MUSIM durian merupakan musim yang ditunggu-tunggu penggemar durian sehinggakan ada yang sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk menikmati raja buah tropika itu.

Walaupun harganya mahal, jualannya tetap laris. Malah dikhabarkan eksport durian Malaysia ke negara China mencecah jutaan ringgit setiap tahun.

Musim durian pada tahun ini tiba saat negara dalam perlaksaan perlaksanaan sekatan pergerakan penuh (Total Lockdown).

Agar tidak menghampakan pengusaha dusun di kawasan Barat Daya Pulau Pinang termasuklah Balik Pulau, Sungai Ara dan Teluk Bahang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta untuk membenarkan penjualan durian dan buah-buahan bermusim lain di kawasan tertentu dalam tempoh perlaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun ini.

Hal tersebut diutarakan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik bagi memberikan peluang kepada pengusaha dusun buah-buahan mendapatkan pulangan atas usaha mereka selepas bertungkus lumus membaja dan penjagaan rapi bagi memastikan keadaan pokok berada dalam keadaan sihat serta menghasilkan buah yang berkualiti.

“Saya ingin merayu pihak MBPP supaya membenarkan peniaga-peniaga durian meniaga di kawasan tertentu seperti di tepi jalan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan oleh pihak majlis.

“Ini adalah kerana menjual buah durian, manggis, cempedak dan rambutan merupakan perniagaan bermusim sekali gus mampu mengelakkan mereka mengalami kerugian besar jika tidak dapat menjual hasil buah-buahan tersebut,” katanya.

Muhammad Bakhtiar yang menyuarakan luahan hati rakyat berkata SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekatan pergerakan penuh yang akan berkuatkuasa dari 1 Jun hingga 14 Jun, penjualan makanan dan minuman adalah termasuk dalam kategori yang dibenarkan.

Justeru, Ahli Parlimen Balik Pulau yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Infra & Lalu Lintas Pengerusi Jawatankuasa Kecil Landskap merayu agar jualan hasil buah-buahan perlu dibenarkan asalkan peniaga harus memastikan SOP diikuti termasuklah penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Iklan

Beliau berharap MBPP mempertimbangkan cadangannya dalam menjaga kebajikan para peniaga dan pekebun durian yang rata-ratanya berada dalam kawasan Parlimen Balik Pulau.

Rata-rata warganet mencadangkan durian diniagakan secara online bagi tempoh masa ini.

“Kupas siap-siap then packing. Hantar masuk supermarket atau hypermarket jual dengan harga berpatutan dan masuk akal (murah-murah sudah). Insya ALLAH akan laku. Ketua keluarga yang pergi beli barang di supermarket atau seumpamanya mesti akan beli juga durian bawakbalik untuk keluarga. Settle masalah.”Abu Uwais Al Qarny

Iklan

“Boleh je buat online business. Buat live and send by delivery. Takkan nak salahkan kerajaan untuk semua benda. Kena ade usaha sendiri. Bukan nak tunjuk pandai ke ape cuma nak share knowledge. Setiap bisnes mesti kena ada back up plan. Lagi-lagi masa Covid ni. Semuanye sekarang online. Cuba dulu baru tahu ade hasil ke tak.”-Yogeswary Murugesu

“Jual secara ‘cash on delivery’ (COD) la. Sebelum ni pun ramai je yang jual secara COD.”-Cynariany Deanna Ahmad

Diharapkan dengan cara jualan dalam talian dapatlah orang-orang Pulau Pinang merasa durian Balik Pulau tahun ini dan pekebun durian juga beroleh pulangan hasil tungkus lumus mereka.