MENURUT UC Davis Health, Amerika Syarikat (AS) lebih daripada 6,400 kes sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC) dilaporkan dengan lebih daripada 50 kanak-kanak maut, setakat artikel ini ditulis.

Pada 21 Februari lalu, Daily Mail melaporkan, sebanyak 183 kes MIS-C di Wisconsin, AS dan lonjakan angka itu berkemungkinan disebabkan oleh varian Omicron.

Sementara itu, New York State Department of Health mengesahkan 698 kes dan tiga kematian yang dikaitkan dengan MIS-C.
Sebanyak 94 peratus daripada pesakit disahkan positif Covid-19 sama ada melalui ujian diagnostik (PCR atau antigen), ujian antibodi atau kedua-duanya.

Bukan sahaja di AS, malah hampir di seluruh negara di dunia, MIS-C kini menjadi ancaman terbaharu kepada kanak-kanak.

Menurut perangkaan, MIS-C berlaku satu daripada setiap 3,000 kanak-kanak yang mendapat Covid-19.

Di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini mendedahkan, sebanyak 174 kes kanak-kanak di bawah usia 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19, berdasarkan tempoh sejak Jun 2020 hingga Disember tahun lalu.

Dalam durasi itu, tujuh kes (empat peratus) kematian kanak-kanak telah dicatatkan.

Memandangkan MIS-C merupakan satu penyakit baharu global, SinarPlus merujuk beberapa penulisan perubatan berkredibiliti termasuk menghubungi pakar tempatan untuk mengulas lanjut mengenai fenomena yang menakutkan ramai kini.

Terlebih dulu, penulis mendapatkan Pakar Pediatrik, Hospital Ampang, Dr Halimah Abdul Halim.

Jelas Dr Halimah, MIS-C adalah merujuk kondisi yang terjadi apabila bahagian tubuh si kecil seperti jantung, paru-paru, ginjal, otak, kulit, mata atau organ pencernaan mengalami keradangan. Hal tersebut terjadi apabila golongan itu dijangkiti Covid-19.

Lazimnya, kanak-kanak yang berpotensi terkena penyakit tersebut berusia enam bulan hingga 15 tahun dengan purata umur sembilan tahun.
Beritahu pakar tersebut, pada asalnya iaitu sekitar bulan April 2020, South Thames Retrieval Service in London, United Kingdom telah melaporkan lapan kes pesakit dalam keadaan kritikal yang dikesan mempunyai keradangan pada beberapa organ.

Selepas itu, lebih banyak kes yang serupa dilaporkan di seluruh dunia. Pada Mei 2020, Centre Of Disease Control, AS dan Pertubuhan Kesihatan Dunia mengisytiharkan penyakit baharu yang didapati dalam kalangan pesakit kanak-kanak yang pernah mengalami Covid-19 yang dinamakan sebagai MIS-C,“ katanya.

 

Impak jangka panjang

Berdasarkan soalan-soalan lazim daripada penduduk seluruh dunia, ramai yang bertanyakan adakah semestinya MIS-C hanya mempunyai kaitan secara langsung dengan virus Covid-19 sahaja?

Menjawab pertanyaan itu, Dr Halimah menjelaskan, pada mulanya, simptom MIS-C sangat menyerupai penyakit Kawasaki (sejenis penyakit yang dihidapi kanak-kanak yang mendapat keradangan pada salur darah medium).

Namun demikian, kajian yang lebih mendalam dilakukan di AS telah menunjukkan terdapat perbezaan di antara Kawasaki dan MIS-C.
“Untuk diagnosis MIS-C, salah satu kriterianya adalah pernah mengalami jangkitan Covid-19. Jadi, memang MIS-C hanya berkait dengan jangkitan Covid-19,“ terang beliau.

Berkenaan dengan simptom utama MIS-C, antara yang perlu dipandang serius oleh penjaga adalah apabila anak mereka mengalami demam berpanjangan.

Seandainya si kecil berada dalam situasi itu selepas tiga hingga empat minggu dijangkiti Covid-19 disertai dengan bengkak pada bibir dan lidah, ruam badan, mata kemerahan, sakit perut dan kepala termasuk keletihan melampau, segeralah ke hospital, kata Dr Halimah.

Dalam pada itu, berdasarkan jurnal E-Clinical Medicine, Lancet, kanak-kanak yang obes dikatakan telah menyumbang kira-kira 50.8 peratus sindrom MIS-C. Sejauhmana kenyataan tersebut boleh dikaitkan dengan situasi di Malaysia? Menjawab pertanyaan berkenaan, pakar itu berkata: “Di negara ini, kita masih belum mempunyai data dan kajian yang mencukupi untuk melihat hubungan dan sebab akibat itu.“
Pun demikian, jelasnya terdapat dua kategori kanak-kanak yang mudah terdedah dengan MIS-C.

“Pertama, anak kecil yang berbangsa Afrika mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit itu dan kedua ialah kanak-kanak yang obes,“ ujarnya.

Kepada satu soalan, Dr Halimah yang juga Pensyarah Pediatrik di Universiti Sains Islam Malaysia memberitahu, tahap keterukan kanak-kanak yang mengalami MIS-C setakat ini tidak boleh dikaitkan dengan simptom sama ada ringan atau berat ketika mereka diserang virus SARS-CoV-2.

Ini bermakna, jika golongan itu mengalami gejala ringan ketika dijangkiti Covid-19, mereka masih tidak terlepas mendapat MIS-C.
SinarPlus kemudian merujuk informasi yang dikongsi National Institute of Health (NIH), AS. Berdasarkan data semasa, kebanyakan kanak-kanak dengan jangkitan SARS-CoV-2 tidak mengalami penyakit yang serius.

Bagaimanapun, ujar NIH, punca dan kesan jangka panjang kanak-kanak dengan MIS-C masih tidak diketahui.

“Terdapat juga bukti awal bahawa sesetengah kanak-kanak dengan jangkitan tanpa gejala atau ringan mungkin terus mengalami gejala (jangka panjang) seperti keletihan, sakit otot dan sendi dan masalah pernafasan,“ ujar NIH.

Menurut penulisan UC Davis Health pula, sebilangan kanak-kanak boleh mengalami kerosakan berpanjangan pada fungsi jantung mereka dan ia sesuatu yang membimbangkan.

“Malangnya, terdapat juga kematian yang dicatatkan, namun kebanyakan pulih seperti biasa,“ kongsi mereka.

Merujuk artikel yang ditulis oleh penyelidik Yale Medicine pula, MIS-C boleh menyebabkan miokarditis (keradangan otot jantung), kegagalan jantung, masalah hati, sawan dan gangguan neurologi lain.

Selain itu, ia juga boleh memberi impak kepada pernafasan dan kecederaan buah pinggang akut.

Seperti orang dewasa, adakah kanak-kanak boleh mendapat Long Covid-19? Memberi pencerahan, Dr Halimah yang ditanya soalan tersebut berkata, setakat ini, tidak ramai daripada golongan itu menunjukkan kesan tersebut.

Kepentingan vaksinasi

Mengenai diagnosis dan rawatan MIS-C, American Academy of Pediatrics menyenaraikan beberapa ujian yang berbeza. Antaranya seperti:
Ujian darah dan air kencing.

-Imbasan dada.
-Electrocardiogram iaitu teknik mengukur aktiviti elektrik di dalam jantung dan echocardiogram (ultrasound jantung).
-Ultrasound pada perut.

Sementara itu, rawatan yang diberikan bergantung kepada simptom dan keputusan ujian si kecil. Ia mungkin termasuk:

Iklan

-Pemberian steroid untuk membantu merawat bengkak atau keradangan.
-Intravenous immune globulin (IVIG) iaitu ubat biologi yang mengandungi antibodi sistem imun.
-Cecair yang diberikan melalui vena.
-Ubat jantung atau aspirin dengan dos rendah.

Sememangnya tiada jalan lain untuk mencegah MIS-C selain mendapatkan vaksin Covid-19. Majoriti pakar perubatan tempatan dan antarabangsa sebulat suara tentang hal itu.

Salah seorang daripadanya ialah Ketua Koresponden Kesihatan dan Pegawai Hal Ehwal Perubatan, AltaMed Health Services, Dr Ilan Shapiro.

Dr Shapiro berkata, vaksinasi adalah perlindungan terbaik untuk anak-anak dalam memastikan mereka selamat.

Dalam pada itu, Healthline berkata, satu kajian baharu bagi kanak-kanak yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 mendapati, MIS-C jarang berlaku dan jauh lebih kecil berbanding kanak-kanak yang menghidap Covid-19 dengan tiada vaksin. Output penyelidikan itu sama seperti yang dijalankan oleh CDC baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Halimah berkata, solusi terbaik untuk mengelakkan MIS-C adalah dengan tidak mendapat jangkitan Covid-19 itu sendiri.
“Kajian juga menunjukkan jika kanak-kanak divaksin, ia akan mengurangkan risiko MIS-C. Vaksin hanya memberi perlindungan sebanyak 90.7 peratus ke atas jangkitan Covid-19, tetapi dengan vaksin, ia akan mengurangkan kadar jangkitan,“ katanya.

 

Kes kematian beri kesedaran kepada ibu bapa hantar anak dapatkan vaksin

BEBERAPA ibu bapa yang diwawancara SinarPlus mengakui, meskipun tidak mengetahui secara terperinci apakah itu sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC), perasaan takut tetap menyelubungi mereka.

Abdul Rahman Tarmizi, 41, misalnya berkata, informasi mengenai MIS-C yang terhad menyebabkan beliau mengandaikan MIS-C adalah satu penyakit yang boleh memberi impak buruk kepada dua anaknya.

Iklan

“Disebabkan itu, sebaik sahaja Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini maklumkan tentang kematian anak-anak kecil disebabkan penyakit itu, saya terus daftarkan anak lelaki dan perempuan saya mendapatkan suntikan vaksin melalui MySejahtera.

“Alhamdulillah, dalam beberapa hari, anak pertama saya yang berusia lapan tahun sudah dapat suntikan. Hari pertama, dia nampak lesu dan tak banyak bercakap. Ini mungkin kerana dia terperanjat tengok jarum dan melihat ramai kanak-kanak di sekeliling menangis,“ katanya yang mengharapkan cahaya mata bongsunya yang berusia tujuh tahun juga mendapat giliran lebih awal.

Sementara itu, seorang ibu, Haseena Rahman Abdul berkata, memiliki seorang anak yang suka melakukan aktiviti lasak bersama rakan-rakan, kebimbangannya memang tidak boleh disangkal lagi.

Wanita berusia 41 tahun itu berkata, pada peringkat awal, beliau berasa sangsi untuk menghantar anaknya berusia 12 tahun mengambil vaksin gara-gara terpedaya dengan cakap-cakap yang tidak elok.

“Namun, selepas saya membaca banyak berita dari luar negara yang menyaksikan ramai kanak-kanak meninggal dunia kerana MIS-C dan rata-ratanya tidak sempat ambil vaksin, saya jadi takut. Sudahlah, dia merupakan satu-satunya anak yang saya ada.

“Satu lagi, sejak varian Omicron melanda negara pada awal tahun ini dan kes mencecah lebih 30,000, saya langsung tidak menghantarnya ke sekolah kerana risau dengan jangkitan.

“Jika sudah mendapat vaksin, keyakinan untuk hantar dia kembali ke sekolah tinggi sedikit,“ kata ahli perniagaan itu yang sedang mempertimbangkan untuk menghantarnya anaknya ke sekolah antarabangsa kerana jumlah pelajar yang tidak ramai dalam satu-satu kelas.

Dalam pada itu, Nurul Amilin Mohd, 41, yang baru mendapatkan vaksin untuk anak sulungnya, Adam Khairil Mohd, 11, memberitahu, beliau amat menantikan pengumuman pemberian vaksinasi kepada kanak-kanak.

“Penantian itu akhirnya berakhir. Bukan apa, anak saya mengalami masalah jantung, jadi risiko dia jika terdedah kepada virus Covid-19 amat tinggi. Setelah mendapat nasihat, pakar membenarkan dia disuntik dengan pengawasan.

“Ya, dia demam pada malam pertama selepas dapat vaksin, namun pada hari seterusnya, dia kembali sihat dan ceria seperti biasa. Namun, saya dalam proses untuk mendapatkan kebenaran untuk menghantarnya menjalani sistem pendidikan home schooling disebabkan penyakit yang dideritainya,“ ujar pengurus di sebuah syarikat korporat di selatan tanah air.