PROTEIN merupakan makronutrien yang memainkan peranan penting dalam membina jisim otot dan tisu badan.

Tubuh manusia secara analoginya tidak boleh menghasilkan protein. Justeru, ia mesti diambil daripada beberapa sumber dalam kuantiti yang mencukupi.

Protein sangat signifikan kepada manusia kerana ia merupakan faktor dominan membantu tumbesaran, proses penuaan yang sihat, kecergasan, kecantikan kulit dan untuk manusia sentiasa kelihatan sihat.

Mengulas mengenai kepentingan protein, SinarPlus mendapatkan pencerahan daripada Pakar Dietetik, Hospital Pantai Sungai Petani, Norhayati Samsuddin.

Norhayati Samsuddin.

Norhayati menjelaskan, protein dalam pemakanan terdiri daripada dua sumber utama iaitu protein haiwan seperti ikan, daging, telur, susu, keju dan tumbuh-tumbuhan termasuk kekacang dan produk soya.

“Secara biologinya, protein haiwan adalah lebih lengkap berbanding protein tumbuhan kerana ia mengandungi semua asid amino penting yang diperlukan oleh tubuh manusia,“ katanya.

Kepada SinarPlus, Norhayati memberitahu, berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia, setiap individu memerlukan 10 hingga 15 peratus protein atau 0.8 hingga 1.0 gram per kilogram berat badan.

“Bagi individu yang tidak mempunyai sebarang komplikasi penyakit terutamanya penyakit buah pinggang, jumlah pengambilan makanan berprotein yang disyorkan menerusi Piramid Makanan Malaysia 2010 adalah separuh hingga dua sajian sehari untuk ayam, daging dan telur atau satu sajian ikan serta satu hingga dua sajian susu dan produk tenusu,“ katanya.

Bagi protein tumbuhan pula, jumlah pengambilan yang disarankan adalah separuh hingga satu sajian kekacang.

“Sebagai contoh, satu sajian kekacang bersamaan dua keping tempe,“ katanya.

Impak berlebihan

Siapakah kelompok yang selalu berhadapan masalah protein berlebihan dalam badan? Menjawab soalan berkenaan, pakar itu berkata, lazimnya ia terdiri daripada individu yang ingin menurunkan berat badan.

“Golongan itu sering mempraktikkan diet tinggi protein dan rendah karbohidrat. Ia akan membuatkan mereka sentiasa berasa kenyang disebabkan protein akan berada di dalam perut lebih lama berbanding karbohidrat dan lemak.

“Amalan diet berkenaan telah terbukti mampu menurunkan berat badan untuk jangka masa pendek tetapi jika terus diamalkan untuk tempoh yang panjang, dikhuatiri akan mengakibatkan beberapa komplikasi kepada kesihatan,“ ujar beliau.

Menurut Norhayati, Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga membuktikan, protein yang terlalu banyak dalam badan manusia sememangnya akan menimbulkan masalah.

Iklan

Alasannya, individu yang mengamalkan diet tinggi protein dalam jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan penyingkiran kalsium secara berlebihan iaitu sebanyak 50 peratus kalsium akan dikumuhkan melalui air kencing.

“Akibatnya, ia memberi impak kepada tulang dan meningkatkan risiko pembentukan batu karang pada buah pinggang,“ ujarnya.

Bukan itu sahaja, pengambilan protein yang keterlaluan terutamanya daripada sumber haiwan akan menggalakkan kenaikan aras lemak tepu dalam darah yang akhirnya meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

Selain itu, ia juga boleh memberi bebanan kepada buah pinggang dan hati.

“Kedua-dua organ berkenaan perlu bekerja ‘lebih masa‘ untuk menyingkirkan keton dan lebihan protein.

Iklan

Protein (berlebihan) juga boleh menyebabkan berlakunya dehidrasi kerana buah pinggang bekerja terlalu keras untuk membuang lebihan protein yang dimakan,“ jelasnya sambil memberitahu pengambilan diet tinggi protein dibolehkan, namun antara tiga hingga enam bulan sahaja.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Endokrin dan Diabetes, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Lim Kim Piow berkata, masalah mulut berbau dan sembelit turut boleh berlaku.

Dr Lim Kim Piow.

Katanya, diet Atkin dan Ketogenik antara contoh individu yang berlebihan protein dalam badan. Dua diet itu antara lain menggalakkan pengamalnya mengambil makanan tinggi protein dan rendah karbohidrat.

Justeru, kata Dr Kim Piow, adalah lebih baik seseorang mengamalkan mengamalkan diet yang seimbang iaitu konsep suku-suku separuh selain melakukan senaman secara berterusan.

Tip elak makan makanan berprotein secara berlebihan:

  1. Amalkan diet yang seimbang dalam seharian dengan hanya mengambil jumlah kalori dan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan.
  2. Sentiasa mengamalkan diet yang seimbang menerusi konsep suku-suku separuh bagi individu yang ingin menurunkan berat badan.
  3. Diet harian perlu mempunyai gabungan makanan seperti nasi, roti atau bijirin bersama-sama dengan sumber protein, sayur-sayuran dan buah-buahan.
  4. Pilih makanan berprotein yang kurang berlemak mengikut jumlah yang disarankan.
  5. Elak makan makanan proses seperti sosej, nuget dan daging burger.
  6. Senaman dan riadah perlu dilakukan bagi menjamin gaya hidup yang sihat.
  7. Dapatkan nasihat pakar pemakanan bagi menentukan jumlah sumber protein yang diperlukan oleh tubuh badan.