Anak khatam 30 juzuk 11 bulan 20 hari, pesanan Aidid undang sebak. 'Tanggungjawab termulia dipikul ke akhir hayat'
SEJUK hati! Seronoknya tengok pasangan bekas penyampai berita dan personaliti TV popular, Aidid Marcello Azahari dan Norzie Pak Wan Chek yang berjaya khatam 30 juzuk al-Quran dalam masa 11 bulan 20 hari.
Menghafal al-Quran bukan mudah, namun anak kedua pasangan itu, Muhammad Iman sukses melakukannya dalam tempoh kurang dari setahun.
Sebaknya penulis melihat Aidid dan Norzie saat meraikan Muhammad Iman dalam satu majlis yang dianjurkan Akademi al-Quran Amalillah.
Memakai tengkolok dan berselempang bukan calang-calang, difahamkan dua aksesori berkenaan dikhaskan untuk pelajar yang menyelesaikan 30 juzuk dengan syahadah. Tahniah Muhammad Iman!
Menerusi video yang kembali tular, Aidid sempat berkongsi ucapan buat puteranya itu yang menyentuh hati warga maya.
"Wahai anakandaku, Alhamdulillah. Anakanda telah menunaikan amanah bonda dan ayahanda untuk menyempurnakan 30 juzuk al-Quran.
"Ia juga adalah amanah tanggungjawab termulia yang anakanda akan pikul ke akhir hayat.
"Maka pada hari ini, bonda dan ayahanda memberi amanah kepada anakanda untuk menjaga, mengulang, mengingati dan memperjuangkan al-Quran sepanjang hidup," katanya.
Artikel berkaitan:
'Dia my bestie, tak jemu beri semangat...' Sambut anniversary ke-19, Aidid Marcello kongsi pengorbanan Norzie Pak Wan Chek
'Set nawaitu bukan untuk riak dan sombong.' Berhentikan anak-anak dari sekolah dan hantar ke tahfiz, perkongsian Aidid undang sebak
Norzie yang berdiri di sisi anak mereka kelihatan sebak dan menitiskan air mata dengan penuh kesyukuran.
Sementara itu, pihak akademi juga tidak lupa menitipkan ucapan tahniah buat pelajarnya.
"Tahniah Muhammad Iman, putera Aidid Marcello, atas kejayaan khatam 30 juzuk Al-Quran dalam masa 11 bulan 20 hari.
"Semoga Iman terus berjaya menjadikan Al-Quran itu sebagai sahabat terbaik sehingga ke penghujung usia. Tahniah juga buat kedua ibu bapa iaitu Aidid Marcello dan isteri Puan Norzie atas 'hadiah' ini.
"Buat para Huffaz, ingatlah bahawa setiap huruf yang kalian hafal adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh istiqamah.
"Teruskan usaha, kerana setiap pengorbanan di jalan ini akan dibalas dengan kemuliaan di sisi ALLAH," kongsinya.
Video tular hingga 400,000 tontonan itu menyentuh hati warga maya yang rata-rata mengakui proses menjadikan anak seorang huffaz adalah pengorbanan seisi keluarga.
"Bukan hanya anakanda sahaja, hasil usaha seluruh keluarga. Semua kena berkorban."
"Masya-ALLAH, Alhamdulillah tahniah. Tak tahu kenapa menitik air mata. Tahniah anak, engkau membanggakan kedua ibu bapamu. Tidak sedikit keringat dan pengorbanan tercurah untuk kejayaan sebesar ini."
"Masya-ALLAH, Alhamdulillah, Allahuakbar. Tahniah Aidid dan isteri mendidik anak dengan baik sehingga menjadi huffaz."
Sekadar info, Aidid dan Norzie berkahwin pada pada 5 Mei 2005..Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga putera dan seorang puteri iaitu Alyea Nai Lina, Muhammad Iman, Muhammad Yusuf dan Muhammad Ibrahim.
Selain Muhammad Iman, difahamkan Muhammad Yusuf dan Muhammad Ibrahim juga sedang berada di tahfiz berkenaan dan dalam proses menyempurnakan hafalan 30 juzuk.
Sumber: Akademi Al-Quran AKMAL
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang