KULIT hitam di bahagian siku dan lutut sering menjadi masalah khususnya golongan wanita kerana dilihat kurang sempurna.

Hakikatnya memang sukar untuk ia dihilangkan meskipun pelbagai produk telah digunakan.

Kesan gelap ini sebenarnya disebabkan oleh hasil pengumpulan sel kulit mati. Anda sepatutnya membersihkan bahagian ini betul-betul ketika mandi bagi membuang daki.

Pun begitu, anda tak perlu risau. Ada cara semula jadi untuk menghilangkan kesan gelap tersebut dengan menggunakan bahan berkenaan:

1. Buah lemon

Buah ini bukan sahaja digunakan untuk memasak tetapi juga sangat baik untuk merawat masalah kulit. Caranya mudah.

Potong buah lemon kepada dua bahagian. Gosokkan ia pada siku dan lutut. Cuci dengan air bersih. Ulang kaedah ini selama dua minggu untuk melihat kesannya.

2. Serbuk penaik dan buah lemon

Hasilkan skrub dengan mencampurkan serbuk penaik ataupun garam dengan air lemon dan kacau hingga rata. Kemudian gosokkan ia pada siku dan lutut. Biarkan sehingga 20 minit sebelum bilas semula dengan air suam.

3. Timun

Ciri pemutih dalam timun berupaya menanggalkan sel kulit mati dan membuat kulit anda kekal lembap. Ia diperkaya dengan vitamin A dan C yang menyuburkan dan memelihara kualiti kulit.

Seperti lemon, potong timun dan gosokkan pada lutut dan siku selama lima ke 10 minit. Biarkan ia mengering seketika sebelum dibilas dengan air bersih. Sebaiknya lakukan proses ini setiap hari.

4. Minyak kelapa

Iklan

Selain berguna untuk lebatkan rambut, minyak kelapa kaya dengan vitamin E dan asid lemak yang mampu untuk bina semula kulit dan hilangkan tompok hitam.

Biasakan lepas mandi, gosok minyak kelapa sekurang-kurangnya selama dua minit. Bilas selepas beberapa minit dan ulangi proses ini setiap hari.

5. Lidah buaya

Siapa sangka selain untuk perawatan rambut lidah buaya juga memberikan manfaat yang baik untuk kulit?

Iklan

Caranya, belah lidah buaya menjadi dua bahagian. Ambil gel yang terkandung dalam lidah buaya, lalu sapukan pada siku ataupun lulut.

Paling elok biarkan semalaman sebelum dicuci dan sapukan bahan pelembap seperti losyen lidah buaya untuk mendapatkan kesan terbaik.

Selamat mencuba!

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: UNSPLASH