HAKIKATNYA, ramai antara kita fobia dengan darah. Ada sesetengah akan pengsan sebaik terlihat segumpal darah.

Melihat fenomena berkenaan, pelbagai kempen derma darah dianjurkan sehingga halwa telinga kita lali mendengar tagline ‘sumbangan darah anda mampu menyelamatkan banyak nyawa‘.

Namun, sejauh mana keberkesanan saranan itu ekoran masih ramai kekal dengan perasaan takut dan tidak kurang juga berkongsi alasan klise kononnya menderma darah boleh menggemukkan badan.

Sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada 14 Jun lalu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Noryati Abu Amin mengenai keterbukaan rakyat Malaysia menderma darah.

Dr Noryati.

Dr Noryati ketika dihubungi berkata, masyarakat Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kesedaran untuk berbuat demikian dari tahun ke tahun.

“Mengikut statistik, pada tahun 2018 sebanyak 720,000 unit beg darah berjaya dikumpul manakala tahun sebelumnya 698,000 unit beg darah,” katanya.

Pun demikian, ketika Perintah Kawalan Pergerakan lalu, bekalan darah dilaporkan merudum.

Itu semua berlaku, katanya, disebabkan ‘keterbatasan’ akibat wabak Covid-19 di samping pembatalan beberapa program menderma darah.

“Meskipun berlaku penurunan hampir 30 ke 40 peratus, stok darah masih mencukupi kerana penggunaan juga menurun. Alhamdulillah, bermula Syawal lalu, penderma darah sudah mula tampil dan bekalan darah telah kembali pulih,“ katanya.

Menjawab satu soalan lain, Dr Noryati berkata, darah terdiri daripada tiga komponen yang boleh diproses iaitu sel darah merah, platelet dan plasma.

Plasma boleh disimpan hingga dua tahun sementara sel darah merah (35 hari) dan platelet (lima hari).

Terang beliau, sel darah merah banyak digunakan untuk pesakit yang memerlukan transfusi darah apabila berlaku pendarahan berlebihan seperti kemalangan, pembedahan atau tumpah darah semasa bersalin.

“Sel darah merah juga diperlukan untuk transfusi darah secara berkala bagi pesakit talasemia, kanser dan penyakit buah pinggang demi mengekalkan kualiti kehidupan yang baik,“ jelasnya lagi.

Persepsi menyimpang

Perbualan SinarPlus dengannya diteruskan dengan kupasan mengapa masih ada yang ragu-ragu untuk menderma darah sedangkan banyak manfaat kesihatan yang bakal diperoleh.

“Keadaan tersebut berlaku akibat kurangnya maklumat, pengetahuan dan persepsi terpesong masyarakat. Mereka antara lain fikir akan dapat jangkitan termasuk penyakit HIV dan hepatitis, itu tak tepat,“ katanya.

Bagi memperbetulkan anggapan yang menyimpang itu, Dr Noryati menerangkan, prosedur untuk menderma darah hanya boleh diuruskan oleh fasiliti kesihatan yang berdaftar dan ia merupakan prosedur perubatan yang terkawal seperti penggunaan peralatan pakai buang bagi setiap pendermaan.

Justeru, PDN katanya, akan terus bergiat aktif menggalakkan dan memberi kesedaran kepada orang ramai.

Iklan

“PDN akan memberi maklumat yang tepat dan mudah difahami dengan cara menyeluruh di semua platform. Kami juga sedang berusaha untuk memberi kesedaran awal termasuk melaksanakan kempen di sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noryati memberitahu, secara keseluruhannya sebanyak 2,000 unit beg darah perlu dikumpul setiap hari di seluruh Malaysia dengan 60 peratus merupakan penderma tetap.

Malaysia, katanya, adalah antara 80 negara yang  mempunyai sistem derma darah 100 peratus secara sukarela tanpa bayaran bagi memastikan kesediaan stok darah untuk kegunaan pesakit selaras saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Tiada masalah kesihatan walau sudah 13 kali derma darah

‘TERPENGARUH’ dengan tindakan mulia suami dan adik iparnya, telah mendorong Rozita Ramli, 37, menderma darah sebanyak 13 kali sejak tahun 2015.

Iklan

“Suami saya, Ahmad Rithauddeen Zainal Aripin, 38, sudah 18 kali menderma darah manakala adik ipar saya, Siti Nor Zaira Zainal Aripin, 35, sudah 24 kali.

Rozita Ramli (kiri), bersama suaminya menderma darah di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

”Saya gembira dapat ikut jejak langkah mereka dan rasa teruja kerana dapat membantu orang lain yang memerlukan. Hari ini kita bantu mereka, mana tahu esok mereka pula akan bantu kita,” ungkapnya sambil memberitahu, sehingga kini beliau tidak berdepan dengan sebarang masalah kesihatan selepas berbuat demikian.

ANEKDOT

Keistimewaan menderma darah

  • 1 kali: Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (tidak termasuk bayaran X-ray dan pembedahan) serta wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.
  • 2 kali (dalam tempoh 12 bulan): Percuma suntikan pencegahan Hepatitis B.
  • 2 hingga 5 kali: Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan serta wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.
  • 6 hingga 10 kali: Percuma rawatan pesakit luar selama 1 tahun serta rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 6 bulan.
  • 11 hingga 15 kali: Percuma rawatan pesakit luar selama 2 tahun serta rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 1 tahun.
  • 16 hingga 20 kali: Percuma rawatan pesakit luar serta rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 2 tahun.
  • 21 hingga 30 kali: Percuma rawatan pesakit luar serta rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 3 tahun.
  • 31 hingga 40 kali: Percuma rawatan pesakit luar serta rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 4 tahun.
  • 41 hingga 50 kali: Percuma rawatan pesakit luar serta rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 6 tahun.
  • Lebih 50 kali bagi penderma darah lengkap, lebih 150 kali bagi penderma aferesis: Percuma rawatan pesakit luar serta rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun. Wad kelas dua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu.

Sumber: Pusat Darah Negara