APABILA kita mengetahui ahli keluarga waima rakan-rakan sekeliling mendapat kanser, pastinya masing-masing tidak senang duduk.

Macam-macam perkara yang berlegar dalam benak fikiran.

Kanser yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat negara kita ada banyak. Antaranya seperti kanser payudara, kanser otak, kanser limfoma, kanser esofagus.

Namun, terdapat satu kanser yang perlu kita tahu adalah kanser kelenjar air liur atau dalam istilah saintifiknya Adenoid cystic carcinoma.

Merujuk portal Hello Doktor, kalenjar berfungsi menghasilkan air liur untuk disalurkan ke dalam mulut kita semua.

“Ia bertujuan untuk memudahkan individu menelan dan mengunyah makanan serta minuman selain menghalang jangkitan pada bahagian oral,” kata portal kesihatan itu.

Merujuk American Cancer Society pula, kanser kalenjar air liur sangat jarang ditemui.

Di Amerika Syarikat, kemungkinan 1 peratus sahaja sahaja kanser itu berlaku.

Bagaimana pula di Malaysia? Berdasarkan Laporan Daftar Barah Kebangsaan 2003, kira-kira 1 peratus kes membabitkan barah kalenjar air liur daripada 21,464 kes yang direkodkan di Semenanjung dengan 0.6 peratus kes ialah pesakit lelaki.

Bercakap mengenai hal itu, baru-baru ini, tular di laman Twitter tentang perkongsian Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Shaiful Nizam mengenai kes ketumbuhan kelenjar air liur.

Ujar Dr Mohd Shaiful, setelah 11 tahun bergelar doktor, ia merupakan kali pertama beliau terlibat dalam pembedahan mengeluarkan ketumbuhan kelenjar air liur yang dianggarkan seberat 3 kilogram!

Berdasarkan bebenang dalam laman Twitter rasminya, @Dr_Shaiful berkata, pembengkakan/tumbuhan pada bahagian leher pesakit sebenarnya sudah berlaku hampir lapan tahun.

Pada peringkat awal, hanya kecil sebesar 4 x 5 sentimenter (sm), tetapi kini telah membesar sehingga 20 x 30sm.

Ujar pakar itu, pembengkakan/ketumbuhan (pada bahagian leher) yang tidak hilang selepas rawatan antibiotik lebih daripada sebulan perlulah mendapat rawatan terperinci dengan pakar telinga, hidung dan tekak termasuk pakar pembedahan.

Beberapa pemeriksaan dan ujian makmal termasuklah imbasan X-Ray, USG dan CT Scan akan dilakukan jika perlu, katanya.

Beritahu Dr Mohd Shaiful, disebabkan pesakit merasakan ketumbuhan itu membuatkan beliau tidak selesa untuk bersolat dan sangat menganggu, pesakit telah memohon dirinya dibedah.

“Alhamdulillah, dengan kehadiran Pakar Perunding, Pakar Bedah Kepala dan Leher, Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Mohd Razif Mohamad Yunus dan pasukannya, pembedahan kami selama lima jam berjaya tanpa sebarang komplikasi yang serius,” katanya sambil memberitahu, pesakit kini semakin baik dan tidak berat kepala lagi, malah bertambah selesa.

Situasi itu turut mendorong Dr Mohd Shaiful berpesan supaya mereka yang mempunyai ketumbuhan perlu segera mendapatkan rawatan lanjut.

Iklan

“Pembedahan di peringkat awal dapat mengurangkan risiko cedera pada salur darah, saraf dan struktur anatomi yang berdekatan. Selain itu, proses penyembuhan juga lebih cepat,” sarannya.

KENALI SIMPTOM

Dalam pada itu, timbul persoalan dalam ruangan komen yang bertanyakan simptom dan punca apakah berlakunya kanser itu. Justeru, SinarPlus merujuk portal MyHealth. Antara beberapa faktor yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

i. Dehidrasi badan.
ii. Tabiat kurang makan yang menyebabkan air liur kurang dihasilkan.
iii. Ubat-ubatan yang mempengaruhi penghasilan air liur seperti ubat antidepresi.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengesan gejala ketumbuhan itu pada peringkat awal. Antara simptomnya:

i. Sakit dan bengkak
– Jika tiada jangkitan kuman, ia boleh berlaku ketika makan dan biasanya hilang secara perlahan selepas tamat waktu makan.
– Dalam keadaan terdapat jangkitan kuman, sakit dan bengkak terjadi sepanjang masa. Tanda-tanda lain demam, kemerahan pada kulit, bau mulut kurang menyenangkan dan pengaliran keluar nanah melalui bukaan duktus (saluran dalam tubuh)

Iklan

ii. Ketulan boleh dirasai di mulut.

iii. Kurang atau ketiadaan pengaliran air liur.

iv. Keadaan yang mana jangkitan kuman berlaku disebabkan ketumbuhan, kalenjar air liur yang terlibat menjadi keras.

Walaupun ia tergolong dalam kanser yang jarang ditemui, kita perlu berjaga-jaga. Maka, tiada cara lain selain melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. #kitajagakita

Seperti kata Dr Mohd Shaiful, gambar yang dimuat naik telah mendapat keizinan daripada pesakit untuk dikongsi bagi tujuan pembelajaran dan info kesihatan.

Sumber Twitter @Dr_Shaiful