KEBIASAANNYA, jika seseorang itu kerap makan dan tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti bersenam, pastinya berat badan sudah menjadi tidak terkawal.

Namun demikian, jika sebaliknya berlaku iaitu berat badan langsung tidak terjejas, ia berkemungkinan besar menunjukkan gejala kepada penyakit hipertiroidism.

Menurut perkongsian Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Dr Sazwan Reezal Shamsudin, beliau berkata, individu yang tergolong dalam kumpulan itu, jangan terlalu seronok.

Dr Sazwan Reezal Shamsudin.

“Jika ia berlaku, petanda itu bukan ‘anugerah’ sebaliknya salah satu gejala penyakit hipertiroidism,” katanya seperti dipetik melalui Twitternya @drwaque.

Apa itu penyakit hipertiroidism?

Menjawab soalan itu, Dr Sazwan menjelaskan ia adalah masalah kesihatan apabila kelenjar tiroid terlebih merembes hormon thyroxine.

Sebenarnya, tiroid adalah kelenjar berbentuk seperti kecil kupu-kupu yang terletak pada bahagian depan leher.

Ia menghasilkan tetraiodothyronine (T4) dan triiodothyronine (T3) yang merupakan dua hormon utama yang mengendalikan bagaimana sel menggunakan tenaga.

Kelenjar tiroid juga berpesanan untuk mengawal metabolisme badan melalui pembebasan hormon berkenaan hipertiroidism berlaku apabila tiroid membuat terlalu banyak T4, T3, atau kedua-duanya.

Memperincikan lebih mendalam mengenai hipertiroidism, katanya, antara gejala lain penyakit berkenaan adalah:

i) Mudah berpeluh walaupun suhu sejuk.

ii) Mudah marah.

iii) Sentiasa rasa berdebar-debar walaupun dalam keadaan rehat.

iv) Jari menggeletar.

v) Mudah letih dan rasa resah (anxious).

Selain itu, keadaan mata terjojol atau exophthalmos juga berkemungkinan simptom seseorang mempunyai masalah hipertiroidism.

Ujar Dr Sazwan, dalam mendiagnosis hipertiroidism, doktor akan bertanya mengenai gejala yang dialami oleh pesakit dan melakukan pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda hipertiroidism.

Iklan

“Sekiranya doktor telah melihat tanda-tanda hipertiroidism, ujian darah akan dilakukan untuk mengukur tahap hormon tiroid-inducing (TSH) dan hormon tiroid dalam darah.

“Ujian darah juga dilakukan untuk mengukur kadar kolesterol dan gula dalam darah yang tinggi yang dapat menjadi tanda gangguan metabolik akibat hipertiroidism,” katanya.

Dalam pada itu, portal kesihatan alodokter.com menyatakan, ujian lanjutan untuk mengesan penyebab hipertiroidism juga akan dilakukan. Antaranya:

i) Ultrasound tiroid untuk memeriksa keadaan kelenjar tiroid dan mengesan ketulan atau ketumbuhan pada kelenjar.

ii) Imbasan tiroid (tiroid nuklear) untuk mengimbas keadaan kelenjar tiroid dengan kamera khas dengan sebelumnya disuntik bahan radioaktif ke dalam saluran darah.

iii) Ujian iodin radioaktif yang sama seperti imbasan tiroid adalah untuk mengimbas kelenjar tiroid yang mana pesakit akan diminta untuk menelan zat radioaktif (mengandungi dos iodin yang rendah).

Mengenai komplikasinya pula, Dr Sazwan memberitahu, hipertiroidism akan memberi kesan terhadap jantung pesakit.

Iklan

“Jantung pesakit akan berhadapan masalah ritma tidak normal. Jika tidak dirawat, pesakit akan menghadapi sesak nafas lalu berlakunya kegagalan jantung.

“Lebih parah, jika hipertiroidism sudah berada di tahap yang teruk, pesakit akan ‘diganggu’ sehingga tidak sedarkan diri (koma),” tulisnya lagi.

Namun demikian, usah risau kerana hipertiroidism boleh dirawat.

“Rawatan hipertiroidism sebenarnya bertujuan untuk mengembalikan tahap hormon tiroid yang normal dan merawat penyebabnya.

“Jenis rawatan yang diberikan juga berdasarkan keparahan gejala, usia dan keadaan keseluruhan pesakit,” beritahu Dr Sazwan.

Oleh itu, seandainya berhadapan simptom-simptom seperti dinyatakan di atas, dapatkan nasihat doktor dan rawatlah segera sebelum bertambah parah. Jangan ambil mudah ya… Semoga bermanfaat.