AKHIR-AKHIR ini nampaknya pokok hiasan sama ada di dalam dan di luar rumah kian digilai. Ya, memang cantik dan rasa redup umpama ‘penyejuk’ rumah.

Menariknya kadangkala pokok yang ditanam adalah jenis yang dikatakan boleh dimanfaatkan termasuk dari segi kesihatan oleh pemiliknya.

Begitupun tidak semua tumbuhan hiasan ini ‘selamat’ untuk disentuh apatah lagi dibelai-belai dengan sentuhan kulit manusia ya. Sebahagiannya mengandungi racun yang boleh menjejaskan seseorang.

Ahli kimia, Dr Che Puteh Osman berkongsi pokok keladi Dieffenbachia (seperti dalam gambar di atas) antara jenis berisiko.

Pokok yang beracun tu yang ni. Bukan pokok lidah jin/snake plant/lidah mak mertua,” kongsi Che Puteh di Facebook nya.

Baru-baru tular satu hantaran Facebook mengatakan pokok hiasan dedaun alam atau Dieffenbachia menyebabkan keracunan pada anaknya.

Benarkah sedemikian?

Benar tuan puan…. pokok dari genus Dieffenbachia sp terutamanya ‘dumb cane’ seperti dalam gambar boleh menyebabkan keracunan disebabkan kehadiran raphides dan bahan toksin dalam tumbuhan.

Apabila dikunyah, raphides, sejenis kalsium oksalat dalam bentuk kristal jarum mencederakan lapisan tisu dan bahan toksin akan memasuki ke lapisan tisu dan menyebabkan ketoksikan jika dikunyah terutama oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Bahan toksin ini kemungkinan adalah sejenis ’trypsin-like protease’ yang menghasilkan kinnin.

Kesan toksik akibat terdedah pada kalsium oksalat dalam bentuk raphides ini dapat diperhatikan bengkak dan lepuh pada bibir, susah menelan, dan apabila bengkak sehingga kesaluran pernafasan, ia menyebabkan kesukaran bernafas,” jelasnya.

Iklan

Menurutnya, jika tumbuhan itu terkena mata, ia boleh menyebabkan kecederaan pada kornea, kemerahan dan kekeringan. Sementara jika terkena kulit ia boleh menyebabkan kegatalan, kemerahan dan rasa panas.

Padanlah kesannya bukan kaleng-kaleng…

Kongsi Che Puteh lagi, pokok yang berasal dari kawasan Amerika tropika dan West Indies ini pernah digunakan untuk menghasilkan panah beracun untuk menyerang musuh. Ia juga pernah digunakan terhadap banduan.

Iklan

Jadi berhati-hatilah jika anda menguruskan tumbuhan ini. Bukan sahaja daun dikunyah menyebabkan ketoksikan. Jika anda menguruskan potongan batang untuk tujuan penanaman semula, getahnya juga boleh menyebabkan iritasi.

PS: Post ini bukan mencadangkan pengharaman tanaman hiasan. Cuma saya ingin nasihatkan berhati-hati ketika mengendalikan tanaman ini terutama kanak-kanak yang mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi dan binatang peliharaan yang ‘inginkan perhatian’,” ujarnya.

Justeru hati-hati ya buat peminat pokok hiasan. -AG #JanganPutusAsaMalaysia