Mata cedera boleh jadi buta kalau ambil mudah

A
A
A

Anda Musykil Doktor Jawab

Soalan 1: DOKTOR, saya berkerja dalam suasana yang kurang memberangsangkan. Kecederaan boleh berlaku pada bila-bila masa terutama pada mata. Justeru, boleh saya minta jasa baik doktor untuk memberi panduan pengurusan kecederaan yang betul seandainya berlaku insiden di tempat kerja saya?

INSAN PRIHATIN, Seremban, Negeri Sembilan

JAWAPAN:

TUAN, sebenarnya terdapat beberapa pecahan utama jenis-jenis kecederaan yang boleh berlaku pada mata seseorang, antaranya melibatkan kecederaan mekanikal.

Menjawab kepada soalan yang diajukan, kecederaan jenis mekanikal sebenarnya boleh berlaku disebabkan oleh luka penetrasi akibat tusukan objek asing pada bebola mata yang menyebabkan kecederaan pada struktur mata.

Bukan itu sahaja, kecederaan jenis itu juga berpunca daripada kesan mercun, tembakan atau letupan yang mengenai bahagian mata selain benda asing yang memasuki bebola mata (dengan kelajuan yang sangat tinggi).

Kecederaan jenis mekanikal juga melibatkan kecederaan akibat objek tumpul hasil hentakan pada mata. Contohnya kesan pukulan, kecederaan disebabkan oleh bulu tangkis, bola hoki atau alatan domestik seperti alatan bucu perabot yang tidak melibatkan penetrasi terus ke mata.

Perlu diketahui, walaupun objek itu tumpul, kesan daripada hentakan yang kuat dalam kelajuan tinggi juga boleh menyebabkan kecederaan yang teruk akibat peningkatan tekanan pada mata yang mendadak dan seterusnya boleh menyebabkan globe rupture.Dari segi kecederaan jenis bukan mekanikal pula, ia lebih tertumpu kepada kecederaan akibat suhu yang tinggi seperti terkena wap panas, bahan kimia (terutamanya yang mengandungi bahan berasid dan beralkali) dan kesan radiasi yang berlaku.

Terdapat tiga pecahan utama risiko kecederaan mata yang berlaku. Antaranya:

i) Faktor jantina dan pekerjaan

Nisbah lelaki dan perempuan adalah 6:1. Ia lebih berisiko kepada individu lelaki kerana mereka terlibat dengan pekerjaan yang sangat berisiko tinggi dan mudah terdedah kepada kecederaan seperti pemotong rumput, buruh di tapak pembinaan dan pekerja industri yang terdedah kepada risiko percikan bahan kimia pada mata.

ii) Faktor umur

Golongan muda iaitu antara 21 hingga 40 tahun kerana banyak terlibat dengan aktiviti lasak dan berisiko tinggi serta aktiviti sukan. Boleh juga berlaku dalam kalangan warga tua, misalnya kecederaan domestik di rumah dan kanak-kanak tanpa pengawasan ibu bapa yang mudah terdedah kepada kecederaan domestik.

Oleh itu, jika berhadapan dengan kecederaan mata, pastikan ia diurus dengan baik dan  segera berjumpa pakar oftalmologi.

Soalan 2: DOKTOR, seringkali saya tertanya-tanya, bagaimana kecederaan pada mata boleh menjejaskan penglihatan seseorang. Lebih teruk, kadang-kadang ia menyebabkan seseorang buta. Apa punca keadaan itu berlaku. Boleh doktor jelaskan?

JEJAKA INGIN TAHU, Ulu Kinta, Perak

JAWAPAN:

TERIMA kasih atas kiriman soalan berkenaan. Sesungguhnya, mata merupakan anugerah yang tidak ternilai yang dikurniakan kepada manusia oleh ALLAH SWT.

Saya akui, kewajipan untuk menjaga kesihatan mata amat penting bagi memastikan aktiviti seharian berjalan lancar ditambah kedudukan mata itu sendiri sangat unik. Ia terletak di dalam soket yang dibentuk oleh tulang-tulang bahagian muka.

Pada kebiasaannya, kecederaan yang berlaku bukan hanya melibatkan satu struktur sahaja tetapi ia melibatkan setiap lapisan pada struktur mata dan struktur penting  di sekeliling mata.

Kecederaan pada mata berpotensi untuk menyebabkan pesakit mengalami kehilangan penglihatan secara kekal. Untuk makluman pembaca, trauma cular merupakan antara faktor penyumbang utama kehadiran pesakit ke bahagian kecemasan dan ia merupakan salah satu penyebab utama kebutaan.

Berdasarkan kajian oleh Negrel.et.al dalam satu penulisannya mengenai The Global Impact of Eye Injuries pada tahun 1998, daripada 55 juta kecederaan mata yang berlaku, 2.3 juta daripadanya telah menyebabkan penglihatan terhad pada kedua-dua mata.

Penting untuk diketahui, tahap kecederaan adalah berbeza-beza mengikut keterukan kecederaan yang dihadapi oleh setiap individu. Ia boleh jadi hanya satu kecederaan kecil tetapi boleh juga menjadi sangat teruk hingga boleh menyebabkan kebutaan dan perubahan pada struktur sekeliling mata.

Kecederaan pada bahagian mata dianggap serius kerana ia boleh mengubah masa hadapan seseorang dari segi penampilan selain keupayaan mereka untuk melihat boleh terjejas.

Sebagai langkah berjaga-jaga, berikut adalah panduan yang boleh diikuti bagi mengelak kecederaan pada bahagian mata:

1. Memakai alat pelindung mata semasa bekerja.

2. Memakai alat pelindung mata dan muka untuk aktiviti permainan yang lasak.

3 Memakai cermin mata daripada bahan polikarbonat (kalis pecah dan memberikan perlindungan ultraviolet).

4. Penjagaan alatan yang tajam dan berbahaya di tempat yang selamat bagi mengurangkan risiko kecederaan domestik.

Bersama,

Pakar Oftalmologi,

Hospital Kuala Lumpur,

Dr Norfarizal Ashikin Abdullah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca