ORANG ramai tidak perlu khuatir tentang fenomena cuaca panas dan kering yang melanda kini kerana ia masih terkawal, kata Pensyarah Kanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman.

Ujar Dr Haliza, Malaysia kini sedang mengalami musim monsun barat daya yang bermula pada pertengahan Mei dan akan berterusan sehingga pertengahan bulan September depan.

“Keadaan itu menyebabkan kurangnya pembentukan awan yang menghasilkan hujan sekali gus membuatkan cuaca kering. Suhu boleh mencecah 36 darjah Celcius di beberapa kawasan seperti di pedalaman Pahang dan Kelantan.

“Suhu paling panas adalah antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang. Bagaimanapun, situasi sekarang belum lagi mengakibatkan gelombang haba yang berpotensi mencetuskan strok haba,” katanya yang juga Ketua Laboratori, Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial, UPM.

Menerangkan lebih lanjut, Dr Hasliza berkata, gelombang haba yang boleh mencetuskan strok haba hanya akan berlaku apabila suhu maksimum purata harian melebihi 37 darjah Celcius untuk tiga hari berturut-turut atau beberapa minggu.

“Cuma jika suhu semasa mencecah antara 35 ke 37 darjah Celcius ia berada pada paras berjaga-jaga atau tahap satu,” jelas Dr Haliza.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan suhu yang dialami dengan merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia dari semasa ke semasa.