• Angka penularan yang tinggi memicu kekhuatiran dunia lantaran ia lebih mudah bermutasi berbanding varian Delta
  • Para saintis antarabangsa menekankan bahawa tiada data yang mencukupi untuk menjamin dos ke-4 atau imunisasi pada masa kini
  • Varian baharu Omicron dikatakan sangat berisiko bagi kumpulan usia 40 tahun atau lebih muda

SETAKAT Jumaat lalu, varian Omicron sudah menular di lebih 77 buah negara. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setengah juta kematian telah dilaporkan sejak varian berkenaan muncul pada penghujung tahun lalu. WHO menggelarkan angka kematian itu sebagai ‘satu perkara yang tragis pada era kehadiran vaksin.’

Berdasarkan Statista iaitu satu pangkalan antarabangsa yang menganalisis pelbagai jenis data menunjukkan, United Kingdom merupakan negara paling ramai menderita Variants of Concern itu dengan 457,256 kes.

Ia diikuti dengan Amerika Syarikat (AS) sebanyak 372,890 kes, Denmark (71,831), Jerman (48,960), Kanada (31,563) dan Perancis (30,075) setakat semalam.

Omicron yang turut dikenali sebagai varian B.1.1.529 pertama kali ‘menjelma‘ di Afrika dan Hong Kong pada November 2021. Ia kemudian menjalar masuk ke sebahagian besar negara Eropah, AS termasuk Malaysia sebulan selepas itu.

 

Saat artikel ini ditulis, saintis WHO masih belum dapat mengklasifikasikan tahap keterukan jika seseorang terkena varian tersebut.
Bagaimanapun, ujar Ketua Bahagian Teknikal Covid-19, WHO, Dr Maria Van Kerkhove, berdasarkan laporan awal, Omicron adalah lebih ringan berbanding Delta.

 

Namun, jangan tertipu. Meskipun kurang teruk, virus ini (Omicron) boleh menjejaskan populasi yang terdedah terutamanya warga emas. Jika mereka dijangkiti mana-mana varian SARS-CoV-2 termasuk Omicron, mereka masih berisiko tinggi,“ katanya dalam satu wawancara khas bersama WHO minggu lalu.

Ketika dalam satu sesi soal jawab di Geneva, Switzerland pula, beliau berkata, varian yang dikatakan 70 kali lebih mudah menular berbanding Delta, tidak akan membuatkan seseorang sakit seperti varian Alpha mahupun Delta, walaupun virus berkenaan menular lebih cepat.

Ahli Epidemiologi Penyakit Berjangkit, AS itu menambah, agensi kesihatan global telah menjejaki empat versi Omicron yang berbeza, dengan subvarian BA.2 lebih menular daripada versi BA.1 (yang mendominasi kes di seluruh dunia pada masa ini). Di beberapa negeri di AS, transmisi BA.2 sudah berlaku dengan lebih 400 kes direkodkan setakat ini.

Kongsi Dr Van Kerkhove lagi, penyelidik di Denmark mendapati, BA.2 adalah kira-kira 1.5 kali lebih mudah merebak daripada BA.1 dan ‘lebih mahir‘ menjangkiti orang yang telah divaksinasi.

Pun demikian, mereka telah diberi vaksin sepenuhnya, kurang berkemungkinan menyebarkannya berbanding mereka yang tidak disuntik.

Suntikan (vaksin) kekal sangat berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk dan kematian, walaupun ia tidak menghalang semua jangkitan. Saya menyeru orang ramai untuk mendapatkan vaksin dan memakai pelitup muka di dalam rumah,“ saran beliau.

 

Ciri khas lain

Dalam pada itu, berdasarkan jurnal Eurosurveillance, terdapat lapan simptom utama Omicron iaitu batuk, hidung berair, keletihan, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot termasuk demam dan bersin.

“Demam dan bersin paling jarang berlaku. Pakar kesihatan awam juga menambah, loya juga tersenarai kepada individu yang divaksin,“ kata jurnal berkenaan.

Kepada Independent UK, Pengasas, Aplikasi Kajian Gejala ZOE, Profesor Tim Spector pula berkata, petanda lain adalah seseorang akan mudah letih.

“Letih di sini bermaksud, seseorang akan sakit kepala, otot menjadi lemah, penglihatan kabur dan hilang selera makan. Pada masa sama, gejala pening dan pengsan juga boleh terjadi,“ katanya.

Kepada media sama, Pengerusi Perubatan Afrika Selatan, Dr Angelique Coetzee dipetik sebagai berkata, keletihan adalah salah satu simptom utama Omicron apabila varian itu tercetus di Afrika Selatan.

Mengukuhkan pandangannya, dalam tinjauan pendapat oleh Web MD pada 23 Disember 2021 hingga 4 Januari lalu, 40 peratus wanita melaporkan mereka bergelut dengan masalah kepenatan, berbanding satu pertiga kaum lelaki.

Pun demikian, laporan dari Centers for Disease Control and Prevention (CDC) dan Johns Hopkins Medicine menunjukkan sedikit kelainan apabila cirit-birit juga merupakan salah satu ‘karakter’ Omicron.

Dalam kajian Johns Hopkins Medicine menunjukkan, sekitar 20 peratus pesakit cenderung mengalami petanda itu sebagai gejala awal.

“Namun, penting untuk diingat bahawa ia (cirit-birit) bukan satu-satunya gejala Covid-19 Omicron,“ kata mereka.

Mengulas mengenai sejauhmana vaksin melindungi kita daripada mutasi baharu, Pakar Penyakit Berjangkit, Cleveland Clinic Main Campus, AS, Kristin Englund memberi penjelasan.

Katanya, data awal dari Pfizer menunjukkan, walaupun dua dos suntikan awal kurang berkesan terhadap varian Omicron, dos penggalak membantu meningkatkan antibodi dalam sistem imun manusia sebanyak 25 kali ganda dan sepatutnya menawarkan lebih banyak perlindungan.

“Belum ada maklumat mengenai keberkesanan vaksin Moderna atau Johnson & Johnson terhadap Omicron, tetapi penyelidikan oleh syarikat tersebut sedang dijalankan.

Iklan

Syarikat yang menghasilkan vaksin sudah pun mengkaji cara vaksin boleh diubah untuk melawan Omicron. Teknologi mRNA menjadikannya lebih mudah untuk mengubah suai vaksin dengan lebih cepat. Jika perlu, mereka boleh mempunyai vaksin baharu terhadap varian yang muncul dalam tempoh tiga hingga empat bulan,“ kata Dr Englund kepada CNBC.

 

Dos seterusnya?

Adakah apa yang diperkatakan beliau membawa maksud dos ke-4 diperlukan pada masa akan datang? Di AS, pertanyaan itu sudah dijawab oleh Ketua Penasihat Perubatan, White House, Antony Fauci.

Fauci telah membayangkan kemungkinan terdapat keperluan untuk rangsangan dos ke-4 di negaranya bagi memerangi varian Omicron atau dikenali sebagai ‘varian kebimbangan‘ di AS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla memberitahu CNBC, dos seterusnya (yang ke-4) diperlukan selepas penyelidikan awal mendapati, varian Omicron boleh menjejaskan antibodi.

Apabila melihat data, ia akan menentukan sama ada Omicron dilindungi dengan baik oleh dos ke-3 dan untuk berapa lama? Pada pandangan saya, kita memerlukan dos ke-4. Kita perlu tunggu dan lihat kerana kita masih mempunyai maklumat yang sedikit tentang varian itu,“ kata Bourla.

Dalam hal tersebut, WHO nampaknya masih belum memutuskan sama ada suntikan penggalak global perlu dilaksanakan atau sebaliknya.
Pun demikian, pada Disember tahun lalu, Israel menjadi negara pertama yang meluluskan dos ke-4 vaksin Pfizer-BioNTech yang dikatakan meningkatkan antibodi lima kali ganda seminggu selepas suntikan diberikan, lapor Healthline. Terbaharu adalah negara Korea Selatan.

Kepada yang tertanya-tanya, sampai bilakah dos penggalak akan ‘tamat tarikh luput‘, SinarPlus kembali merujuk kenyataan CDC.

Ujar mereka, keberkesanan suntikan penggalak vaksin Covid-19 berkurangan selepas kira-kira empat bulan. Namun, ia masih memberikan perlindungan yang ketara dalam menghalang orang ramai terus ‘menghuni‘ hospital.

Iklan

Dalam satu kajian, penyelidik CDC mendapati, suntikan penggalak kekal sangat berkesan terhadap Covid-19 tahap sederhana dan teruk selama kira-kira dua bulan selepas dos ke-3.

Pun demikian, ia menurun dengan ketara kepada 78 peratus selepas empat bulan. Justeru, kajian itu menyebut, keperluan untuk penggalak tambahan diperlukan.

Apa-apapun pendapat yang diutarakan, apakah langkah terbaik untuk melindungi diri daripada Omicron? Seperti kata Dr Van Kerkhove, adalah lebih baik untuk mendapatkan vaksin.

Kenyataannya selari dengan Dr Coetzee yang memberi amaran kepada mereka yang enggan berbuat demikian.

Pada masa sama, katanya, varian Omicron sangat berisiko kepada mereka berusia 40 tahun atau lebih muda.

Justeru, pendekatan asas seperti penjarakkan sosial, memakai pelitup muka, memastikan pengudaraan yang baik dan elak kesesakan di tempat awam merupakan prosedur yang wajib dipatuhi.

#varianomicron #sinarplus #mediksinarplus