SABAN tahun bermula pada bulan Jun hingga Ogos, negara kita akan mengalami ‘demam durian’.

Sana sini terutama di tepi jalan, peniaga menjual pelbagai jenis raja buah itu dengan harga mengikut gred.

Wabak pandemik yang masih berleluasa sehingga kini sedikitpun tidak menghalang mereka berbuat demikian kerana permintaan dalam kalangan orang ramai tetap tinggi. Malah pembelian secara online juga boleh diakses dengan mudah.

Bercerita tentang soal durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus, baru-baru ini kecoh apabila warganet berhujah secara serius tentang implikasi negatif menikmati durian selepas proses vaksinasi Covid-19.

Itu semua menjadi bualan selepas seorang lelaki didakwa meninggal dunia disebabkan makan durian selepas menerima suntikan.

Menurut laporan akhbar tempatan, kematian itu dilaporkan berlaku di sebuah restoran. Mangsa yang membungkus makanan dan minuman dikatakan tiba-tiba terjatuh dari kerusi tempat duduknya sehingga tidak sedarkan diri.

Melihat situasi berkenaan, masyarakat mula tertanya-tanya sejauhmana bahayanya durian sehingga memberi dampak buruk kepada kesihatan.

Enggan persoalan itu berlegar begitu sahaja, SinarPlus mengambil inisiatif mendapatkan pandangan seorang pegawai farmasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Fahmi Hassan.

Fahmi Hassan.

Memberi respons terhadap kejadian mengejut itu, Fahmi dengan pantas menyanggah dakwaan kononnya pemergian mangsa berpunca daripada durian yang dimakan sejurus selepas beberapa jam mengambil vaksin.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali dan kematian lelaki itu sebenarnya disebabkan oleh serangan jantung. Jadi, bukan salah durian,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tidak ancam nyawa

Kepada SinarPlus, berkali-kali pegawai farmasi terkenal itu menegaskan bahawa menikmati durian selepas vaksinasi bukan satu isu yang boleh mengancam kesihatan seseorang.

Jelas beliau, durian ialah sejenis buah yang berkhasiat dan tinggi serat.
“Sekiranya ia diambil secara berpada-pada, ia adalah selamat dan tidak akan memberikan impak terhadap kesihatan termasuklah selepas menerima suntikan vaksin Covid-19. Jadi, pemahaman yang tular menyebut ada yang maut selepas makan durian sebelum atau selepas vaksin perlu diperbetulkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi menyarankan agar setiap daripada kita membuat pemantauan dari segi diet yang seimbang sebelum membuat rumusan bahawa sesuatu makanan atau sajian tidak elok untuk dihadam.

“Sekiranya keputusan untuk mengurangkan atau tidak mengambil durian disebabkan untuk mengawal kuantiti pengambilan karbohidrat seharian, ia adalah satu tindakan yang wajar.

“Ingin saya jelaskan di sini, durian mengandungi kandungan tenaga yang tinggi. Jadi, terdapat kemungkinan seseorang itu rasa tidak selesa atau ‘panas’ selepas memakan durian disebabkan oleh aktiviti metabolisme badan,” terangnya.

Namun, jika keputusan mahu mengelak durian dek termakan dengan kata-kata momokan yang berhamburan tanpa henti melalui media sosial, ia adalah satu percaturan yang terpesong.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, mengambil durian dalam kuantiti yang sedikit sememangnya tiada isu berbangkit terutama kepada mereka yang sihat, waima kepada golongan yang mempunyai penyakit kronik.

Pun demikian, amaran diberikan kepada pesakit diabetes dan gangguan fungsi ginjal.

“Sekiranya kumpulan pesakit itu makan secara keterlaluan melebihi paras bahaya dan masuk ke dalam aliran darah, keadaan ini boleh menyebabkan hiperkalemia iaitu keadaan yang mana kadar kalium dalam darah terlalu tinggi.

Gejala yang muncul akibat hiperkalemia boleh menyebabkan pesakit lemah otot, mengalami kesemutan dan gangguan degupan gantung,” ujarnya.

Fahmi turut menjelaskan satu lagi kepercayaan karut yang dipercayai ramai.Tegasnya, pihak yang mengusulkan perlunya makan paracetamol sebelum divaksinasi untuk mengelak demam juga satu saranan yang tidak munasabah.

“Teknik yang sebenar adalah ambil panadol apabila demam atau sakit sahaja,” jelasnya.

Selain itu, terdapat beberapa lagi mitos lain yang dikongsikan oleh Fahmi dan semuanya itu dusta sama sekali.

Antara intipati yang tidak boleh dipercayai adalah:

  • Tidak demam selepas vaksin menunjukkan suntikan itu tidak berfungsi.
  • Perlu elak makan makanan pedas sebelum divaksin.
  • Tidak boleh mandi selepas divaksin.
  • Perlu mengurung diri selepas proses vaksinasi kerana boleh menjangkiti orang lain.

“Apabila terlalu banyak mitos inilah yang menyebabkan berlaku salah faham dalam komuniti kita. Ingat, vaksin Covid-19 tidak mengandungi virus hidup. Seseorang itu tidak akan positif (saringan) atau menjangkiti orang lain gara-gara vaksin,” katanya.

Redakan tekanan

Untuk mengukuhkan fakta-fakta yang dikemukakan Fahmi, penulis kemudian menghubungi Doktor Perubatan Swasta, Klinik Hijraa Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu, Dr Ahmad Samhan Awang.

Dr Ahmad Samhan.

Senada dengan pegawai farmasi itu, Dr Ahmad Samhan berkata, tidak wujud kesan sampingan menikmati durian sebelum atau selepas vaksin.

Pada masa sama, beliau meyakinkan semua pihak bahawa tiada kajian yang menunjukkan durian boleh memudaratkan kandungan ibu yang sedang hamil.

“Jadi, suka untuk saya kongsikan di sini, wanita yang mengandung juga tidak perlu gusar untuk memakan durian, namun, kena kawal kuantiti pengambilannya,” pesannya.

Sebelum meneruskan perkongsiaan mantan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur itu, SinarPlus membentangkan kandungan yang terdapat dalam sebiji durian seperti yang dimuat naik oleh Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman web mereka.

  • Tenaga (83 kcal)
  • Karbohidrat (15 gram (g))
  • Protein (1.5g)
  • Lemak (1.8g)
  • Kalsium (21.5 miligram (mg))
  • Kolesterol (0mg)
  • Vitamin C (12.6mg)
  • Kalium (37.7mg)
  • Natrium (21.5mg)
  • Ferum (1.0mg)

Membicarakan tentang khasiat durian, Dr Ahmad Samhan menyenaraikan satu persatu kelebihan raja buah itu. Antaranya:

1. Durian kaya dengan vitamin C.
Berfungsi sebagai antioksidan dan antipenuaan serta menjaga kesihatan kulit. Setiap 100 gram durian mempunyai lebih kurang 24 miligram vitamin C.

Iklan

2. Meningkatkan mood, rasa gembira.
Durian mempunyai amino asid triprophan yang boleh memberi suasana yang ceria dan gembira buat si pemakan. Bukan itu sahaja, ia juga membantu meningkatkan kualiti tidur seseorang.

3. Melancarkan sistem penghadaman.
Raja buah itu sangat membantu mereka yang mempunyai masalah sembelit kerana kandungannya yang tinggi serat.

4. Meredakan tekanan.
Durian mempunyai kandungan vitamin B6 atau dikenali sebagai pridoksin yang boleh meredakan tekanan seseorang.

5. Menjamin kesihatan gigi.
Selain itu, durian membantu dalam aspek penjagaan kesihatan gigi dan mulut kerana mengandungi phosphor.

6. Kesihatan tulang.
Durian juga mengandungi banyak potassium atau kalium yang baik untuk kesihatan tulang dan sendi.

“Di sebalik semua kebaikan itu, dalam seulas durian juga mempunyai kalori yang tinggi dan boleh menyebabkan kegemukan jika diambil berlebihan.

“Badan kita juga boleh menjadi terlalu panas akibat metabolisme penghadaman kerana buah ini akan menghasilkan gas dan alkohol yang boleh menyebabkan seseorang sakit perut. Oleh itu, berpada-padalah ketika makan durian,” pesannya.

Dr Fatimah betulkan persepsi salah pantang larang makan durian

SEORANG ahli akademik tampil memperbetulkan kembali mitos yang dimomokkan mengenai makanan yang tidak boleh dimakan ketika dan selepas menikmati durian.

Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim ketika dihubungi baru-baru ini menegaskan, kebanyakan intipati yang ditularkan salah sama sekali.

“Jika kita membuat carian di Google misalnya, memang terlalu banyak larangan yang menjadi bualan. Namun, saya percaya, cerita-cerita itu timbul kerana ramai yang menghadapi masalah sama atau ia hanya satu kebetulan sahaja,” katanya.

Antara makanan yang viral kononnya tidak boleh dimakan ketika atau selepas kenyang menjamah durian adalah seperti susu, daging, ketam, buah-buahan sejuk dan kopi

Iklan

“Sebenarnya, salah satu daripadanya saya kerap praktik iaitu makan durian dengan susu. Susu mengandungi kasein yang boleh meneutralkan kesan gas daripada durian, sekali gus bagus untuk sistem penghadaman.

“Siapa yang cakap susu tidak boleh makan campur dengan durian? Itu hanya mitos sahaja. Rugilah hidup kalau macam itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Fatimah juga menyarankan agar orang ramai mengambil tahu tahap kesihatan badan masing-masing.

Dr Fatimah.

“Jadilah seorang yang kritikal terhadap pemakanan terutamanya mereka yang mudah sakit dan telah disahkan menghidap sesuatu penyakit.

“Jika doktor atau pakar pemakanan melarang anda mengambil makanan tertentu, pasti ada sebab kukuh,” ungkapnya.

Memberi contoh, pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang boleh terkesan dengan durian kerana kandungan bahan kimia potassium yang tinggi.

“Penting untuk orang ramai tahu, potassium yang berlebihan dalam badan (tidak ditapis keluar oleh buah pinggang) akan mengganggu fungsi kontraksi otot jantung dan seterusnya boleh membawa maut,” jelas beliau.

Bagaimanapun, ulas pakar itu lagi, kepada mereka yang sihat pula, tidak ada masalah untuk menggabungkan makanan tersebut.

“Tidak akan berlaku tindak balas kimia yang signifikan dalam sistem penghadaman sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Pun begitu, ingatlah setiap makanan yang dimakan secara berlebihan boleh mendatangkan banyak mudarat.

“Satu lagi, makanan yang tak sesuai untuk kita, belum tentu tak sesuai kepada orang lain. Jadi, janganlah pukul sama rata melarang atau mengiakan semuanya,” nasihat Dr Fatimah.