Meninggal dunia akibat penyakit refluks gastrik timbul tanda tanya. Ini yang ramai perlu tahu
MENINGGAL dunia disebabkan gastroesophageal reflux disease (GERD) atau penyakit refluks asid merupakan satu kejadian menimbulkan tanda tanya dan dikatakan jarang berlaku.
Namun, sebuah video membabitkan seorang atlet taekwondo dari Sangihe, Sulawesi Utara, Indonesia, Glenn Endrico Daeng mengejutkan ramai apabila dikatakan maut akibat masalah GERD.
Ketika merakam video ucapan terima kasih dan menzahirkan rasa sayangnya kepada orang terdekat di hospital, Endrico tiba-tiba jatuh dari katil.
Selepas rakaman itu tular, warganet meluahkan kerisauan tentang masalah GERD yang dialami oleh atlet berkenaan.
Baca juga Pedih ulu hati petanda obesiti. Ketahui cara pencegahan agar tidak berulang
Berdasarkan Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser, Universiti Putra Malaysia (UPM), GERD adalah disebabkan oleh otot yang memisahkan esofagus dan perut menjadi lemah.
Keadaan itu membenarkan kandungan makanan beserta asid mengalir kembali (refluks) ke organ esofagus dan menyebabkan iritasi.
Jika ia berterusan, sel pada permukaan esofagus akan mengalami perubahan untuk beradaptasi kepada iritasi tersebut.
Perubahan berkenaan dikenali sebagai esofagus barret dan merupakan risiko kepada kanser esofagus.
Mengulas mengenai insiden berkenaan, Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Hermina Kemayoran, Dr Andi Khomeini Takdir Haruni dari republik itu menjelaskan, GERD sehingga menyebabkan kematian jarang berlaku, melainkan pesakit mengalami komplikasi seperti serangan jantung.
"Pendarahan teruk yang berlaku pada pesakit GERD juga antara sebab kes kematian boleh berlaku.
"Dalam beberapa kes terpencil, ia (pendarahan) boleh sebabkan pesakit mengalami kejutan hipovolemik. Pun begitu, ia juga jarang terjadi," katanya.
JAGA CORAK PEMAKANAN
Mengulas lanjut, Dr Andi Khomeini berkata, GERD boleh mengganggu kualiti hidup seseorang seperti kehilangan peluang bekerja dan belajar, tetapi tidaklah sampai mengancam nyawa.
"Bagaimanapun, masalah itu tidak boleh dipandang remeh kerana segelintir mereka yang menghidapnya perlu dirawat di hospital. Jadi, penyakit ini perlu ditangani segera dan berundinglah dengan pakar kesihatan," katanya.
Berikut tip bagaimana seseorang pesakit GERD boleh pulih secepat mungkin. Antaranya seperti:
i) Mengikut nasihat doktor semasa rawatan.
ii) Sentiasa menjaga corak pemakanan.
iii) Mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk pengurusan stres.
iv) Perlu segera lakukan pemeriksaan sekiranya mengalami pendarahan gastrousus dan pernah muntah darah atau najis hitam.
Di samping itu, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser berkongsi informasi bagaimana cara untuk merawat GERD.
i) Perubahan cara hidup
-Berhenti merokok.
-Mengekalkan berat badan ideal.
-Mengelakkan makanan yang boleh menyebabkan refluks.
-Jangan baring sejurus selepas makan.
-Meninggikan bantal pada kepala ketika berbaring.
ii) Ubat-ubatan
-Antasids untuk meneutralkan asid perut.
-H-2-receptor blockers untuk mengurangkan pembuatan asid.
-Perencat pam proton (proton pump inhibitors) [ubat ini lebih berkesan untuk mengurangkan pembuatan asid bagi memberi masa untuk tisu esofagus sembuh].
-Ubat untuk menguatkan otot yang memisahkan esofagus dan perut seperti baclofen.
-Pembedahan dan prosedur lain.
Baca juga Hati-hati, pedih ulu hati kemungkinan serangan jantung
Bila baca huraian lanjut mengenai GERD, nampaknya ia bukan boleh dibuat main.
Justeru, SinarPlus nasihatkan kepada sesiapa yang ada masalah dan petanda-petanda GERD, cepat-cepat dapatkan pemeriksaan lanjut supaya tidak timbul komplikasi lain. Lebih baik mencegah daripada merawatkan?
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang