Pak Tam, lembu sado 1 tan jadi rezeki asnaf. Campuran baka Perancis curi tumpuan di Masjid Putra Heights

No Image Caption
A
A
A

SUASANA pagi di Masjid Putra Heights sempena program korban tahun ini agak luar biasa. Mana tidaknya, seekor lembu sado seberat lebih satu tan mencuri tumpuan ramai.

Diberi nama Pak Tam, lembu ini menjadi tarikan utama bukan sahaja kerana saiznya yang luar biasa besar, malah kerana ia adalah antara haiwan korban yang paling mahal tahun ini.

Pak Tam adalah salah satu daripada 16 ekor lembu dan seekor kambing yang dikorbankan dalam program ibadah korban masjid tersebut.

No Image Caption

Apa yang menarik, Pak Tam dibeli khas oleh pihak Kays Steak & Lobster pada harga sekitar RM20,000.

Ia dibela di sebuah ladang di Teluk Intan, Perak dan dipelihara dengan teliti sejak Disember tahun lalu.

Menurut Pengarah Urusan Kays Steak & Lobster, Muhammad Aizuddin Mohd Khalid, ini adalah kali pertama pihak mereka melakukan ibadah korban dan ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kepada komuniti setempat.

Katanya, mereka memilih Masjid Putra Heights kerana cawangan pertama restoran mereka juga terletak di kawasan ini dan komuniti di sini telah banyak menyokong perniagaan mereka selama ini.

"Pak Tam adalah hasil kacukan baka Blonde dan Limousine yang berasal dari Perancis.

"Disebabkan baka dan penjagaan rapi yang diberikan, lembu ini membesar sehingga mencecah berat satu tan," ujarnya.

Aizuddin menjelaskan, selepas proses penyembelihan dan melapah, kira-kira 700 kilogram daging segar akan diagihkan kepada kariah masjid, mangsa tragedi letupan paip gas, serta golongan asnaf dan fakir miskin sekitar kawasan tersebut.

Imam 1 merangkap Pengurus Masjid Putra Heights, Ustaz Abdul Hadi Hidzan turut berkongsi keterujaan kerana ini adalah kali pertama pihak masjid menerima sumbangan korban lembu sado seberat ini.

Katanya, persiapan awal telah dibuat termasuk mencari penyembelih khas dan sukarelawan berpengalaman bagi mengendalikan lembu sebesar Pak TamTam.

"Sebanyak 20 orang sukarelawan diperlukan untuk menumbangkan lembu tersebut.

"Proses melapah pula mengambil masa hampir sejam. Walaupun mencabar, semua petugas berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan lancar," jelasnya.

Antara sukarelawan yang terlibat ialah Zaini Ishak, 44 tahun. Beliau menyifatkan pengalaman mengendalikan lembu sado sebagai sesuatu yang sangat mencabar dan berbeza berbanding lembu biasa.

Walaupun mengalami sedikit kecederaan kecil ketika menarik tali, beliau tetap gembira dapat menyumbang tenaga dalam program ini.

Seorang lagi sukarelawan, Tuan Saiful Azli, 46 tahun berkata kekuatan Pak Tam memang luar biasa.

Namun pengalaman tahun ini dijadikan pengajaran dan persediaan untuk program akan datang.

Secara keseluruhan, seramai 200 orang sukarelawan terlibat dalam program korban Masjid Putra Heights.

No Image Caption

Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan termasuk bahagian menumbangkan lembu, menyembelih, melapah, menimbang, membungkus dan mengagihkan daging.

Masjid Putra Heights menganggarkan lebih 1,600 bungkusan daging korban berjaya diagihkan kepada mangsa tragedi kebakaran, golongan asnaf, fakir miskin, dan penduduk sekitar.

Selain itu, pihak masjid turut menyediakan jamuan makan tengah hari untuk kira-kira 1,000 orang yang hadir pada hari berkenaan.

Program korban tahun ini bukan sahaja berjaya dilaksanakan dengan baik, malah ia turut mengeratkan lagi hubungan antara komuniti dan pihak korporat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang