TENTU biasa kita melihat golongan perokok yang merokok sebaik masuk waktu berbuka puasa bukan?

Terlihat benar kepuasan dapat melakukan aktiviti itu selepas seharian terpaksa berlapar dan dahaga, selain menahan diri daripada menyedut asap rokok.

Ya, secara luarannya memang tergambar kepuasan dan ketenangan dalam diri perokok terutamanya yang tegar berkenaan. Namun begitu, tahukah anda duhai perokok sekalian apa berlaku dalam sistem dalaman anda?

Menurut Public Health Malaysia (PHM), merokok sebaik sahaja berbuka puasa menyebabkan satu kejutan yang ‘maha dahsyat’ kepada tubuh.

“Manakan tidak, selepas berpuasa selama 12 jam, tubuh badan memerlukan air, glukosa (gula) dan oksigen untuk menghasilkan tenaga.

“Kesan asap rokok yang masuk ke dalam tubuh individu selepas berpuasa menyebabkan saluran darah mengecut dan menganggu saliran oksigen di dalam salur darah!

“Asap rokok juga menyebabkan darah menjadi lebih pekat, meningkatkan tekanan darah dan menganggu degupan jantung.

“Situasi ini menyebabkan risiko serangan jantung dan stroke meningkat berkali ganda!,” kongsi PHM dalam laman Facebooknya yang mendapat pelbagai respons positif netizen. Tidak kurang juga yang sinis di ruangan komennya.

Kesan positif puasa

Dalam pada itu, PHM berkongsi kesan positif berpuasa yang dikatakan telah terbukti mampu memberi pelbagai kesan positif kepada fisiologi dan metabolisme tubuh.

“Mengapa sia-siakan usaha berpuasa sepanjang hari dengan mengambil sesuatu yang menjahanamkan tubuh?

“Bulan Ramadan merupakan antara tempoh terbaik untuk berhenti merokok. Kunjungi Klinik Berhenti Merokok untuk bantuan dan sokongan,” kongsi PHM lagi.

Sebenarnya pelbagai kempen tentang keburukan rokok sejak dahulu lagi telah dimulakan. Ironinya, biarpun semakin meningkat saranan dan nasihat diberikan, semakin ramai pula perokok yang tegar.

ANEKDOT:

Iklan

Apakah faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok?

Keputusan untuk berhenti merokok adalah untuk kebaikan diri sendiri dan kesihatan keluarga anda. Faedah-faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok ialah:

  • Panjang umur – Satu dari dua perokok akan mati lebih awal disebabkan penyakit berkaitan merokok. Merokok membunuh hampir 5 ribu rakyat Malaysia setiap tahun.
  • Mengelakkan dari bahan-bahan berbahaya – Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
  • Mencegah penyakit – Hampir 40 jenis penyakit yang berkait dengan merokok. Kanser paru-paru, sakit jantung, penyakit paru-paru yang kronik,strok dan ulser di bahagian lapisan kulit perut adalah antara penyakit-penyakit bahaya akibat tabiat merokok
  • Kehidupan yang lebih sihat – Mereka yang tidak merokok kurang mendapat batuk, selsema dan lain-lain penyakit pernafasan berbanding dengan perokok
  • Mencegah daripada mendatangkan keburukan kepada orang lain – bila anda merokok, ia memberi kesan kepada orang di sekeliling anda, di mana asap rokok tersebut boleh mendatangkan serangan asma dan lain-lain penyakit berkaitan dengan pernafasan
  • Menjadi contoh yang baik terutama untuk keluarga dan anak-anak.
  • Meningkatkan tahap kecergasan dan memiliki badan yang sihat
  • Meningkatkan deria bau dan rasa
  • Memiliki gigi yang putih dan nafas yang segar
  • Rambut dan pakaian tidak berbau asap rokok
  • Menjimatkan wang – Labur wang anda berbanding membeli rokok (RM5.00 sehari, pelaburan =RM 150.00 sebulan = RM 1800.00 setahun. Jika anda melabur untuk 10 tahun, anda sudah mempunyai RM18,000.00 dalam akaun simpanan anda).
  • Melindungi alam sekitar – Puntung rokok dibuang oleh perokok boleh menyebabkan kebakaran
  • Meningkatkan kesuburan.
  • Meningkatkan tahap ‘kelakian’

Bagaimana hendak berhenti merokok?

Pelajari kaedah-kaedah yang betul. Banyak kaedah untuk berhenti merokok. Faktor yang paling penting adalah keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan.

  • Tetapkan tarikh untuk berhenti
  • Yakin diri
  • Buatkan nota peringatan
  • Katakan pada diri anda “saya bukan perokok”
  • Sentiasa berfikiran positif
  • Dapatkan sokongan
  • Gunakan terapi penganti nikotin
  • Amalkan 12M untuk berhenti merokok

Teknik berhenti merokok

Iklan

Tip Berhenti Merokok 12 M :

      1. Melengah-lengahkan
        • Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar
      2. Menarik nafas panjang
        • Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan
      3. Minum air
        • Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein
      4. Menyibukkan diri
        • Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok
      5. Menjauhkan diri
          • Daripada orang yang merokok
      6. Mengelakkan diri
          • Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok
      7. Mengunyah sesuatu
          • Seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis
      8. Membasuh tangan selalu
      9. Mandi dengan kerap
      10. Meregangkan otot
      11. Meditasi
      12. Memohon doa

Sumber: infosihat.gov.my

 

Anda bagaimana? Sayangilah diri dan keluarga anda. Ambillah keberkatan bulan yang mulia ini untuk menghentikan perbuatan yang sia-sia.

Banyak-banyakkan berdoa dapat berhenti merokok. Ingatlah keluarga anda yang tersayang… -AG #PastiAdaSinar