Lensa mata jadi keruh, berawan. Bukan sahaja warga emas, bayi juga boleh dilahir dengan katarak
MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 2.2 bilion penduduk di seluruh dunia mengalami gangguan penglihatan dekat atau jauh. Punca utama kecacatan penglihatan termasuk buta lazimnya disebabkan oleh ralat biasan dan katarak.
Statistik daripada Nature Journal lebih spesifik. Mereka mendedahkan, pada tahun 2020, terdapat 36 juta manusia yang mengalami kebutaan di peringkat global dengan lebih 13.5 juta berpunca daripada katarak.
Di Amerika Syarikat (AS), lebih separuh warga emasnya berdepan dengan situasi itu dan menjalani pembedahan pada usia 80 tahun, lapor National Eye Institute, AS.Apa yang dimaksudkan dengan katarak?
Secara ringkasnya, menurut Healthline, ia berlaku apabila lensa mata menjadi keruh dan seperti berawan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan katarak, SinarPlus menemui Perunding Oftalmologi yang juga merupakan Pakar Paediatrik Oftalmologi dan Pakar Bedah Strabismus di Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Norazah Abdul Rahman baru-baru ini.
Kata Dr Norazah, pada umumnya, kanta mata manusia secara semula jadi adalah jernih dan menerima imej yang jelas.
“Pembentukan katarak atau secara amnya dipanggil selaput terjadi akibat proses penuaan yang mula berlaku pada individu berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun. Ia akan berterusan sehingga golongan itu meningkat usia kepada 70 atau 80 tahun,“ ujarnya.
Pun demikian, dalam sesetengah keadaan, Dr Norazah menjelaskan, bayi juga boleh mengalami katarak dan ia dikenali sebagai katarak kongenital.
Ia berlaku apabila si kecil dilahirkan dengan selaput pada mata.
“Faktor mutasi, penyakit keturunan atau jangkitan ketika dalam kandungan adalah antara penyebab situasi tersebut. Adakalanya kanak-kanak mungkin hanya mengalami sedikit katarak pada matanya.“Simptom katarak kemudiannya boleh berkembang secara berterusan dan mata menjadi lebih kabur apabila mereka meningkat dewasa,“ katanya.
Sama seperti golongan warga emas, si cilik mungkin tidak menyedari mempunyai masalah tersebut sehinggalah mereka berada di alam persekolahan.
Baca juga: Banyak jenis ubat titis mata di pasaran jangan salah beli, doktor kongsi tip dan nasihat
Berkongsi pengalamannya, Dr Norazah berkata, beliau pernah merawat seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menderita katarak.
Penyakit mata degeneratif itu telah mengakibatkan pesakit kecil tersebut berdepan dengan perubahan tingkah laku.
“Beliau bukan sahaja banyak bergantung kepada ibunya untuk urusan harian, malah kanak-kanak itu suka menjerit dan cepat marah.
Menurut penjaganya, anak kesayangan mereka mahu lebih perhatian daripada orang sekeliling lantaran penglihatannya yang tak jelas,“ kata beliau.
Dr Norazah menyuarakan kebimbangan seandainya pesakit katarak dalam kalangan budak kecil tidak mendapatkan perawatan sewajarnya dalam tempoh segera.
“Pemulihan seawal usia mereka (mengalami katarak) amat penting bagi mengelak otak pesakit menjadi malas. Kebiasaannya, bila mula dirawat, mereka mula menunjukkan tanda-tanda positif apabila sudah mula aktif berjalan, menaiki tangga dan mula meneroka,“ katanya.
Baca juga: Penyakit diabetes ganggu penglihatan pesakit. Salur darah retina, titik fokus mata boleh rosak
Mengulas lanjut, ungkap beliau,selain faktor penuaan, punca katarak disumbang oleh beberapa alasan lain iaitu:
- Kecederaan atau trauma akibat kemalangan.
- Radang atau inflamasi.
- Pengambilan ubat-ubatan seperti steroid.
- Masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal.
Kepada satu soalan, beliau berkata, tiada bukti saintifik menyatakan merokok boleh menyebabkan katarak.
“Pun begitu, radikal bebas yang terhasil daripada amalan itu boleh merosakkan sel badan. Proses pengoksidaan dan inflamasi secara tidak langsung mempercepatkan proses penuaan,“ terangnya.
Begitu juga dengan masalah obesiti. Ia sebenarnya tidak mempunyai hubung kait isu kesihatan itu.
Bagaimanapun, terang Dr Norazah, kegemukan boleh menyumbang kepada masalah kencing manis, darah tinggi dan kolesterol yang akhirnya boleh memicu masalah katarak.
Baca juga: Semakin bertambah usia, risiko dapat rabun silau makin tinggi. Ini yang perlu kita lakukan
Apa pula pandangan pakar tersebut dengan dakwaan kononnya penggunaan gajet berlebihan juga boleh menjadi punca?
“Sukar untuk saya katakan gajet menyumbang kepada pembentukan selaput mata, namun tabiat tersebut boleh menyebabkan masalah rabun terutamanya kepada kanak-kanak. Ia juga boleh menyebabkan mata menjadi kering dan letih,“ katanya.
Mengenai tanda-tanda yang memungkinkan seseorang akan mengalami katarak adalah:
- Penglihatan menjadi kabur seolah-olah berjerebu.
- Warna yang dilihat kelihatan pudar.
- Mengalami kesukaran untuk bergerak.
Daripada pemerhatian pakar tersebut, kata beliau, warga emas biasanya tidak menyedari perkembangan katarak mereka yang barangkali semakin memburuk.
“Saya lihat, kebanyakan pesakit yang tinggal bersendirian mengalami kemurungan apabila penglihatan mereka semakin kabur. Rentetan itu, mereka tidak berminat untuk bertemu dengan orang dan lebih suka menyendiri di rumah,“ katanya.
Sesetengahnya pula berdepan kekurangan nutrisi kerana tidak nampak apa yang dimakan. Justeru, untuk mengelak semua hal itu berterusan, anak-anak harus memainkan peranan signifikan untuk membawa ibu atau bapa berjumpa dengan pakar mata.
Baca juga: Jangan ambil remeh! Sakit mata beserta kemerahan berisiko buta, ini wanita wajib tahu
“Seorang warga emas yang saya rawat begitu gembira kerana beliau kembali boleh membaca dengan jelas beberapa jam selepas menjalani rawatan katarak.
"Beliau malah menyesali kerana lambat menjalani prosedur tersebut,“ kongsi beliau.
Menurut Dr Norazah, orang ramai perlu memahami bahawa katarak yang terlalu matang dan tidak dirawat dengan sewajarnya boleh menyebabkan komplikasi seperti glaukoma atau radang mata.
“Keadaan tersebut juga boleh mengakibatkan kebutaan kekal dan mungkin tidak boleh dipulihkan,“ ujarnya.
Pecahkan katarak
Bagi mengulas lebih terperinci tentang rawatan katarak, SinarPlus menghubungi Pakar Bedah Mata dan Refraktif, Ikonik Eye Specialist and General Health Centre, Dr Noor Aniah Azmi.
Dengan tegas, Dr Noor Aniah berkata, katarak perlu dirawat apabila ia sudah mula mengganggu aktiviti harian seseorang.
“Dengan hanya menukar preskripsi cermin mata hanya membantu pesakit melihat dengan lebih baik untuk sementara waktu. Tiada ubat-ubatan yang boleh mengubati katarak melainkan dengan menjalani pembedahan sahaja,“ ujarnya.
Terkini, pakar tersebut memberitahu, satu prosedur pembedahan yang dikenali sebagai phacoemulsification akan dilakukan untuk memecahkan katarak.
“Kepingan selaput akan disedut keluar menggunakan teknologi ultrasound dan diganti dengan kanta buatan atau tiruan,“ katanya.
Secara asasnya, ujar beliau, kaedah tersebut tidak memerlukan sebarang jahitan pada mata dan proses pemulihan sangat pantas.
Penglihatan pesakit akan kembali jelas selepas beberapa hari pembedahan dilaksanakan.
Tambah Dr Noor Aniah, prosedur tersebut hanya mengambil masa beberapa minit dan menggunakan ubat bius jenis titis pada bahagian mata.
“Pesakit yang mempunyai masalah kencing manis atau darah tinggi perlu pastikan penyakit yang mereka hidapi berada pada tahap terkawal terlebih dahulu.
“Selain itu, pesakit mestilah boleh berbaring dengan tenang selama lebih kurang 30 minit,“ ujar beliau sambil menambah, mereka yang mengalami nafas mencungap mungkin dinasihatkan untuk dibius sepenuhnya.
Jika seseorang mengalami radang mata pula, ubat-ubatan akan diberikan untuk mengawal keradangan sebelum pembedahan dijalankan.
Menurutnya, masalah katarak tidak akan berulang dan penglihatan akan menjadi baik selepas rawatan dijalankan.
“Namun, ingin saya katakan, pembedahan katarak adalah selamat, namun komplikasi masih boleh berlaku. Situasi kekeruhan membran kanta yang baharu ditanam dikenali sebagai posterior capsular opacification boleh terjadi beberapa bulan atau tahun selepas pembedahan,“ katanya.
Bagaimanapun, ia boleh dirawat menggunakan prosedur laser yang pantas.
Bercakap soal segi pencegahan, beliau berkata, gaya hidup sihat boleh melewatkan berlakunya katarak. “Diet yang sihat yang merangkumi makanan tinggi vitamin, nutrisi dan pemakanan tambahan boleh mengurangkan risiko selaput mata.
“Mereka yang merokok pula dinasihatkan supaya berhenti kerana ia dapat mengelak daripada mempercepatkan proses penuaan,“ katanya. Diet yang sihat merangkumi makanan tinggi vitamin, nutrisi dan permakanan tambahan boleh mengurangkan risiko selaput mata.“ -Dr Noor Aniah
CARA penjagaan mata yang betul:
- Mereka yang sudah berusia 40 tahun digalakkan menjalani pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali.
- Lakukan pemeriksaan mata kering.
- Pesakit kencing manis perlu jalani pemeriksaan mata setahun sekali.
- Amalkan pemakanan sihat yang tinggi antioksidan dan kaya dengan vitamin.
- Dapatkan tidur yang mencukupi.
- Hadkan masa melihat skrin.
- Rehatkan mata melalui kaedah 20-20-20 rules iaitu bagi setiap 20 minit masa menghadap skrin, rehatkan mata selama 20 saat dan lihat sesuatu yang jauh selama 20 minit lagi.
- Kelip mata secara berkala
Sumber DR NOOR ANIAH
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang