“Pelikkan mengapa kepala ikan sahaja dikatakan melemahkan ingatan, bukan makan kepala lembu, kambing atau ayam pun… Kalau saya part kepalalah paling sedap tak kira kari atau goreng…”.

ITULAH antara perkongsian seorang warganet mengenai makan kepala ikan yang dimomokkan kononnya boleh merisikokan daya ingatan kita.

Mengulas lanjut mengenai itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Dietetik, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Bebiyana Bidin.

Jadi, semua orang kena peka mengenai fakta ini kerana datang daripada pandangan seorang pakar.

Kata Bebiyana: “Ikan merupakan salah satu sumber protein yang rendah lemak kerana memberi sumber omega-3 yang baik.”

Untuk pengetahuan semua pembaca, omega-3 tidak boleh dihasilkan oleh tubuh jadi ia mesti diambil dari sumber makanan yang kita makan.

“Fungsi omega-3 sebenarnya bagi merendahkan kolesterol dan seterusnya mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular, penyakit jantung dan strok.

“Sebenarnya, kari merupakan salah satu rempah yang sering digunakan di Malaysia terutamanya makanan India.

” Menarik untuk diketahui, ia (rempah) mempunyai kandungan antioksida yang tinggi seperti curcumin, quercetin, pinene, lutein, zeaxanthin dan cumina,” katanya.

Bebiyana menambah, bukan itu sahaja, rempah turut mempunyai fungsi antikanser (Korean Journal of Urology edisi Oktober 2012) dan menikmatinya sangat bagus untuk tujuan pengawalan kolesterol (International Journal of Experimental Pathology edisi Oktober 2011).

Iklan

“Jadi, ingin saya tegaskan, itu hanyalah mitos sahaja dan ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Itu penjelasan pakar. Jadi, maknanya dakwaan kononnya makan kepala ikan boleh lemahkan atau rosakkan ingatan seseorang tak betul.

Namun, apa-apapun, ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil disarankan menikmati isi ikan ataupun daging putih ditambah dengan sayur-sayuran dan buahan segar. Itu lebih baik!

ANEKDOT

Iklan

KARI kepala ikan memang sedap tapi sekiranya diambil dengan selalu pastikan beberapa perkara berikut:

1. Gantikan santan pekat dengan produk santan ditrim atau produk santan yang superlight. Rasanya sama tetapi kandungan lemak lebih rendah.
2. Gantikan dengan susu sejat atau separuh santan dan separuh lagi susu sejat.
3. Boleh juga mencuba membuat kuah kari pekat tanpa santan.
4. Campurkan sayur-sayuran seperti bendi, tomato dan terung untuk tingkatkan pengambilan sayur.
5.Hadkan pengambilan makanan bersantan kepada dua kali seminggu (santan tinggi dengan lemak tepu).
6. Santan tidak mempunyai kolesterol sama sekali tetapi menpunyai kandungan lemak yang tinggi sehingga boleh meningkatkan kandungan kolesterol dalam badan.

Sumber: Pakar Dietetik, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Bebiyana Bidin.