PADA tanggal 13 April ini, umat Islam di serata dunia bakal menjalani ibadah puasa yang sangat dirindui.

Dari perspektif Islam, amalan berpuasa sememangnya sarat dengan fadilat dan kemaslahatannya.

Namun, dari sudut pandangan sains dan perubatan, apa kelebihan berpuasa yang ramai orang tidak tahu? Adakah ia mampu merehatkan sistem pencernaan dan penghadaman manusia secara menyeluruh atau sebaliknya?

Untuk mengupas mengenainya lebih lanjut, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Klinikal, Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Khairul Najmi Muhammad Nawawi.

Dr Khairul Najmi Muhammad Nawawi.

Dr Khairul Najmi berkata, sistem pencernaan manusia merupakan satu sistem yang kompleks.

“Ia (sistem pencernaan) antara lain berfungsi untuk mencernakan makanan yang dimakan dan ditukarkan kepada nutrien penting untuk digunakan untuk mendapatkan tenaga, tumbesaran dan membaiki sel-sel badan. Sebenarnya, sistem pencernaan kita ‘bekerja’ dengan sangat kuat dan secara terus-menerus selama lebih kurang 18 jam sehari,” katanya membuka perbincangan.

Secara asasnya, sistem pencernaan terdiri daripada saluran gastrointestinal, hati, pundi hempedu dan pankreas. Saluran gastrointestinal pula merangkumi mulut, esofagus, perut, usus kecil dan usus besar.

Ujar pakar itu, apabila seseorang berpuasa iaitu dengan tidak menjamah makanan dan meneguk setitis air, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada sistem pencernaan untuk berehat daripada ‘tugas’ utamanya.

“Bukan itu sahaja, ia juga membuka ruang kepada badan untuk melakukan tugas-tugas lain yang tidak kurang pentingnya kepada fisiologi badan,” katanya.

Secara praktisnya, kata Dr Khairul Najmi, badan manusia memerlukan tenaga yang diperoleh daripada glukosa yang datangnya daripada zat karbohidrat seperti bijiran, hasil tenusu, buah-buahan dan sesetengah sayur-sayuran seperti pisang dan epal, ujarnya.

“Glukosa yang terhasil ini akan disimpan di dalam organ hati dan juga otot. Semasa kita berpuasa, puasa yang sebenar-benarnya hanyalah berlaku apabila kita sudah berhenti daripada makan dan minum selama lima hingga enam jam.

“Ketika ini, simpanan glukosa di dalam hati sudah hampir habis digunakan. Badan kemudiannya akan bertindak dengan menggunakan lemak yang ada sebagai sumber tenaga,” jelasnya memperhalusi bagaimana aturan tubuh badan seseorang berfungsi tatkala berpuasa.

Terapeutik, lawan penyakit

Puasa kata pakar berkenaan, sememangnya mempunyai 1,001 hikmah yang tersendiri.

“Puasa adalah satu proses terapeutik yang sangat berkesan bagi membantu memulihkan keadaan kesihatan seseorang. Badan manusia ini mempunyai kuasa penyembuhan yang boleh diaktifkan dalam keadaan perut dikosongkan,” katanya.

Selain itu, ujar Dr Khairul Najmi, amalan yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam itu juga dapat berfungsi sebagai detoksifikasi yang mana bahan toksik di dalam badan akan dineutral dan dinyahkan.

“Proses itu akan menyebabkan organ pencernaan menjadi lebih bersih dan fungsi hormon dan enzim yang berkaitan dapat dikuatkan,” jelasnya.

Sudah banyak kajian perubatan juga telah menunjukkan bahawa berpuasa dapat mengubah komposisi bakteria yang terdapat di dalam usus.

“Bilangan bakteria yang baik didapati meningkat, manakala bakteria tidak baik pula menurun. Perubahan komposisi bakteria ini dijangkakan dapat memberi kesan positif kepada badan,” katanya lagi.

Kepada SinarPlus, Dr Khairul Najmi berkata, beliau bersetuju 100 peratus bahawa berpuasa adalah adalah fasa terbaik melawan komplikasi penyakit.

“Kita lihat, antara kesan utama daripadanya adalah berlaku pengurangan berat badan.

“Sudah pasti, ia amat berguna kepada individu yang mempunyai masalah berat badan berlebihan. Apabila berat badan dapat dikurangkan, masalah kesihatan yang lain juga secara tidak langsung dapat diperbaiki dan diatasi terutamanya masalah jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis,” katanya sambil menambah kelebihan berpuasa yang lain adalah termasuk berupaya mengurangkan gula dalam darah, mengurangkan kolesterol dan lemak dalam darah termasuk hati.

Kepentingan sahur

Apa akan jadi sekiranya sistem pencernaan badan terganggu gara-gara pengambilan makanan yang tidak seimbang dan berlebihan?

“Ya, hal ini juga boleh berlaku apabila seseorang kembali menikmati sajian secara semberono ketika berbuka puasa.

Antara penyakit yang terkait yang boleh dihidapi adalah seperti gastroesophageal reflux disease atau adalah gangguan pencernaan yang berlaku ketika jus perut berasid dan sindrom iritasi usus (gangguan biasa yang mempengaruhi usus besar) serta keradangan usus.

“Lebih parah, sistem pencernaan yang terganggu juga boleh menyebabkan kanser usus besar atau kolorektal,” katanya.

Antara gejala lain yang boleh berlaku adalah seperti sakit perut, pedih ulu hati, perut kembung, sakit kepala dan stres, sembelit atau cirit-birit, najis berdarah dan penyusutan berat badan.

Bagi mengatasi kemelut berkenaan, tiada penawar atau cara lain untuk menyelesaikannya melainkan mempraktikkan diet dan seimbang, ujar Dr Khairul Najmi.

“Paling penting sekali adalah kurangkan kandungan gula dan garam dalam penyediaan makanan dan perlu amalkan saranan konsep suku-suku separuh yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” pesannya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali turut melontarkan hujahnya.

Dr Mohamad Suaidi.

Kata beliau, Ramadan merupakan bulan yang mana umat Islam akan berpuasa antara 12 hingga 14 jam sehari dan mungkin lebih bagi sesetengah negara.

Lantaran itu, persediaan tubuh badan untuk melalui fasa puasa pada siang hari juga perlu dititikberatkan.

Ujar beliau, ketika seseorang menahan lapar dan dahaga, pelbagai perubahan secara fisiologinya berlaku kepada tubuh badan terutamanya pada sistem penghadaman.

“Selalunya sistem pencernaan badan akan menerima makanan tiga kali sehari iaitu ketika serapan pagi, tengah hari dan makan malam, malah kadangkala boleh menjangkau enam kali dalam sehari.

“Apabila kita berpuasa, sistem penghadaman akan berehat daripada terus mencerna makanan. Segala sel, otot dan fungsi organ tubuh akan terlibat secara langsung ketika perubahan fisiologi badan seseorang sedang berpuasa. Hal ini akan menyebabkan badan kita menjadi lebih ringan dan sihat,” katanya.

Iklan

Sehubungan itu, kata Dr Mohamad Suaidi, umat Islam digalakkan untuk bersahur pada setiap hari tanpa gagal.

“Apabila kita bersahur, makanan yang kita hadam akan membekalkan tenaga yang mencukupi. Saranan saya, makanlah makanan berserat kerana ia akan membantu pergerakan saluran penghadaman,” ujarnya.

ANEKDOT

ANTARA tip bagi menjaga sistem penghadaman adalah:

1) Pengambilan makanan berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang membantu pergerakan usus seperti pisang, kurma, betik dan brokoli.

2) Meminum air yang cukup iaitu secara puratanya sebanyak dua liter air sehari. Badan yang kekurangan air akan menjadi lesu, tidak bermaya dan mudah hilang tumpuan semasa melakukan kerja harian.

3) Elakkan makan pedas dan berminyak yang boleh membuatkan perut kita rasa tidak selesa atau sakit.

4) Pengambilan makanan seperti susu atau yogurt mampu mengurangkan masalah sistem pencernaan kerana probiotik yang wujud di dalam makanan ini mampu mmengurangkan masalah sistem pencernaan.

5) Elakkan makan terlalu banyak ketika berbuka puasa dan bersahur kerana tindakan itu akan membuatkan badan menjadi letih kerana proses pencernaan. Sebaliknya, ambil makan secara bersederhana.

Sumber: Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali           

Iklan

‘Amalan berpuasa bantu saya kurang kadarkan kolestrol tinggi’

ROZANI ISMAIL, 35, merupakan seorang pesakit yang mempunyai kolestrol yang tinggi dalam badan.

Pemuda yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang itu berkata, meskipun demikian beliau tidak mengambil pusing soal pemakanannya.

Pendek kata, kalau tekaknya mahu makan sesuatu makanan, beliau akan terus menikmatinya walau makanan itu ditegah oleh doktor.

“Saya akui, jarang sekali saya mementingkan aspek pemilihan makanan, boleh dikatakan saya langsung tidak berpantang walau tahu diri ini berpenyakit,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Namun demikian, ujar Rozani, selepas mengadakan beberapa siri pertemuan bersama doktor, beliau dinasihatkan untuk mempraktikkan amalan berpuasa sebagai salah satu alternatif untuk mencegah penyakitnya.

Terlebih dahulu, lelaki itu memberitahu, beliau mengamalkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.

Pada masa sama, ujarnya, beliau mengajar dirinya mendisiplinkan diri dengan makan sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk mengurangkan pengambilan gula dan garam. Kadangkala, beliau akan meluangkan masa untuk bersenam.

“Pada awalya, memang agak susah, namun lama-kelamaan saya sudah terbiasa. Kalau diikutkan sudah hampir setahun saya mempraktikkan amalan berpuasa seperti yang dicadangkan pakar.

“Bagaikan satu rutin, setiap hari Isnin dan Khamis, memang saya akan berpuasa dengan niat kerana ALLAH SWT dan berdoa agar pendekatan ini dapat mengurangkan masalah kolestrol saya,” katanya yang turut teruja dengan Ramadan yang bakal disambut tidak lama lagi ini.

Akui Rozani, nikmat daripada amalan tersebut, dirinya bukan sahaja dapat meninggalkan tabiat merokok, malah kini memiliki berat badan ideal dan memperoleh bacaan kolestrol yang normal.

“Perut itu adalah ‘rumah penyakit’ dan banyak makan itu punca segala penyakit. Jadi, amalan berpuasalah sebaik-baiknya pendekatan dalam mencegah pelbagai penyakit,” katanya.