DISEBABKAN terlalu kuat bekerja, Bazlan Mohd Idris, 53, (bukan nama sebenar) diserang strok. Bukan sekali, tetapi sudah tiga kali kejadian yang sama berlaku.

Ujar kontraktor berkenaan, kali ketiga beliau dikejarkan hospital, kondisi kesihatannya agak teruk.

“Saya berada di wad hampir sebulan lamanya. Itu satu hal, namun perkara yang mengejutkan saya, mata sebelah kiri saya rasa ‘lain macam‘.

“Selepas melihat cermin, saya perasan mata saya menjadi juling,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagi mengulas lebih terperinci tentang masalah juling, SinarPlus mewawancara Ketua Jabatan Optometri & Sains Visual, Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat, Management & Science University (MSU), Fairuz Mohd Nordin (gambar).

Terlebih dulu, Fairuz menjelaskan, juling atau nama saintifiknya, strabismus merujuk mata yang tidak selari berpunca daripada masalah saraf atau otot keliling (mata) yang tidak dapat bekerjasama disebabkan kekuatan setiap otot adalah berbeza.

Apabila otak menerima isyarat penglihatan yang berbeza dari setiap mata, hanya isyarat dari mata yang kuat sahaja diterima, tetapi isyarat dari mata yang lemah ‘tidak akan dilayan‘,“ katanya.

Secara asasnya, strabismus diklasifikasikan kepada empat keadaan iaitu:

i) Ke arah dalam (esotropia)

ii) Ke arah luar (eksotropia)

iii) Ke arah atas (hipertropia)

iv) Ke arah bawah (hipotropia)

 

Pengesanan awal

Beritahu Fairuz, masalah juling biasanya berlaku ke atas kanak-kanak seawal kelahiran atau kurang dari umur setahun.

Dari sudut perubatan, sebab musabab krisis kesihatan itu terjadi tidak diketahui. Namun, berdasarkan statistik sahih, 2 hingga 5 peratus berpunca daripada genetik atau keturunan.

Selain itu, salah satu alasan boleh tercetusnya isu tersebut adalah faktor kerabunan atau silau yang tidak diperbetulkan terutamanya masalah juling ke dalam (esotropia) disebabkan oleh rabun dekat (presbiopia).

Sekiranya kanak-kanak itu mengalami penyakit seperti Cerebral palsy, hydrocephalus, Syndrome Down dan kanser otak yang mana kesemuanya itu berkaitan dengan otak, strabismus juga boleh berlaku kepada mereka,“ terangnya.

Secara keseluruhan, di peringkat global, 2 hingga 5 peratus bayi dan kanak-kanak mengalami mata juling.

Di Malaysia sahaja, sekitar 1.4 hingga 2.2 peratus kanak-kanak berdepan dengan dilema berkenaan.

Justeru, kata Fairuz, ibu bapa disaran membawa anak-anak seawal umur enam bulan untuk membuat pemeriksaan.

Pengesanan awal boleh dibuat berdasarkan tingkah laku perkembangan bayi atau kanak-kanak kerana impak utamanya adalah koordinasi dan ‘keselarian‘ mata mereka ketika melihat objek,“ jelasnya.

Bagaimana pula dengan orang dewasa? Jelas Fairuz, golongan berkenaan juga tidak terlepas dengan kondisi itu.

“Jika dalam kalangan warga emas, punca juling boleh berlaku akibat penyakit mata berkaitan penuaan seperti presbiopia, katarak atau penyakit-penyakit berkaitan saraf.

Sementara itu, Pakar Bedah di Yale Medicine Pediatric Ophthalmology & Strabismus Program, Martha Howard berkata, terdapat segelintir orang dewasa memang dilahirkan dengan keadaan mata juling.

Seperti kata Fairuz, Howard memberitahu, situasi-situasi lain seperti diabetes, strok ringan dan hipertensi yang berpotensi merosakkan sirkulasi ke bahagian otot saraf berupaya mengakibatkan mata juling dan penglihatan berganda.

Kenyataan pakar antarabangsa itu berkaitan strok sekali gus menjawab keadaan yang berlaku ke atas Bazlan.

 

Pembedahan otot mata

Berhubung dengan soal rawatan, SinarPlus menghubungi Pakar Optalmologi & Optalmologi Pediatrik, Hospital Columbia Asia, Petaling Jaya, Profesor Dr Visvaraja Subrayan (gambar).

 

Untuk kanak-kanak, Dr Visvaraja berkata, lazimnya ia (rawatan) dilakukan secara berperingkat. Antaranya adalah dengan memakai cermin mata, cermin mata prisma, rawatan ortoptik atau pembedahan pada otot mata.

Rawatan untuk amblyopia pula adalah dengan penutupan sebelah mata yang penglihatannya lebih baik supaya mengalakkan pengunaan mata yang lemah, ujarnya.

Amblyopia atau ‘mata malas‘ adalah situasi yang mana penglihatan satu atau kedua-dua mata tidak jelas dan tidak boleh disembuhkan dengan cermin mata, walaupun tiada gejala penyakit mata.

Mata juling dan amblyopia meskipun tidak sama, tetapi sering berlaku seiringan, kata beliau.

“Namun, ingin saya jelaskan di sini, rawatan ortoptik dan penutupan salah satu mata yang lebih baik, tidak berkesan untuk orang dewasa,“ jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Visvaraja memberitahu, seandainya kedua-dua kes itu dikesan lebih awal, ia boleh dipulihkan sepenuhnya.

Jika sebaliknya, pesakit mungkin memerlukan pembedahan otot mata.

Pun demikian, terdapat beberapa keadaan yang membolehkan pembedahan otot mata perlu dijalankan.

Iklan

Antaranya bagi memulihkan kualiti penglihatan supaya menjadi (penglihatan) binokular atau untuk pemulihan penjajaran mata secara kosmetik.

Maksud penglihatan binokular adalah penglihatan yang berkualiti dan dapat melihat objek dalam tiga dimensi.

Jika seseorang memilih untuk melakukan pembedahan, adakah terdapat implikasi tidak baik? Jawab pakar berkenaan: “Komplikasi pembedahan mata juling adalah kecil jika dibandingkan dengan ‘manfaatnya‘.

Pun demikian, jikalau pendekatan itu sememangnya perlu dan tidak dijalankan, pesakit berisiko untuk tidak menggunakan kedua-dua belah mata sama sekali dan akan mengalami kekurangan penglihatan binokular.

Mengenai rawatan botoks yang kononnya merupakan salah satu solusi merawat strabismus, Dr Visvaraja berkata, ia hanya merupakan satu rawatan sementara dan tidak digunakan secara meluas.

Berhubung dengan pemakaian kanta lekap pula, pakar itu memberitahu, ia hanya sesuai untuk kanak-kanak tertentu sahaja dan bukan semua yang bermata juling.

 

Kesan psikologi

Penulis kemudian mengalih perhatian subtopik strabismus dengan menyentuh kesan psikologi ke atas kanak-kanak bermata juling.

Hal berkenaan menarik perhatian Fairuz yang menegaskan isu kesihatan itu tidak boleh diambil ringan oleh ibu bapa atau penjaga.

Beliau yang juga penyelidik di MSU Centre of Excellence for Vision and Eyecare (MSU-iCARE) berkata, bukan sahaja dari sudut pemikiran dan mental, ia juga boleh memberi impak kepada isu sosial.

“Apabila berada dalam keadaan ini, mereka akan sulit menganggar jarak sehingga sukar turun tangga, susah untuk melintas jalan dan mungkin boleh terjadi kemalangan. Pada masa sama, kepala mereka juga boleh menjadi teleng,“ jelasnya.

Masalah koordinasi juga boleh mengganggu gaya berjalan mereka dan akhirnya tercetus depresi dan kemurungan.

Iklan

Fairuz juga tidak menolak kemungkinan, pembelajaran si kecil berpotensi terjejas teruk kerana tidak dapat fokus dengan baik akibat gangguan penglihatan disebabkan strabismus.

Seperti kata Dr Visvaraja, ibu bapa perlu cakna dengan segera melakukan pemeriksaan dan rawatan bersama pakar oftalmologi jika anak mempunyai simptom.

“Rawatan pada umur dewasa tidak seelok ketika kanak-kanak. Jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan masalah penglihatan itu kekal sehingga mengganggu keyakinan diri si penghidap,“ katanya.

 

 Panggilan ‘budak mata kero‘ buatkan Aida sedih fikirkan nasib anak

SEJAK dari bangku sekolah rendah, Mohd Khairi Ahmad atau Khairi sering diejek oleh rakan sekelas gara-gara matanya yang juling.

Meskipun kini sudah berusia 17 tahun, kata-kata yang terus menghiris hati remaja itu tetap berlaku.

Selaku ibu, Aida Muhammad, 43, mengakui mereka sekeluarga tidak mampu menepis hinaan tersebut.

“Mereka panggilan Khairi ‘budak mata kero‘. Sedih betul saya, tapi salah saya juga. Sebenarnya, mata juling Khairi boleh dirawat, namun disebabkan kami ini orang susah, pembedahan yang dicadangkan oleh doktor tidak dapat dilakukan,“ katanya sambil memberitahu anak kedua daripada enam beradik itu mengalami juling jenis eksotropia (juling ke luar).

Sepanjang bercerita tentang Khairi, pembantu kantin di sebuah sekolah rendah di Melaka itu kedengaran sangat sebak. Kadangkala beliau menangis teresak-esak ketika berbicara.

Apa yang sempat diluahkan Aida sungguh memilukan. Beritahu wanita berkenaan, perwatakan Khairi yang ceria sebelum ini bertukar pasif gara-gara kekurangan dirinya.

Kasihan Khairi, matanya juga rabun. Pernah satu hari, rakan-rakannya yang nakal pernah sembunyikan cermin mata dia. Akibatnya, dia tak dapat berjalan dengan baik sehingga jatuh sampai kepalanya berdarah. Ketika kami dapatkan rawatan, doktor juga kesan yang anak saya turut hadapi masalah kemurungan teruk. Hal itu memang benar, Khairi hanya gembira bila berada di rumah, tapi bila nak ke sekolah, wajahnya bertukar muram. Barangkali dia sedih kerana sering dibuli dan diperkotak-katikkan kerana matanya yang juling,“ ungkap Aida sambil menangis.

Tidak mahu kanak-kanak lain diperlakukan sedemikian rupa, wanita itu menasihatkan ibu bapa di luar sana yang berwang segera membawa anak mereka berjumpa pakar jika berdepan masalah yang sama dengan permata hatinya.

“Situasi saya berbeza kerana kami sekeluarga tak mampu. Namun, kepada yang berduit, lebih baik segera dapatkan rawatan jika tidak mahu anak-anak dibuli seperti yang terjadi ke atas Khairi. Saya berdoa agar Khairi akan terus kuat,“ katanya. -MAZLINA ABDUL MAJID