MENTAL yang sihat sememangnya satu pembolehubah signifikan dalam mempengaruhi kesihatan fizikal, kualiti hidup termasuk produktiviti seseorang.

Pun demikian, dengan desakan situasi semasa yang semakin mencabar lebih-lebih lagi dengan penangan virus Covid-19 yang masih belum menemui satu pun vaksin yang berkesan, masalah mental dikatakan semakin ‘meruap’ dalam kalangan masyarakat kini.

Seperkara yang sering diperkatakan, kemelut itu telah didominasi oleh golongan Hawa sahaja dengan alasan mereka insan yang lemah dan tidak berdaya.

Persoalannya, adakah kaum lelaki lepas bebas daripada masalah tersebut? Adakah mereka terlalu ampuh dan handal sehingga mampu menepis soal tekanan perasaan atau ‘kesakitan jiwa’? Jawapannya, sama sekali tidak. Jika sudah dikatakan manusia, sesiapa pun tidak akan terlepas daripada sebarang bebanan atau dihujani dengan pelbagai permasalahan.

Berdasarkan Pelan Kesihatan Lelaki Kebangsaan 2019, kes kesihatan mental dalam kalangan lelaki sebenarnya adalah tinggi.

Pun demikian, ia tidak dapat dikesan lantaran golongan Adam dikatakan tidak menunjukkan simptom dan tanda (pada wajah, tindakan atau reaksi) berbanding wanita.

Kaum lelaki juga dikatakan lebih suka mendiamkan diri gara-gara takut dengan stigma negatif masyarakat yang akan melabelkan mereka sebagai gila atau tidak siuman. Mereka cukup takut diri mereka disisihkan.

Jadi, kebanyakan lelaki lebih cenderung untuk menyendiri dan tidak berkongsi apa-apa. Pendek kata, mereka memendam ‘rasa’ seorang diri.

Berdasarkan Mental Health America, 6 juta daripada 151 juta lelaki di Amerika Syarikat berdepan dengan masalah mental. Sebanyak 6 juta menderita tekanan perasaan berpanjangan, 2.3 juta pula berdepan dengan gangguan bipolars sementara 3.5 juta lelaki mengalami psikosis dan skizofrenia. Angka itu dianggap serius. bagi sebuah negara berskala besar.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai lelaki dan masalah mental dalam kalangan penduduk Malaysia pula, SinarPlus mewawancara beberapa pakar untuk berkongsi fakta selain mencari kunci penyelesaian untuk mana-mana lelaki yang kini mungkin sedang bergelut dengan masalah mental.

Malu tampil ke hadapan

Pakar Psikatri merangkap Pengarah Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin memberitahu SinarPlus, satu per tiga atau 29.1 peratus daripada rakyat mengalami masalah kesihatan mental.

PROF Madya Dr Amer.

Beliau akui, krisis seperti kemurungan dan kegelisahan, majoritinya melibatkan kaum wanita. Pun demikian, Dr Amer Siddiq melahirkan kebimbangan terhadap golongan lelaki.

Seperti yang diketahui umum dan pakar itu turut menyokongan pandangan yang menyatakan lelaki biasanya tidak akan tampil ke hadapan disebabkan beberapa isu seperti malu.

“Apabila keadaan itu berlaku, ia akan menyebabkan mereka berada dalam keadaan tidak sihat untuk jangka masa yang lama. Jika mereka berada dalam situasi yang sukar, mereka akan mencuba untuk membunuh diri dengan cara yang lebih agresif dan sangat menakutkan.

“Berbeza dengan wanita (jika berdepan dengan sitauasi sama), cara mereka mencederakan diri ‘agak terhad’, namun peratusan yang ‘berjaya’ (tamatkan hayat sendiri) lebih tinggi,” beritahu beliau.

Pakar itu menambah, kadangkala imej maskulin yang ditampilkan oleh seseorang lelaki sebenarnya tidak menggambarkan diri mereka yang sebenar.

“Individu yang sebegitu, biasanya akan menampakkan diri mereka kuat meskipun berada dalam kesusahan, tetapi hakikatnya mereka ‘bertungkus-lumus’ untuk mengawal diri,” katanya.

Keadaan itu ujar Dr Amer Siddiq, amat tidak baik kerana ia membolehkan mereka terperangkap dalam kancah kesihatan mental.

Jadi, apa yang perlu golongan seperti itu dilakukan? Berikut adalah cadangan pakar berkenaan:

i) Orang lelaki perlu biasakan dengan pendekatan ‘it’s okay not to be okay’.

ii) Sentiasa mempunyai persepsi bahawa membincangkan isu kesihatan mental tidak akan menjatuhkan maruah dan sisi maskulin mereka.

iii) Kurangkan stigma terhadap diri dan segera tampil bagi mendapatkan bantuan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk mengukur tahap kesihatan mental seseorang (lelaki dan wanita), ia terletak kepada tiga aspek iaitu fizikal, mental dan sahsiah seseorang.

“Jika dirungkai satu persatu definisi asal mental yang sihat, kita dapat takrifkan ia sebagai situasi seseorang itu dapat mengawal stres dengan baik dan ia penting sebagai dorongan untuk berjaya, membantu seseorang dapat bekerja dengan lebih baik dan menyumbang semula kepada komuniti,” ungkapnya.

Oleh yang demikian, jika kelompok lelaki mahupun wanita mempunyai masalah yang melibatkan pendekatan fizikal, berkemungkinan besar juga mereka akan mempunyai masalah mental.

“Orang ramai perlu cakna dengan isu ini kerana ia mempunyai beberapa peringkat, antaranya tekanan yang tinggi dan kecacatan atau kesilapan dalam mengecapi kejayaan yang akan ‘menghumban’ seseorang dalam masalah kesihatan mental,” terangnya.

Selain masalah kesihatan yang melibatkan gangguan mood atau psikotik, penggunaan najis dadah juga tergolong dalam pecahan penyakit mental, ujar Dr Amer Siddiq.

“Jadi, penyakit mental sebenarnya mempunyai pelbagai jenis dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya cakap ia adalah sama saja. Begitu juga dari segi prognosisnya, ia juga berbeza-beza,” katanya.

Di Malaysia, Dr Amer Siddiq berkata, orang ramai tidak sepatutnya mempunyai masalah untuk menerima bantuan awal jika masalah mental melingkari kehidupan mereka.

“Mereka boleh menghubungi talian Nur (15999) untuk mendapatkan bantuan kaunseling dan jika masalah mereka berat, mereka pasti akan mendapat bantuan selanjutnya,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat alternatif lain yang boleh dijadikan panduan iaitu dengan mengimplemenkan formula TALK.

  • T-Tell someone you trust about your problems (kongsi masalah dengan orang yang dipercayai)
  • A-Ask for help (minta bantuan)
  • L-Listen without judgement (dengar tanpa menghukum atau menghakimi)
  • K-Know where to seek help (tahu di mana untuk dapatkan bantuan)

Gender yang tidak beremosi

Sementara itu, Pakar Psikiatri dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria turut melontarkan pandangan mengenai masalah mental dalam kalangan kaum lelaki.

DR Rozanizam.

Katanya, lelaki secara umumnya dilihat sebagai gender yang tidak beremosi dan kurang berkongsi emosi.

Iklan

“Stigma bahawa masalah mental sebagai petanda lemah juga menjadikan perkara ini lebih ketara. Banyak masalah mental tidak didiagnos dalam kalangan lelaki kerana mereka kurang mendapatkan bantuan profesional jika mengalami masalah mental,” beritahu beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Kesihatan Mental Pahang itu.

Pada masa sama, Dr Rozanizam juga tidak menafikan, genetik antara faktor yang menyumbang kepada masalah mental.

Selain itu, faktor sampingan lain yang boleh tercetusnya penyakit itu adalah stres yang keterlaluan atau trauma melampau.

Selari dengan pendapat Dr Amer Siddiq, Dr Rozanizam juga bersetuju dengan fakta bahawa lelaki lebih berkecenderungan untuk menyembunyikan masalah dan menyelesaikannya sendiri, termasuk dengan cara yang salah seperti salah guna dadah dan mengambil alkohol.

Justeru, bagi mengatasi kesemua kelemahan itu, tegas pakar tersebut, golongan lelaki perlu mendidik diri agar terus ke hadapan dengan mendapatkan bantuan mengatasi ‘keributan’ emosi yang mengganggu akal dan fikiran.

Artikel berkaitan:  ‘Jangan malu atau berdiam diri daripada mendapatkan bantuan’

Pun demikian, ujar pakar tersebut, pada perspektifnya, individu mental sebenarnya memerlukan sokongan orang sekeliling untuk kembali pulih.

“Bagi saya itu yang paling penting. Seperkara, kita tak boleh sesuka hati menyimpulkan orang seperti itu menjadi mental kerana kurang kasih sayanglah, kurang iman atau mahukan perhatian semata-mata. Sekali lagi, bagi saya, pendekatan itu tidak betul. Ia akan memberikan lagi tekanan kepada individu terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Dr Rozanizam, penyakit mental datang dalam pelbagai bentuk dan ia berbeza mengikut umur seseorang.

Secara umumnya, terdapat tiga kelompok utama gangguan penyakit mental iaitu:

i) Gangguan emosi seperti kemurungan dan bipolar.

Iklan

ii) Masalah keresahan seperti fobia, gangguan panik dan kecelaruan keresahan sosial.

iii) Psikosis seperti skizofrenia.

“Selain itu, ada juga penyakit yang spesifik pada usia tertentu seperti demensia dalam kalangan warga emas,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai rawatan, Dr Rozanizam, ia dibahagikan kepada bantuan dalam bentuk biologi, psikologi, sosial and spiritual.

SEGERA dapatkan rawatan dan jangan ambil mudah dengan masalah kesihatan mental.

“Rawatan biologi akan melibatkan ubat-ubatan (jika pesakit memerlukannya). Psikologi pula seperti terapi kognitif dan tingkah laku.

“Bantuan dalam bentuk sosial pula adalah seperti bantuan kewangan, kerja dan sebagainya. Ketahuilah setiap rawatan itu akan diberikan dengan pendekatan yang berbeza mengikut kes,” terangnya.

Menjawab satu soalan lain lain, Dr Rozanizam menyifatkan, pemakanan juga sangat signifikan dalam membantu menyuntik kesihatan mental yang baik.

“Dengan kemajuan perawatan hari ini, kebarangkalian untuk sembuh itu sangat tinggi. Buktinya, ramai pesakit yang dapat kembali pulih dan kembali ‘berfungsi’ dalam masyarakat. Oleh itu, segeralah dapatkan rawatan bagi mereka yang sedang ‘dihantui’ masalah kesihatan mental, masih ada sinar dalam kegelapan itu,” pesan Dr Rozanizam.

ANEKDOT

ANTARA kekangan yang menyebabkan pesakit lambat mendapatkan rawatan kesihatan mental adalah kerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Berikut adalah cara-cara untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan di Malaysia:

  1. Lakukan Ujian Saringan Kesihatan Mental (DASS) secara dalam talian.
  2. Jika keputusan berada pada skala yang membimbangkan, bawa keputusan tersebut ke klinik kesihatan berdekatan.
  3. Selepas pemeriksaan, doktor akan memberikan surat rujukan (jika perlu).
  4. Bawa surat tersebut ke hospital yang ditetapkan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Sumber: Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia.