SEJAK beberapa hari lalu, dada-dada akhbar, radio dan kaca televisyen dipenuhi dengan laporan banjir di beberapa lokasi di Malaysia.

Ada beberapa negeri sudah dikategorikan sebagai kritikal dan perkembangan tersebut amat membimbangkan kita.

Tidak ketinggalan, di corong-corong radio yang turut mengingatkan orang ramai bencana banjir yang berlaku pada kali ini sangat mencabar kerana negara kita masih bergelut dengan wabak pandemik Covid-19.

Seperti yang diketahui ramai, banjir merupakan satu fenomena yang bukan dibawa main-main.

Bah yang deras bukan sahaja boleh menenggelam rumah atau kenderaan, malah dengan mudah boleh meragut nyawa jika kita tidak berhati-hati.

Pada musim bah ini juga, kita akan menyaksikan timbunan sampah-sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air.

Natijahnya, ‘semua benda-benda’ itu boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.

My Health menerusi Garis Panduan Pengurusan Banjir menyatakan, antara penyakit berjangkit yang mudah merebak semasa dan selepas banjir adalah seperti berikut:

  • Jangkitan pernafasan akut
  • Konjunktivitis atau sakit mata
  • Leptospirosis
  • Cirit-birit
  • Disentri
  • Hepatitis A
  • Taun
Selain itu, orang ramai juga akan mudah terdedah dengan penyakit demam kepialu, keracunan makanan, demam denggi, jangkitan kulit, demam campak, penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), malaria dan cacar air.

Berikut perincian lebih mendalam mengenai sebahagian penyakit-penyakit berisiko itu yang lebih terdedah kepada mangsa banjir:

Iklan

1. Penyakit bawaan air dan makanan.
  • Penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir adalah seperti demam kepialu, taun, Hepatitis A, disentri dan keracunan makanan.
  • Gejala penyakit itu seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala.
  • Cara jangkitan penyakit tersebut pula adalah melalui meminum air atau memakan makanan yang telah dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut.
  • Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan dengan pastikan sumber air yang akan digunakan daripada punca yang bersih dan selamat, sentiasa mencuci tangan menggunakan air yang bersih, minum air yang telah dimasak sempurna dan makan makanan yang baru dimasak serta masih panas.
  • Bukan itu sahaja, kupas kulit buah-buahan sebelum makan, elakkan daripada memakan sayur mentah, gunakan air yang bersih semasa membasuh sayur-sayuran, buah-buahan, bahan mentah dan semua peralatan semasa penyediaan makan dan minum.
  • Jika berhajat ingin menjamah makan di luar, pilihlah kedai makanan dan pengendali makanan yang bersih dan telah mendapat suntikan antitifoid.

2. Penyakit kencing tikus (leptospirosis)

  • Kencing tikus adalah disebabkan oleh bakteria leptospira yang terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya.
  • Penyakit itu boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang telah tercemar dengan air kencing haiwan yang telah terjangkiti dengan bakteria tersebut.
  • Antara tanda-tanda penyakit Leptospirosis pula seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.
  • Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah memastikan kebersihan persekitaran rumah, tutup dan tudung makanan supaya dihindari tikus, sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri.
  • Ingat, jangan bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir dan cuci serta balut sebarang luka yang terdapat pada anggota badan dengan sempurna supaya tidak terdedah dengan air banjir.

3. Konjunktivitis (sakit mata)

  • Sakit Mata juga merupakan penyakit yang kerap terjadi semasa banjir.
  • Ia mudah merebak dengan cepat daripada seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata.
  • Penyakit yang disebabkan oleh kuman (bakteria atau virus) atau alahan merupakan radang pada bahagian putih mata.
  • Antara gejala sakit mata adalah mata merah, mata berair dan pedih, mata dipenuhi tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.
  • Langkah-langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air yang bersih selepas menyentuh mata dan sebarang permukaan, elakkan bergaul dengan orang yang sakit mata dan jangan berkongsi barang peribadi.
4. Demam denggi
  • Selepas banjir surut, banyak kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes.
  • Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin yang digunakan atau hanyut semasa banjir.
  • Bekas-bekas yang sudah tidak mahu digunakan perlulah dibuang dengan betul.
  • Paling penting, setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes ini. Demam denggi adalah berpunca dari nyamuk Aedes.
  • Antara tanda-tandanya, bermula dengan demam mengejut,diikuti sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias), sakit pinggang yang teruk dan gatal-gatal.

Oleh itu, SinarPlus ingin mengingatkan para pembaca agar sentiasa menjaga kesihatan dan tabah menghadapi ujian bencana banjir yang melanda kini.

Iklan

Artikel berkaitan: Bahaya mandi air banjir, ini antara padah yang bakal menunggu

Semoga dipermudahkan segala urusan dan semua selamat daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

Foto: FREEPIK