Oleh: Prof Madya Dr Lim Soo Kun, Pakar Nefrologi Ketua Bahagian Buah Pinggang, Jabatan Perubatan, Universiti Malaya

PEMINDAHAN buah pinggang adalah rawatan terbaik bagi kebanyakan pesakit apabila buah pinggang mereka telah rosak.

Walaupun dialisis sama ada hemodialisis atau dialisis peritoneal adalah rawatan yang baik dan membolehkan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang meneruskan hidup dengan tahap kesihatan yang agak memuaskan, ia tetap mempunyai had-had tertentu. Salah satu daripadanya adalah komplikasi kesihatan jangka panjang.

Walaupun dialisis berkesan untuk menyingkirkan sisa buangan dan cecair berlebihan dari darah, ia bukanlah pengganti yang terbaik untuk buah pinggang yang berfungsi.

Oleh itu, pesakit yang menjalani prosedur ini masih terdedah kepada komplikasi kronik seperti anemia, penyakit tulang renal, penyakit jantung dan strok.

Mereka juga menghadapi kekangan gaya hidup yang ketat, terutamanya dari segi pekerjaan dan perjalanan, kerana dialisis adalah sejenis prosedur yang menggunakan peralatan perubatan khas dan perlu diulang dengan kerap.

Pesakit yang menjalani hemodialisis perlu pergi ke pusat hemodialisis tiga kali seminggu selama kira-kira empat jam setiap kali.

Sementara itu, pesakit yang menjalani dialisis peritoneal perlu menjalani prosedur tersebut empat kali sehari selama 30 hingga 40 minit setiap kali dengan dialisis peritoneal ambulatori berterusan, atau sekali sehari (biasanya semasa tidur) selama lapan hingga 10 jam dengan dialisis peritoneal automatik.

Apa yang lebih penting, daripada segi ketahanan hayat, hanya kira-kira separuh daripada pesakit dialisis masih hidup dalam tempoh lima tahun selepas memulakan rawatan.

KUALITI HIDUP LEBIH BAIK

Ini berbeza dengan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani pemindahan buah pinggang. Kira-kira 80% hingga 90% daripada mereka masih hidup dalam tempoh lima tahun selepas prosedur itu.

Kualiti hidup mereka juga jauh lebih baik kerana tidak terikat dengan jadual dialisis, walaupun perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresan (anti-penolakan) sepanjang hayat untuk mencegah tubuh mereka dari menolak buah pinggang yang didermakan.

Mereka juga tidak menghadapi risiko komplikasi kesihatan kronik akibat dialisis dan ketiadaan buah pinggang yang berfungsi.

Pesakit yang lebih muda khususnya, yang mengalami masalah ketidaksuburan yang disebabkan kegagalan buah pinggang mampu hamil secara semula jadi.

Malah, amat sesuai untuk pesakit yang buah pinggangnya semakin merosot untuk mempertimbangkan pemindahan buah pinggang terdahulu (pre-emptive) iaitu sebelum memulakan dialisis.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya, doktor pakar biasanya akan cuba mengutarakan pilihan ini apabila pesakit mengalami penyakit buah pinggang kronik tahap 4 iaitu apabila fungsi buah pinggang kurang daripada 30%.

Ini kerana lebih lama pesakit menjalani dialisis, semakin banyak komplikasi akan mereka hadapi seterusnya mengurangkan manfaat pemindahan buah pinggang.

Namun begitu, menurut Dr Lim Soo Kun pemindahan buah pinggang tetap mempunyai hasil yang jauh lebih baik berbanding dialisis, walaupun ia dibuat beberapa tahun selepas pesakit memulakan dialisis.

SIAPAKAH PENDERMA YANG SESUAI?

Dalam pemindahan buah pinggang, terdapat dua jenis penderma iaitu yang masih hidup dan telah meninggal dunia.

Di Malaysia, penderma yang masih hidup mestilah menawarkan buah pinggang secara sukarela (iaitu tanpa paksaan atau ganjaran seperti wang) perlu mempunyai pertalian darah dengan penderma.

Contohnya ibu bapa, pasangan, adik beradik, atau sepupu terdekat. Setakat ini, majoriti penderma buah pinggang adalah yang masih hidup.

Sementara itu, penderma yang telah meninggal dunia selalunya merupakan penderma organ berdaftar. Secara amnya di Malaysia, kebanyakannya merupakan mangsa kemalangan jalan raya.

Mereka biasanya mengalami kecederaan kepala yang amat teruk dan dianggap telah mati otak, namun buah pinggang mereka masih berfungsi.

Walaupun tiada prosedur pembedahan yang seratus peratus tidak berisiko, kelebihan pemindahan buah pinggang daripada penderma yang masih hidup adalah kerana ia merupakan sejenis prosedur elektif.

Ini bermakna pasukan perubatan, pesakit dan penderma mempunyai masa yang banyak untuk merancang dan membuat persiapan bagi pembedahan tersebut.

Risiko pembedahan juga tidak serius seperti pembedahan pintasan jantung, tetapi tidak semudah apendektomi (pembedahan untuk membuang apendiks).

Sebagai contoh, kebarangkalian untuk penderma mengalami komplikasi pembedahan seperti meninggal dunia akibat pembedahan pendermaan itu adalah 30 dalam 10,000.

Pesakit juga biasanya perlu tinggal di hospital selepas pembedahan tersebut selama tujuh hingga 10 hari manakala penderma biasanya dibenarkan pulang lebih awal (kira-kira tiga hari selepas pembedahan).

Buat masa ini, standard penjagaan untuk pembedahan pendermaan adalah pembedahan laparoskopik invasif minimum.

Iklan

Bagi pendermaan buah pinggang dari penderma yang masih hidup, penerima lebih cenderung untuk memerlukan dos ubat-ubatan imunosupresan yang lebih rendah kerana mereka berkongsi kandungan bahan genetik tertentu dengan penderma (oleh itu, mengurangkan kebarangkalian buah pinggang ditolak oleh tubuh) sekiranya mereka mempunyai pertalian darah.

Buah pinggang yang didermakan juga biasanya berfungsi dengan baik untuk jangka masa yang lebih panjang kerana penderma akan menjalani penilaian untuk memastikan mereka cukup sihat untuk menjalani prosedur tersebut.

Malah, ramai ibu bapa yang menawarkan diri untuk menjadi penderma, berkeras untuk memberikan buah pinggang yang “lebih sihat” kepada anak mereka walaupun sebagai doktor, kami mengamalkan prinsip mengutamakan kesihatan penderma.

Sebaliknya, apabila buah pinggang tersebut adalah daripada penderma yang sudah meninggal dunia, akan ada tempoh “keemasan” selama 24 jam untuk menyelesaikan prosedur pemindahan tersebut.

Ini termasuklah masa untuk mengenal pasti penerima yang sesuai dan memastikan mereka hadir. Manakala bagi penerima dan pasukan, mereka perubatan membuat segala persiapan untuk pembedahan tersebut.

Buah pinggang yang didermakan juga mungkin tidak berada dalam keadaan yang ideal berbanding daripada penerima yang masih hidup kerana penderma yang sudah meninggal dunia biasanya terlibat dalam kemalangan, seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Ketiadaan gen yang dikongsi juga bermakna penerima lebih cenderung untuk memerlukan dos ubat-ubatan imunosupresan yang lebih tinggi. Namun begitu, penerima pemindahan buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia tetap mempunyai kebarangkalian ketahanan hidup yang lebih tinggi berbanding pesakit yang meneruskan dialisis jangka panjang.

KADAR PEMINDAHAN MASIH RENDAH

Iklan

Walaupun pemindahan buah pinggang lebih baik berbanding dialisis dari segi kesihatan keseluruhan dan ketahanan hidup bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, bilangan prosedur sedemikian amat rendah berbanding keperluannya.

Pada tahun 2020, 151 pemindahan buah pinggang telah dijalankan di mana kebanyakannya daripada penderma yang masih hidup.

Setakat ini, terdapat tujuh buah hospital yang menjalankan pemindahan buah pinggang di Malaysia iaitu Hospital Kuala Lumpur,Hospital Selayang, Selangor, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital UiTM, Selangor; Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur, Sunway Medical Centre, Selangor dan Mahkota Medical Centre, Melaka.

Terdapat kira-kira 25,000 pesakit kegagalan buah pinggang yang sedang menunggu buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia. Mereka adalah kira-kira separuh daripada jumlah pesakit yang menjalani dialisis di negara ini.

Dengan hanya kira-kira 50 pendermaan organ daripada penderma yang sudah meninggal dunia dijalankan setiap tahun, tempoh menunggu untuk pemindahan buah pinggang biasanya lebih daripada satu dekad.

Walaupun Sistem Peruntukan Buah Pinggang Malaysia (MyKAS) biasanya menjalankan pembedahan berdasarkan yang-awal-dapat-dahulu mengikut tempoh dialisis, ia mengutamakan pesakit yang lebih muda dan tidak menghidap diabetes kerana mereka akan mendapat hasil yang terbaik daripada pemindahan buah pinggang dilakukan.

Kesimpulannya, pesakit kegagalan buah pinggang amat digalakkan untuk mempertimbangkan pemindahan buah pinggang, sebaiknya sebelum buah pinggang mereka gagal sepenuhnya.

Sokongan keluarga amat penting kerana pendermaan buah pinggang dari penderma masih hidup adalah lebih cepat, kurang rumit dan memberi manfaat yang lebih baik berbanding daripada penderma yang sudah meninggal dunia.

Rakyat Malaysia yang sihat juga amat digalakkan untuk mendaftar sebagai penderma organ kerana mereka berpeluang untuk menawarkan hadiah kehidupan, bukan sahaja kepada pesakit kegagalan buah pinggang, tetapi juga pesakit yang memerlukan organ-organ lain.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!