MASALAH kesihatan mental bukan satu perkara baharu untuk diperkatakan.

Namun, dek kehadiran virus jahat, Covid-19 yang mengganggu-gugat dunia, masalah tersebut semakin menjadi-jadi.

Mana tidaknya, ramai di antara penduduk merentas satu demi satu episod duka. Bukan sahaja kehilangan pekerjaan dan tahap kesihatan terganggu, malah ia menjadi lebih perit apabila kehilangan orang tersayang sekelip mata.

Hal itu sekali gus mengundang masalah kemurungan yang melampau.

Merujuk statistik Kajian Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan 2019, hampir setengah juta penduduk di negara ini berdepan dengan isu berkenaan dengan 2.3 peratus mereka terdiri daripada mereka yang berusia 16 tahun ke atas.

Melihat kepada situasi serius itu, program Borak Bibir Merah kendalian SinarPlus mengupas lanjut mengenai topik tersebut dengan memfokuskan kepada golongan wanita.

Tajuk yang dibincangkan adalah Bahaya Depresi Seorang Wanita, Suami Perlu Sama-Sama Membantu.

Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail yang dijemput sebagai panel berkata, isu kesihatan mental bukan sahaja diperdebatkan di Malaysia, tetapi turut menjadi perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Nurul Nadia.

WHO antara lain berkata, wabak Covid-19 sememangnya telah memberi gangguan dari aspek kitaran kehidupan manusia.

Natijahnya, sesiapa pun tidak mengira usia mahupun jantina berisiko mengalami kemelut berkenaan.

Ujar Dr Nurul Nadia, secara umumnya, beliau tidak menolak bahawa kaum wanita lebih terdedah mengalami kemurungan klinikal atau simptom-simptom lain yang lebih teruk.

“Begitu juga dengan depresi dan keresahan yang mana golongan Hawa dan Adam juga boleh didiagnos dengan masalah itu. Namun, saya akui banyak kajian menjurus dan menyatakan bahawa wanita lebih ramai lebih terkesan. Ini kerana sudah menjadi lumrah wanita yang lebih suka berkongsi dan terbuka untuk berterus terang tentang apa yang bersarang dalam benak berbanding orang lelaki,” ujarnya.

Sokongan suami

Sepanjang bergelar pakar dalam bidang yang dipeloporinya, Dr Nurul Nadia berkata, beliau melihat, bukan satu perkara mudah untuk seseorang menceritakan sesuatu yang sangat menyentuh hati mereka.

“Satu lagi, tidak semua pesakit psikiatri yang telah didiagnos bersedia berkongsi secara umum mengenai pengalaman yang mereka pernah tempuhi.

“Jika mereka berjaya keluar dari kepompong tersebut (berkongsi rasa), ia merupakan satu petanda yang sangat positif bagi penghidap yang pernah mengharungi fasa yang sangat mencabar dalam hidup mereka,” katanya.

Bersimpati dengan wanita-wanita yang menderita kemurungan atau depresi, beliau menegaskan, golongan itu perlu berpegang kepada beberapa prinsip utama.

“Pertama, jaga diri sendiri terlebih dulu sebelum menjaga orang lain. Wanita ini ibarat seperti tiang rumah, seandainya diri sendiri yang mana emosi dan fikirannya terganggu, ‘rumah tersebut’ akan mudah bergoyang dan akan runtuh,” katanya memberi kiasan.

Kedua, setiap wanita juga perlu bermuhasabah semula tentang jangkaan atau hasrat bergelar seorang ibu.

“Saya katakan demikian kerana terlalu ramai antara mereka yang dihantui dengan istilah-istilah seperti ‘seorang ibu yang sempurna’ dan ‘ibu ialah seorang adiwira’ yang sering disalahertikan sehingga boleh menekan diri mereka sendiri,” terangnya.

Dalam mengharungi kehidupan, pakar memberitahu, seorang ibu atau isteri tidak boleh mengharunginya bersendirian tanpa sokongan jitu daripada suami.

Ungkap beliau, peranan pasangan dalam membantu isterinya bergelut dengan masalah mental perlu diperhebatkan.

“Ya, suami kena sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi. Kedua-dua harus saling melengkapi antara satu sama lain dan (wanita) janganlah melaluinya seorang diri sahaja,” sarannya.

Pada masa sama, sekiranya kemurungan berada pada tahap serius sehingga sukar untuk dikawal, menangguhkan rawatan merupakan satu tindakan tidak bijak.

“Elakkan sikap suka bertangguh atau berlengah kerana jika berlarutan, impaknya sangat membimbangkan. Ingat, kemurungan dan keresahan itu adalah benar. Dapatkan rawatan dan tepislah semua stigma yang dilontarkan oleh masyarakat,” katanya.

Berpotensi untuk berulang

SinarPlus kemudian memperluaskan skop soalan dengan menghubungi Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria.

Dr Rozanizam.

Terdahulu, beliau menyokong kenyataan Dr Nurul Nadia yang menyebut bahawa wanita lebih cenderung menderita kemurungan.

“Dari segi sudut perubatan, ia adalah kerana faktor fisiologi tubuh badan mereka (perubahan hormon) lebih-lebih lagi sewaktu berlakunya kitaran haid, selepas melahirkan anak dan juga pada fasa menopaus,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Rozanizam berkata, terdapat banyak jenis masalah kesihatan mental, namun yang paling lazim diperkatakan adalah merujuk kepada gangguan kemurungan major.

“Gangguan ini boleh berlaku dalam pelbagai tahap sama ada ringan, sederhana atau teruk.

“Dalam kategori teruk, pesakit-pesakit bukan setakat mengalami semua gejala-gejala kemurungan, malah boleh turut mengalami gejala serius seperti keinginan untuk membunuh diri dan gangguan psikosis,” terangnya sambil memberitahu, nisbah golongan itu yang merujuk kepada pakar hanya dua daripada lima individu sahaja.

Namun, fakta yang dikongsi oleh pakar tersebut perlu diberi perhatian terutama kepada penghidap dan individu berada di sekeliling mereka.

“Berdasarkan rekod, 85 peratus kes kemurungan boleh berulang dalam tempoh 10 tahun. Secara matematiknya, daripada 10 pesakit, lapan orang akan mengalami sekurang-kurangnya satu lagi episod kemurungan dalam tempoh 10 tahun.

“Jikalau masalah kesihatan itu tidak dirawat dengan baik atau seseorang menghentikan rawatan sebelum betul-betul sembuh, 50 peratus daripada mereka akan kembali mengalami gejala berulang dalam tempoh enam bulan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Rozanizam berkongsi amalan 7M yang boleh dipraktikkan oleh sesiapa sahaja yang mahu membantu pasangan, adik beradik atau saudara mara yang berhadapan dengan emosi kemuraman melampau.

i) Memerhati dan mengambil tahu perkembangan pesakit.

ii) Memberi ruang dan jangan memaksa mereka.

Iklan

iii) Menjadi pendengar yang baik, empati dan tidak menghukum.

iv) Memberi bantuan praktikal mengikut keperluan bagi meringankan beban mereka.

v) Menghubungkan mereka dengan bantuan.

vi) Mendoakan pesakit.

vii) Menambah pengetahuan mengenai penyakit mereka.

Pun demikian, tegasnya, rawatan yang berkesan adalah bergantung kepada jenis penyakit dan tahap keseriusan pesakit.

“Secara umumnya, rawatan yang berkesan mesti bersifat holistik yang merangkumi pendekatan biologi, psikologi, sosial dan spiritual iaitu ubat-ubatan, variasi terapi, sokongan keluarga serta majikan, selain mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Tidak perlekeh pesakit

Isu kemurungan turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, KKM memohon agar masyarakat lebih prihatin kepada ahli keluarga atau orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh mendorong kepada tingkah laku bunuh diri.

Antaranya:

i) Perubahan tingkah laku kepada individu:

Iklan
  • Seseorang sentiasa kelihatan sedih dan murung.
  • Hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan.
  • Kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa.
  • Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan.
  • Mengalami gangguan tidur dan selera makan.
  • Bertindak agresif dan kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling
  • Menyalahguna alkohol dan dadah.

ii) Individu secara tiba-tiba menyatakan bahawa dirinya hilang harapan atau bosan untuk hidup. Kehadirannya juga membebankan ahli keluarga.

iii) Menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.

Selain itu, kata KKM, orang ramai boleh membantu dengan cara berkomunikasi secara berkesan dengan individu yang berdepan dengan konflik kemurungan dengan cara:

– Mengambil serius tentang masalah yang dialami.

– Meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka.

– Tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah pesakit.

– Menunjukkan empati dan mengelakkan sikap menghakimi individu tersebut.

– Memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat yang terkini bagi mengekalkan perhubungan dengan individu tersebut.

– Memberi sokongan sosial kepada mereka seperti membantu dalam urusan seharian jika diperlukan.

– Galakkan dan bantu mereka untuk dapatkan penilaian dan rawatan profesional.

“Budaya peka dan peduli kepada keluarga sendiri, sahabat handai dan masyarakat sekeliling perlu diterapkan dan sesiapa yang menghadapi masalah dan terkesan perlu mendapatkan pertolongan dan tidak menghadapinya seorang diri,” kata KKM lagi.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!