LAMA rasanya kita tidak dibenarkan menganjurkan majlis perkahwinan demi membendung jangkitan Covid-19.

Pasti ramai yang rindu merasa nasi minyak bukan? Ye lah, bosan juga hari-hari asyik menikmati nasi putih.

Bila sebut sahaja nasi minyak, ia mempunyai pelbagai versi mengikut negeri dan tempat.

Lauk pula pelbagai jenis untuk dinikmati bersama nasi seperti rendang ayam, rendang daging, ayam masak merah dan sebagainya.

Kali ini jom kita cuba masak nasi minyak versi Terengganu.

Bukan calang-calang tau, postingnya mendapat lebih 18,000 perkongsian di Facebook. Pastinya lazat!

Nasi minyak bersama gulai daging, ayam masak merah, acar timun, acar nenas dan sambal belacan.

Bahan-bahan (nasi)

1. Beras Basmathi (saya gunakan Jasmin parboil) 6 cwan. Direndam 30 minit dan kemudian ditoskan air.

2. Bahan-bahan tumisan:

  • Rempah 4 sekawan
  • Bawang besar 1 biji dimayang
  • Serai 2 batang diketuk
  • Daun pandan 2 helai disimpul
  • Minyak masak
  • Minyak sapi

3. Kismis atau biji gajus

4. Susu cair suku tin

5. Sos tomato 3 sb

6. Garam

7. Pewarna kuning telur 1 sudu teh

Cara membuatnya:

1. Panaskan periuk elektrik, masuk minyak masak dan minyak sapi.

2. Tumis semua bahan hingga wangi. Masukkan beras yang ditoskan. Gaul rata, masukkan air. Jika beras jasmin parboil ini yang telah direndam, sukatan air sama dengan sukatan beras.

3. Masukkan susu cair, sos tomato, garam dan pewarna kacau rata. Bila sudah masak nasinya, masukkan kismis, kacau nasi tadi dan biarkan lagi 20 minit untuk nasi masak dan kering sepenuhnya.

Bahan-bahan (gulai daging)

1. Daging 1 kg (dipotong tidak terlalu kecil atau besar melawan urat daging)

2. Bahan perapan daging

  • Bawang besar 2 biji- dikisar halus
  • Bawang merah 4 biji- dikisar halus
  • Halia 1 inci – dikisar halus
  • Lengkuas 1/2 inci- dikisar halus
  • Rempah gulai cap bunga ros 4 sb
  • Rempah masak cap bunga ros 1 1/2 sb
  • Sos tomato 5 sb
  • Biji badam disangai dan ditumbuk halus (masuk dalam perapan daging tujuan bagi rasa lemak pada kuah)
  • Bawang goreng 2 cawan

* semua bahan di atas disatukan dan diperap dengan daging dalam setengah jam.

3. Susu cair 1/2 tin

4. Gula melaka

5. Garam secukup rasa

6. Bahan tumisan

  • Bawang besar 1 biji dimayang
  • Daun pandan 2 helai disimpul
  • Rempah 4 sekwan
  • Cili boh 2 sb
  • Serai 2 batang diketuk
  • Minyak masak

7. Kentang 3 biji (dipotong kecil)

Cara membuatnya:

1. Tumiskan bahan hingga wangi dan sampai pecah minyak.

2. Masukkan daging yang diperap tadi, tutup periuk biarkan keluar semua air daging dan rempah sebati.

3. Masukkan 3 cawan air untuk kuahnya. Masukkan susu cair, renihkan daging dengan api sederhana.

4. Masukkan gula melaka, garam dan cukup rasa. Masak sampai daging empuk. Jika daging belum empuk tambah air. Masak sehingga kuahnya menjadi pekat.

Ayam masak merah

Bahan-bahan (ayam masak merah)

1. Ayam 1 ekor (dibersihkan dan disapu kunyit dan garam digoreng hingga separuh masak atau masak)

2. Bahan tumis

  • Rempah 4 sekawan
  • Cili kering dikisar 6sb
  • Serai 2 btg diketuk
  • Daun kari 1 pelepah
  • Bawang besar 1 biji dimayang
  • Bawang putih 2 biji dimayang

3. Bahan kisar

  • Bawang merah 8 biji
  • Halia 1 inci
  • Bawang putih 4 biji

4. Kacang pis 1 tin kecil

5. Lada merah dan hijau 2 biji untuk hiasan

6. Sedikit daun bawang untuk hiasan

7. Tomato puri 1 tin kecil

8. Sos tomato 4 sb

9. Sos cili 5 sb

10. Sos tiram 1 sb

Iklan

11. Kicap manis 2 sb

12. Garam

13. Gula melaka

14. Perasa

15. Tomato 2biji

16. Bawang holland dipotong bulat untuk hiasan

Cara membuatnya;

1. Panaskan minyak, masukkan bahan tumis. Tumis sehingga naik bau. Masukkan cili kisar, tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan bahan kisar, kacau sebati tumis hingga pecah minyak lagi. Masukkan tomato puri dan masukkan segala jenis
sos dan kicap serta ayam yang sudah digoreng.

3. Masukkan kacang pis, cili merah dan hijau dan masak hingga kuah pekat.

4. Masukkan garam dan gula melaka serta perasa. Akhir sekali masukkan bawang holland dan daun bawang untuk hiasan.

Bahan-bahan (acar nenas)

1. Nenas 1 biji dikupas kulitnya dan dipotong nipis

2. Gula melaka 1/2 keping

Iklan

3. Cuka makan 4 sb

4. Air 1 cawan

5. Cili boh 2 sb

Cara membuat:

1. Masukkan cili boh kacau dengan api perlahan. Masukkan air smpai mendidih masukkan gula melaka.

2. Bila pekat, masukkan cuka. Sejukkan sekejap dan masukkan nenas

Cuba juga Ayam balado tak banyak guna bahan, makan bersama nasi putih pun sedap

Bahan-bahan (sambal belacan)

1. Cili besar merah 4 biji
2. Cili padi 20 biji
3. Belacan sebesar ibu jari(dibakar biar wangi)
4. Limau kasturi 1 biji dibuang biji
5. Garam
6. Gula
7. Pes Asam jawa 1/2 sudu
8. Limau nipis 1 biji

Cara membuat:

1. Semua bahan dikisar dengan air yang secukupnya.

2. Kisar jangan terlalu halus, keluarkan dan perahkan limau nipis.

Selamat mencuba!

Sumber: Muliadi Ramli via Grup FB Masakan Terengganu