PERASAAN risau yang menguasai diri seseorang adalah sesuatu yang normal bagi setiap individu.

Emosi yang menganggu benak itu barangkali dipicu oleh kekangan kewangan, kesihatan memburuk atau persekitaran sosial yang dikelilingi aura negatif.

Pun demikian, kerisauan yang direka sendiri tanpa alasan yang munasabah merupakan satu isu kesihatan mental yang dipanggil sebagai paranoid atau paranoia.

Menurut Mind Help, paranoia merupakan corak pemikiran yang bukan kelaziman.

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Ia adalah khayalan dan kepercayaan yang tidak wajar.

“Individu paranoid selalu membawa kebimbangan yang tidak realistik, mencurigakan, ketidakpercayaan dan berasakan diri mereka sentiasa terancam.

“Situasi bukan realiti tersebut itulah yang boleh menjejaskan kehidupan mereka sehingga menyebabkan mereka akan rasa takut, cemas, letih dan terasing,” kata Mind Help.

Mohamed Nasrun Mohamed Zikrillah.

Bagi mendapatkan perspektif pakar tempatan mengenai paranoid, SinarPlus mewawancara Ahli Psikologi Klinikal, Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai Putrajaya, Mohamed Nasrun Mohamed Zikrillah.

Kata beliau, paranoid cenderung terjadi kepada orang tua yang mana mereka mencipta kerisauan mereka sendiri. Kebiasaanya, mereka yang mengalami masalah dementia mempunyai masalah delusi atau paranoia.

 

Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Antara contoh kes yang menarik, seorang warga emas yang tinggal di luar bandar berdepan dengan perasaan sebegitu. Beliau merasakan ketakutan berlebihan untuk sesuatu perkara.

“Sebagai contoh, orang yang lalu depan rumahnya dianggap pencuri. Dia juga mungkin bimbang anak yang tinggal jauh mengalami kemalangan semasa dalam perjalanan pulang,” katanya ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.

Masalah emosi yang sentiasa menghantui membuatkan mereka senang diulit rasa takut, waswas atau kekhuatiran yang melampau.

Baca juga: Kalau boleh nak buat ujian calitan setiap minggu – Nadia Aqilah takut keluar rumah

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Trauma, gangguan psikiatrik

Secara asasnya, paranoid boleh dikaitkan dengan beberapa jenis masalah iaitu:
-Paranoid
-Gangguan delusi
-Gangguan Personaliti Personaliti (PDD)

Menjelaskan tentang kategori pertama iaitu paranoid, Mohamed Nasrun berkata, seseorang mungkin mempunyai prasangka buruk terhadap orang lain dan percaya mereka berniat jahat.

Bagi kategori gangguan delusi pula, golongan itu memiliki kepercayaan salah dan ‘paten‘ tersebut direkanya sendiri.

“Pesakit sukar mengenal pasti realiti, tidak rasional, sentiasa rasa terancam dan situasi itu pastinya menjejaskan kehidupan seharian.

“Meski kita menganggap apa mereka fikirkan pelik, tidak adil dan mustahil, namun golongan tersebut sentiasa berasa apa yang dilakukan betul. Tak kira lelaki atau wanita dewasa, sesiapa pun boleh merentasnya,” kata Mohamed Nasrun.

Menjelaskan tentang individu PPD, beliau berkata, penghidap mempunyai karakter cepat risau dan sering mempunyai rasa tidak percaya terhadap orang lain.

Baca juga: Sering rasa terancam dengan orang lain, anda mungkin tergolong personaliti paranoid

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

“Kelakuan mereka mungkin wujud terlalu lama dan berpunca daripada trauma atau didikan zaman kanak-kanak. Tingkah laku atau sikap syak wasangka boleh menyebabkan kesukaran dalam pergaulan dan sosial,” kongsinya.

Mengapa paranoia boleh berlaku? Mohamed Nasrun tidak menolak dakwaan tekanan ekonomi antara yang boleh mempengaruhi.

Faktor lain barangkali disebabkan oleh trauma masa lalu sehingga menimbulkan rasa tidak percaya dan curiga ke atas orang lain.

Antara pengalaman yang memungkinkan hal itu adalah penderaan pada zaman kanak-kanak atau rumah tangga yang berantakan sehingga pasangan bercerai-berai.

Ledakan teknologi juga tidak boleh dinafikan. Bermula dengan kesan daripada tontonan televisyen dan kemudian sosial media juga boleh memicu paranoid.

Merujuk WebMD, seseorang secara tidak langsung boleh membina permikiran paranoid impak daripada kekurangan tidur, tekanan, gangguan psikiatrik, penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah dan alkohol serta hilang ingatan.

Baca juga: Dijangkiti Covid-19, Che Ta akui jadi paranoid

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Selain itu, mind.org.uk mengaitkan soal genetik, namun sejauh mana ketepatannya belum dapat diketahui.

Sebagai seorang ahli psikologi yang pernah mengendalikan banyak kes, Mohamed Nasrun berkongsi cerita tentang seorang pesakitnya yang mengalami ganggguan delusi.

Kata Mohamed Nasrun, pesakit lelaki tersebut mencipta ketakutan bahawa dirinya akan kehilangan isteri tersayang.

“Beliau sanggup berhenti kerja untuk mengawasi si isteri. Dia fikir wanita tersebut akan curang di belakangnya.

“Pemikiran sebegitu telah membuatkan dia bertukar menjadi seorang pemarah dan akan mengugut sesiapa yang mendekati isterinya, sedangkan situasi itu tidak berlaku pun,” katanya.

Baca juga: [VIDEO] Azza Elite dedah dapatkan rawatan kesihatan mental. Badan menggigil, menangis bimbang terlampau

Iklan
SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Melihat ‘ideologi‘ tersebut menyimpang jauh, sang isteri telah membawa suaminya mendapatkan rawatan psikologi.

“Akibat ketakutan yang melampau, semasa proses konsultasi pun dia tidak mahu masuk bersendirian kerana bimbang wanita itu akan meninggalkannya. Saya kemudian merujuk dia kepada pakar psikitri untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dr Nurul Syuhaida Abdul Razak.

Terapi

Bagi mendapatkan penjelasan tentang rawatan, SinarPlus menghubungi Pakar Psikiatri, Hospital Shah Alam, Dr Nurul Syuhaida Abdul Razak.

Terlebih dulu, ujar beliau, penghidap sindrom paranoid biasanya berdepan dengan masalah kesihatan lain seperti keresahan, kemurungan, schizophrenia, schizophreniform atau kecelaruan psikosis lain.

“Apabila doktor cuba memahami masalah yang hadapi, mereka didapati mempunyai corak permikiran yang berbeza. Simptom mungkin tidak disedari pesakit, tetapi ia dimaklumkan oleh keluarga dan orang sekeliling,” katanya.

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Dr Nurul Syuhaida mengakui, pesakit dalam kumpulan itu sukar untuk untuk dirawat. Ini kerana individu berkenaan turut berasa paranoid dengan doktor yang ditemuinya termasuk ubat yang telah dipreskripsikan.

“Rasa ragu-ragu dan waswas itu boleh menyebabkan mereka berfikir proses rawatan yang dijalani akan ‘mengenakan‘ mereka semula,” katanya.

Selanjutnya, menurut pakar itu, terdapat dua cabang dalam memulihkan isu paranoid iaitu rawatan secara farmakologi dan farmakoterapi.

Kaedah farmakologi merujuk kepada ubat-ubatan yang mengurangkan rasa resah dan psikosis. Dalam erti kata mudah, ia membantu menstabilkan emosi.

Iklan

Farmakoterapi pula ialah terapi yang membimbing pesakit untuk membangunkan kemahiran tertentu untuk mengatasi corak pemikiran mereka.

“Teknik ini dilakukan untuk meningkatkan komunikasi, sosial dan interpersonal penghidap terhadap individu lain. Mereka juga diajar untuk mengenal pasti masalah dan bertindak dengan lebih rasional,” katanya.

Dari satu sudut, paranoid boleh dikawal dengan cara didikan, sokongan emosi dan berada di persekitaran positif.

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

Apa akan jadi jika penderita tidak dirawat? Dr Nurul Syuhaida mengulangi kenyataannya pada awal artikel iaitu seseorang boleh mengalami masalah kesihatan mental lain (seperti schizophrenia, schizophreniform atau kecelaruan psikosis)

“Pun begitu, apa yang lebih membimbangkan adalah mereka mula mencederakan diri sendiri atau mahu membunuh diri,” ujarnya.

Apa pun penyakit dihadapi, Dr Nurul Syuhaida berkata, sokongan daripada ahli keluarga, rakan–rakan dan orang yang terdekat amat penting.

“Jangan menghakimi dan cuba memahami apa yang bermain dalam fikiran pesakit. Dukungan yang diberikan membantu mereka mengawal pemikiran salah dan tingkah laku mereka,” ungkapnya.

Kepada pesakit itu sendiri, mereka disarankan melakukan aktiviti riadah untuk merekonstruktif semula permikiran. Antara yang boleh dilakukan ialah seperti bersukan, berpantun, menyanyi atau berzikir.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang