Memang 'segak' dan mengancam Proton X50 terbaharu ini
BELUM dilancarkan secara rasmi lagi, jentera kedua SUV PROTON, X50 sudah terima lebih 20,000 unit
Penangan luar biasa yang diterima peminat jenama nasional itu membuktikan keluaran terbaharu PROTON itu mampu menandingi pasaran X70 sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, respons balas orang ramai menyakini keupayaan spesifikasi, harga dan pakej yang ditawarkan cukup menarik yang belum pernah ditawarkan sebelum ini.
“Meskipun tahun ini kita berdepan dengan pelbagai cabaran, namun sambutan (kenderaan) cukup memberangsangkan. Sudah menjadi tanggungjawab PROTON untuk terus memenuhi kepuasan pelanggan dari segi teknologi, prestasi dan kualiti.
"Terdapat varian yang sesuai dengan setiap keperluan dan perbelanjaan dan kami berharap SUV terbaharu ni akan membawa ramai lagi pelanggan ke bilik pameran,” katanya pada majlis pelancaran SUV-Proton X50 secara maya sebentar tadi.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faizal Albar.
PROTON secara rasmi melancarkan PROTON X50, tawaran SUV keduanya melalui saluran media sosialnya hari ini termasuk mendedahkan harga bagi setiap varian yang ditawarkan.
Bagi varian X50 1.5T Standard, harga atas jalan yang ditawarkan termasuk subsidi cukai jalan Penjana bermula RM79,200 hingga RM81,200 diikuti X50 1.5T Executive bermula pada harga RM84,800 hingga RM 86,800.
Untuk tawaran varian X50 1.5T Premium, harga ditawarkan bermula RM 93,200 hingga RM 95,200 manakala edisi paling premium, X50 1.5 TGDi Flagship bermula pada harga RM103,300 hingga RM105,300.
Tawaran lain yang menjadi tumpuan adalah PROTON X50 dilengkapi dengan pakej komprehensif untuk meningkatkan pengalaman pemilikan termasuk jaminan jarak tempuh tanpa had 5-tahun dan pakej data lima tahun yang menyediakan 1GB data percuma setiap bulan.
Menurut Roslan, seramai 30,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan sebelum atau pada 31 Disember ini akan menerima caj buruh percuma untuk lima kali servis, sementara semua pelanggan ditawarkan pelbagai faedah sekiranya mereka mendapat insurans PROTON X50 melalui Pakej Perlindungan Insurans Premium PROTON.
Kadar pembiayaan pinjaman yang rendah bermula dari 2.22 peratus juga ditawarkan kepada semua pembeli melalui syarikat kewangan dalaman PROTON, Proton Commerce Sdn. Bhd.
Sementara itu, Syed Faizal Albar berkata, pelancaran secara maya PROTON X50 itu membuktikan kesungguhan pihaknya untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19 yang semakin meningkat khususnya di Selangor.
“Pelancaran maya ini tidak sedikit pun mengurangkan ciri-ciri penting model baharu yang dilancarkan bahkan secara jujurnya, saya pun tidak lena tidur menantikan pelancaran X50 ini, begitu juga bagi mereka yang sudah menempah sejak beberapa minggu lalu.
“Saya sendiri sudah mencubanya dan percayalah, setiap saat, setiap pusingan, selekoh, kilometer perjam sangat mengujakan. Model X50 adalah langkah seterusnya untuk menggembirakan pelanggan kami,” katanya yang membuka tirai pelancaran PROTON X50 secara maya tersebut.
Beliau menambah, pelaburan dana dalam membangunkan pemasangan berteknologi tinggi dan pelaburan daripada vendor dalam menghasilkan komponen bermutu tinggi menjadi misi PROTON untuk menjadi pengeluar yang lebih baik.
“Untuk model X50 ini sahaja, nilai pembelian merangkumi nilai pembelian sebanyak RM1.8 bilion daripada pihak vendor sekali gus membuktikan pengeluar tempatan dapat membantu mengembangkan ekonomi negara,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang