MOHD RAHMAN SALLEH (bukan nama sebenar) kecewa apabila ramai menyangkakan umurnya sudah 40-an, walhal beliau baru berusia 32 tahun bulan lalu.

Anggapan itu bukan disebabkan kedutan atau garis penuaan pada wajahnya, tetapi berpunca dek rambut lelaki itu yang dipenuhi uban.

“Pada mulanya memang terasa hati bila orang sekeliling ingat saya orang tua, sedangkan saya masih muda belia. Pada satu tahap, untuk memujuk diri sendiri, saya sanggup hitamkan rambut.

“Bagaimanapun, lama-kelamaan saya terima hakikat bahawa uban saya sekarang berpunca daripada genetik keluarga kerana bapa saya turut berdepan gejala beruban seawal usia 30 tahun,“ jelasnya yang mengalami masalah uban pramatang.

Mengulas situasi Mohd Rahman, Pakar Dermatologi Hospital Pantai Cheras, Dr Low Dyoi-E menjelaskan, uban adalah proses penuaan yang akan dialami manusia.

“Ada yang menerima baik situasi terbabit, namun segelintir individu menyifatkan ia bagaikan mimpi ngeri,“ katanya dalam satu temu bual secara maya bersama SinarPlus baru-baru ini.

Bagaimana pula dengan teori yang mengatakan orang beruban pada usia muda merupakan kelompok yang terlalu banyak berfikir atau mengalami tekanan hidup?

Jawab Dr Dyoi-E: “Uban adalah lumrah alam, namun sekiranya berlaku lebih awal dari jangkaan, maka keadaan ini ditermakan sebagai uban pramatang. Hasil kajian The British Journal of Dermatology mendapati, dari sudut perubatan, konteks beruban turut bergantung pada rumpunan bangsa.

uban
HASIL kajian The British Journal of Dermatology mendapati, dari sudut perubatan, konteks beruban turut bergantung pada rumpunan bangsa.

Ujar beliau, lazimnya, keturunan Kaukasia menghadapi masalah beruban lebih awal iaitu sekitar umur 20-an manakala orang Asia termasuk Malaysia mula ditumbuhi rambut putih pada usia 25 tahun. Bangsa Afrika pula 30-an.

“Pertumbuhan (uban) berlaku selepas rambut hitam yang lebih tebal gugur dan diganti dengan uban halus. Proses ini biasanya berlaku dalam tempoh beberapa bulan.

“Bagi kaum lelaki, selalunya ia bermula daripada jambang, janggut dan misai sebelum ‘menjalar‘ ke kepala. Rambut pada dada pula adalah bahagian terakhir.

“Bagi kaum Hawa, uban selalunya tumbuh pada ubun-ubun (tengah-tengah) sebelum merebak ke bahagian sisi kepala,“ jelasnya.

Antibodi lemah

Dr Dyoi-E menambah, terdapat tiga fasa pertumbuhan rambut iaitu fasa anagen (pertumbuhan), fasa katagen (luruh) dan fasa telogen (rehat).

Ujar beliau, proses pewarnaan rambut oleh pewarna melanin pada fasa anagen akan membawa kepada uban pramatang jika berlaku sebarang gangguan seperti kewujudan spesies oksigen reaktif (ROS).

“Terdapat beberapa faktor yang boleh mencetuskan penghasilan ROS, antaranya disebabkan tekanan mental, alkohol, rokok, pencemaran persekitaran dan pendedahan kepada sinaran ultraungu yang melampau.

“Selain itu, kekurangan mineral, vitamin B12, zat besi, zink, tembaga dan kalsium juga mendorong kepada pertumbuhan uban pramatang,“ terangnya.

Bukan itu sahaja, Dr Dyoi-E memberitahu, beruban pada usia muda turut disebabkan oleh sistem ketahanan badan lemah atau menghidap penyakit hipotiroid, alopesia areata dan vitiligo yang menjejaskan pigmen melanin folikel rambut.

Iklan

“Kadangkala, pengambilan ubatan tertentu dan menjalani rawatan kemoterapi juga membawa kepada gejala beruban awal. Keadaan sedemikian lazimnya berlaku dalam kalangan pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan.

“Sebab itu, saya sentiasa nasihatkan orang ramai agar jalani cara hidup sihat dan belajar teknik mengendalikan tekanan dan cabaran hidup seharian jika ingin mengelakkan situasi beruban pada usia muda,“ ujarnya.

uban
ORANG ramai dinasihatkan menjalani gaya hidup sihat dan bijak mengurus tekanan bagi mengelakkan gejala uban  pramatang.

Sementara itu, Pakar Dermatologi Hospital KPJ Ampang Puteri, Dr Mazlin Mohd Baseri menjelaskan, uban pramatang bukanlah sejenis penyakit dan tidak berbahaya.

Namun begitu, ia boleh menyebabkan rasa malu, rendah diri dan akan mempengaruhi persepsi masyarakat berikutan rambut beruban sering dikaitkan dengan proses penuaan.

“Sehingga kini, faktor utama berlakunya uban pada usia muda belum diketahui.

Iklan

“Banyak kajian sedang dilakukan untuk mencari puncanya,” katanya.

EKSTRA tentang uban
• Uban ialah rambut yang tumbuh tidak cukup matang dengan kekurangan pigmen melanin.
• Individu yang mengalami situasi beruban pada usia muda disarankan agar tidak mencabut helaian uban kerana folikel rambut sedang dibaiki. Jika prinsip itu dilanggar, ia tidak akan
tumbuh semula kerana telah mengalami kerosakan pada folikel rambut terbabit.

Cara elak tumbuh uban:
1 Elak tabiat merokok dan memperbanyak pengambilan makanan yang kaya dengan antioksida seperti teh hijau.

UBAN
DIET

2 Bagi mereka yang mengalami keadaan uban pramatang disebabkan kekurangan vitamin dan mineral, digalakkan mengambil vitamin (suplemen) atau melalui sumber makanan semula jadi seperti telur, makanan laut dan ikan salmon.

3 Amalkan sajian kaya kalsium dan makanan tinggi tembaga termasuklah hati lembu, kacang almond, coklat hitam dan asparagus.

4 Jika masalah uban pramatang berpunca daripada penyakit vitiligo atau alopecia areata, ia boleh dirawat dengan ubat sapuan steroid, suntikan pada bahagian terganggu dan
fototerapi.