'Masuk merisik selepas istikharah...' Sweetnya! Kisah perkenalan Farhatul Fairuzah & suami jadi perhatian
PERKAHWINAN juara qariah Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut dan jejaka pilihannya, Mohammad Ilham Amri pada Sabtu lalu menjadi kejutan buat para peminat.
Masakan tidak, tanpa sebarang petanda dan khabar, pendakwah selebriti berusia 24 tahun itu dengan sekali lafaz sah bergelar isteri.
Tidak hanya kejutan perkahwinan yang tidak dijangka, busana pengantin pada majlis pernikahan dan resepsi juga menjadi perhatian kerana indah rekaannya, longgar dan patuh syariah.
Menerusi temu bual bersama media, Farhatul Fairuzah yang mesra disapa farha sempat menzahirkan perasaan gementar di samping perasaan sedih, gembira dan bersyukur bercampur baur.
Suaminya, Mohammad Ilham yang merupakan seorang mutawif sebuah agensi umrah dan haji menerusi temu bual dan siaran langsung di laman sosial TikTok mendedahkan perkenalannya dan isteri bermula pada tahun 2023.
"Kami tidak pernah follow (media sosial) antara satu sama lain. Ketrika itu kami membawa rombongan jemaah umrah seperti biasa.
"Selepas pulang, (kami) tidak berhubung kecuali Farha ada menghubungi saya bertanya tentang kursus haji. Itupun selepas beberapa bulan selepas itu.
"Saya pun hubungi semula Farha berkenaan kursus haji pada musim yang lalu. Bermula dari situ, kami berhubung semula dan Farha menunaikan haji. Saya beritahunya bahawa selepas menunaikan haji saya akan 'meneruskan perjalanan.'
Mohammad Ilham yang dikenali sebagai Ustaz Ilham turut berkongsi melakukan solat istikharah sebelum membuat keputusan merisik wanita pilihan hatinya itu pada Julai lalu.
"Sebelum itu saya buat solat istikharah, meminta pendapat ibu bapa dan mereka bersetuju.
"Alhamdulillah saya pun tidak menyangka ia berlaku dalam masa yang secepat ini. Takdir yang ALLAH telah aturkan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga memohon doa daripada warganet agar dikurniakan ketabahan dan kemudahan dalam perkahwinan.
"Terima kasih yang mendoakan. Semoga dipermudahkan perjalanan kami selepas ini, banyak lagi yang perlu dihadapi dalam rumah tangga.
"Semoga kami tabah, mengharungi ujian. Doakan," katanya.
Sabtu lalu, Farha dan Ilham diijab kabul di sebuah ruang acara di Cyberjaya. Pihak pengantin lelaki menyerahkan dengan mas kahwin sebanyak satu dinar emas.
Sekadar info, Farhatul yang baharu sahaja menamatkan pengajian dengan cemerlang dan menggenggam Sarjana Muda Pengajian al-Quran & al-Sunnah terdahulu muncul sebagai qariah termuda menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017).
Beliau juga memiliki tauliah mengajar bidang al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang