-kurangnya selama setahun.

“Sekiranya seseorang individu memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan, barulah seseorang lelaki akan diminta menjalani pemeriksaan fizikal dan ujian-ujian diagnosis tertentu,” katanya.

Sebelum itu, ujar beliau, doktor terlebih dulu akan memeriksa dan mengkaji sejarah penyakit kronik yang mungkin dialami seperti darah tinggi, kencing manis atau yang mempunyai kolestrol yang tinggi.

Bagi lelaki yang merokok, tempoh masa dan kekerapan pengambilan rokok di dalam aktiviti seharian dan pengambilan dadah (jika pernah) juga akan diselidik.

“Selain itu, sejarah perubatan yang tertumpu dan khusus pada bahagian testis seperti jangkitan kuman dan pembedahan pada testis, kemalangan melibatkan alat sulit itu atau apa-apa kesan radiasi yang pernah diberikan kepada bahagian itu” jelasnya.

Dari segi pemeriksaan fizikal pula, pakar untuk menerangkan, pihak hospital akan menumpukan kepada aspek berat dan tinggi badan, kegemukan (obesiti), tumbesaran sekunder lelaki (suara), tumbesaran otot rambut dan kedua-dua testis dan zakar.

Ujian spesifik yang dikenali sebagai sperm analysis ataupun seminal fluid analysis turut akan diimplemenkan.

“Ujian itu akan melibatkan pemeriksaan mikroskopik yang dibuat di makmal ke atas sampel air mani.

“Daripada analisis yang diperoleh, doktor dapat mengetahui jumlah sperma yang dihasilkan, kesihatan sperma dari segi bentuk rupanya (sperm morphology) dan kecergasan pergerakannya (sperm motility),” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sampel yang mengandungi sperma yang kurang sihat adalah disebabkan sama ada berlakunya kekurangan bilangannya (oligospermia), kurang pergerakannya (asthenospermia) atau kurang bentuk sperma yang normal (teratospermia).

“Terdapat juga lelaki yang tiada langsung sperma dijumpai dalam sampel air mani (azoospermia). Dari segi tahap keseriusan pula, yang paling merisaukan adalah keadaan azoospermia dan oligoasthenoteratozoospermia (OAT),” ujarnya yang memberi penerangan yang cukup jelas untuk difahami.

Teknologi Pembiakan Berbantu (ART)

Menjawab satu soalan lain, Dr Praveen berkata, terdapat pelbagai punca terjadinya kemandulan dalam kalangan kaum Adam.

“Kesemua isu kebiasaannya berkaitan dengan proses-proses untuk menghasilkan sperma yang sihat dari testis.

Faktor lain juga boleh disebabkan oleh masalah genetik yang menyebabkan tiada penghasilan sperma atau sperma yang tidak sihat.

Sebagai contoh, penyakit sindrom Klinefelter dan ketidaksuburan kromosom Y,” maklumnya.

Berikut disenaraikan alasan lain yang boleh membuatkan seorang lelaki berdepan dengan krisis kemandulan:

1. Kerosakan kepada sel-sel testis daripada kesan jangkitan virus atau bakteria seperti penyakit mumps atau epididymoorchitis (keradangan tiub yang menyimpan dan membawa sperma).

Iklan

2. Kesan radiasi ke atas testis.

3. Pengaruh pembedahan kepada testis.

4. Berlaku disebabkan oleh kes-kes tertentu seperti saluran yang membawa sperma dari testis ke zakar iaitu vas deferans tidak terbentuk dengan sempurna dan pembentukan saluran zakar yang abnormal seperti penyakit hypospadias.

5. Faktor yang menjejaskan penghasilan hormon dari otak atau dari testis seperti tumor pituitari dan pengambilan suplemen-suplemen hormon testosteron yang berlebihan.

Adakah semua permasalahan yang disenaraikan boleh dirawat?

Dalam hal berkenaan, ungkap Dr Praveen, rawatan yang disarankan adalah berdasarkan kepada punca isu kemandulan itu sendiri.

Memandangkan terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil kira, terdapat juga pelbagai kaedah yang disarankan.

“Sebagai permulaan, keadaan fizikal yang sihat perlu dicapai. Ini bermaksud tiada masalah kegemukan, penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis terkawal, amalan pemakanan yang sihat, bersenam secara konsisten, meninggalkan tabiat merokok dan tidak mengamalkan pengambilan minum beralkohol.

“Tidak hanya itu, seseorang lelaki juga perlu menangani masalah stres dengan baik kerana ia boleh menjejaskan emosi termasuk penghasilan hormon dan sperma,” katanya.

Mengenai rawatan yang berlandaskan pembedahan, terang pakar berkenaan, pendekatan tersebut boleh dilaksanakan melalui situasi undecended testis iaitu satu daripada testis ‘tidak turun habis’ dan urat bengkak (varicocelectomy).

“Terdapat juga beberapa ubat-ubatan vitamin yang boleh dimakan untuk membantu penghasilan sperma-sperma yang lebih sihat dalam kes-kes OAT, namun kaedah itu memerlukan pemantauan rapi daripada doktor pakar kesuburan,” jelasnya.

Seandainya, semua syor yang dikemukakan tidak berkesan, terdapat prosedur-prosedur yang membolehkan doktor pakar kesuburan mengambil sperma yang sihat dari testis, lalu memasukkannya terus ke dalam rahim untuk membantu proses persenyawaan.

“Kaedah ini dikenali sebagai teknologi pembiakan berbantu (ART). Dalam ART, terdapat prosedur seperti Intrauterine insemination atau suntikan sperma intracytoplasmic. Setiap kaedah ini mempunyai kriteria atau penilaian tertentu untuk membuahkan kejayaan,” ujarnya.

Iklan

Kefungsian lelaki

Semantara itu, Pengamal Perubatan Am, Klinik Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, Dr Ruhaizad Daud turut berkongsi informasi berhubung isu lelaki mandul.

Dr Ruhaizad.

Menerusi perkongsiaannya dalam sesi Facebook Live, terdapat beberapa masalah lelaki kritikal yang boleh menyebabkan seseorang lelaki boleh mandul.

“Secara umumnya, ia lazimnya dikaitkan dengan lelaki dewasa. Suka untuk saya kongsikan, baru-baru ini, seorang lelaki berusia 40-an hadir ke klinik saya bagi melakukan pemeriksaan kerana berhadapan dengan kesusahan untuk mendapat zuriat. Setelah pertanyaan secara mendalam dibuat, jelas sekali beliau mempunyai kesusahan berfungsi sebagai seorang lelaki,” terangnya.

Memperincikan lebih lanjut kenyataannya itu, Dr Ruhaizad menjelaskan, ia bersangkut-paut dengan ‘kebolehan’ berlakunya eraksi (zakar menegang) dan kemampuan untuk melakukan hubungan seksual bersama pasangan.

“Suami dan isterinya perlu ‘berpuas hati’ dengan prestasi masing-masing. Jika salah seorang daripada mereka tidak merasakan perkara itu, akan ada isu yang mungkin timbul dari segi kefungsian seorang lelaki,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Ruhaizad berkata, ia bukan sahaja tentang eraksi, malah si suami juga perlu berupaya meneruskan fasa penetrasi dan ejakulasi.

“Jika tidak lengkap atau gagal pada mana-mana fasa itu, maka fungsi sebagai seorang lelaki itu tidak dipenuhi dan boleh menyebabkan pasangan gagal mendapat zuriat berpunca daripada kilang testis yang bermasalah itu,” maklumnya.

Kepada satu soalan, pegawai perubatan berkenaan memberitahu, lelaki yang sedikit berusia, mempunyai masalah kencing manis dan pesakit yang memakan ubat darah tinggi akan berhadapan dengan situasi yang dinyatakan tadi, meskipun sebilangan daripada mereka mempunyai kilang sperma yang sihat.

“Oleh itu, nasihat saya kepada si suami, segera lakukan pemeriksaan bagi mengetahui punca sebenar yang telah menyebabkan masalah kesukaran untuk mendapatkan zuriat dalam aspek kefungsian sebagai seorang lelaki.

“Sekiranya ia disebabkan faktor seperti saya katakan tadi, rawatan viagra dapat diberikan bagi membantu si suami agar fungsi asalnya kembali boleh dipakai dalam usaha untuk memperoleh zuriat,” beritahunya.