DARI aspek perubatan, berpuasa mendatangkan banyak kebaikan kepada tubuh badan.

Sejak dari zaman dulu lagi, banyak pakar dan ilmuan melaksanakan kajian tentang manfaat di sebalik amalan wajib ke atas umat Islam itu.

Sekumpulan pakar sains yang membentangkan hasil penyelidikan mereka di Maghribi pada tahun 1994 sebulat suara bersetuju bahawa Ramadan tidak sesekali memudaratkan manusia.

Malah, Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Pencegahan Marin, San Rafael, California, Amerika Syarikat, Elson M Haas mengatakan, berpuasa dapat mengubati pelbagai penyakit berbahaya.

Antaranya seperti bronkitis, alergi, asma, jantung koroner, hipertensi, diabetes, epilepsi, kanser dan insomnia.
Selain itu, amalan itu jika dilakukan secara konsisten juga mampu mempengaruhi tahap kesuburan dan pengawalan hormon seseorang.

Pasti ramai tertanya-tanya, apakah perkaitan antara kesuburan dengan puasa?

Bagi memperincikan lebih lanjut mengenainya, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Dr Murizah Mohd Zain.

Dr Murizah.

Membuka tirai bicara, Dr Murizah berkata, secara umumnya, satu daripada enam pasangan akan mengalami kesukaran untuk hamil dan memerlukan bantuan kesuburan.

Namun demikian, kata beliau, terdapat pelbagai perkara yang menyumbang kepada faktor itu (kesuburan) pasangan sama ada pada wanita itu sendiri atau pada lelaki atau kedua-duanya sekali.

“Pun demikian, salah satu penyebab yang telah terbukti mengganggu kesuburan adalah berat badan atau obesiti,“ katanya.

Ujar pakar itu, wanita yang mengalami masalah berat badan sama ada berlebihan atau obes, lebih sukar hamil kerana berlakunya gangguan ovulasi dan kitaran haid tidak teratur.

Keadaan itu, kata Dr Murizah akan mengganggu kualiti telur yang dihasilkan.

“Ia (kualiti telur) akan menurun dan bukan itu sahaja, kualiti dinding rahim yang diperlukan untuk penempelan kandungan juga akan jatuh.

“Sekiranya seorang wanita memulakan rawatan kesuburan, masalah obesiti boleh mengurangkan keberkesanan rawatan. Wanita yang mempunyai masalah itu memerlukan ubat-ubatan dalam dos yang lebih tinggi.

“Bukan itu sahaja, peratus kejayaan kaedah bantuan reproduksi seperti inseminasi intrauterin atau permanian beradas juga akan menurun dengan setiap pertambahan berat badan yang berlaku. Lelaki yang obes pula turut terkesan kerana mengalami gangguan kesuburan akibat kualiti sperma daripada air maninya (oligoasthenoteratospermia),“ jelasnya.

Kadar rintangan insulin

Dalam pada itu, pelbagai kajian saintifik telah dijalankan mengenai amalan berpuasa yang mampu menurunkan kadar kerintangan insulin, kata Dr Murizah.

“Hal itu penting terutama bagi pesakit yang mengalami Sindrom Polisistik Ovari (PCOS) dan obesiti kerana paras insulin yang terkawal boleh mengurangkan rembesan hormon testosteron oleh ovari dan hormon wanita akan kembali mendominasi lantas meningkatkan peluang pesakit PCOS untuk hamil,“ jelasnya.

Beritahu Dr Murizah, lebih 50 peratus pesakit PCOS lazimnya adalah obes dan akan mengalami haid yang tidak teratur.

“Ingin saya maklumkan, penurunan sebanyak 10 peratus daripada berat badan asal boleh memberi 40 peratus peluang kepada pesakit PCOS agar kembali ‘meraih‘ haid yang teratur dan kehamilan spontan berupaya berlaku tanpa pengambilan sebarang ubat kesuburan,“ katanya.

Justeru, apa yang boleh para wanita lakukan?

Saran beliau, kaum Hawa disaran memodifikasikan tingkah laku ke arah gaya hidup sihat sama ada melalui pola pemakanan dan latihan jasmani.

Pun demikian, ujar Dr Murizah, terdapat kerisauan seandainya seseorang wanita berpuasa terlalu lama iaitu sekitar 18 jam.

Situasi itu katanya, boleh mendatangkan gangguan pada hormon reproduksi seperti hormon dari pituitari perangsang folikel dan luteotropin.

“Sebenarnya, lebih ‘harmoni‘ dan selamat adalah berpuasa sekitar 12 jam, namun di Malaysia, kita berpuasa sekitar 11 hingga 12 jam sahaja,“ katanya.

Selain berat badan, ujar Dr Murizah, masalah kesuburan mempunyai hubung kait dengan perbuatan merokok.

“Lebih 50 peratus daripada lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok. Mereka yang merokok akan mengalami dua kali ganda kesukaran kerana tabiat itu boleh menyebabkan kuantiti dan kualiti sperma menurun kerana bahan-bahan toksik di dalam rokok,“ katanya.

Bukan itu sahaja, wanita iaitu isteri perokok atau perokok pasif juga akan mengalami kesukaran untuk hamil.

Justeru, ujar pakar terbabit, Ramadan adalah waktu terbaik ke arah mempraktikkan amalan gaya hidup sihat termasuk berhenti daripada merokok.

Rembesan hormon endorphin

Sementara itu, Pegawai Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Muhamad Ariff Abd Rahman turut melontarkan pandangannya.

Ujar beliau, secara amnya, kajian mengenai puasa dan kesuburan adalah terhad.

“Namun, puasa itu sendiri memberi peluang kepada tubuh badan untuk reboot atau memperbaiki sistem pencernaan. Puasa juga adalah satu medium untuk mengimbangkan hormon sambil membantu proses perkumuhan dan detoksifikasi tubuh badan,“ katanya.

Selain itu, ujar Muhamad Ariff, ketika seseorang berpuasa, proses pembakaran lemak adalah lebih tinggi.

“Merujuk kepada satu petikan dalam artikel kajian di luar negara, amalan spiritual seperti mendirikan solat dan membaca al-Quran yang dilazimi boleh membantu dalam proses rembesan hormon endorphin yang lebih tinggi. Hormon itu nanti akan membantu merendahkan tahap tekanan emosi seseorang.

“Hasilnya, ia boleh meningkatkan lagi tahap kesuburan seseorang melalui ibadah berpuasa,“ ujarnya.

Muhammad Ariff menambah, terdapat satu kajian di Mesir (2016) yang melibatkan sekumpulan wanita yang menjalankan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) ketika dirinya berpuasa pada bulan Ramadan.

Dapatan kajian menunjukkan, puasa sama sekali tidak menjejaskan hasil rawatan IVF, malah memberi kesan yang baik terhadap emosi, tekanan dan kemurungan yang dihadapi oleh pasangan.

Bagaimanapun, pemilihan makanan adalah aspek paling penting untuk diberi penekanan.

“Pertama sekali, pastikan pengambilan kalori yang mencukupi semasa bersahur dan sewaktu berbuka puasa. Di bazar Ramadan memang banyak makanan. Namun, pilihlah juadah yang direbus, dibakar atau dikukus bagi mengekalkan berat badan yang sihat.

Iklan

“Antara contoh makanan yang baik adalah seperti popia basah, tauhu sumbat dan kuih yang tidak mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti apam atau karipap,“ ujarnya.

Jangan lupa minum air yang mencukupi semasa berbuka puasa untuk kekal hidrasi, kata Muhamad Arif.
“Elak juga minum minuman berkafein dan makan makanan yang tinggi garam,“ katanya.

Puasa sunat secara konsisten bantu Noor Farhana hamil

NOOR FARHANA SUBERI, 32, mengakui, puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis yang diamalkannya secara konsisten membantu menurunkan berat badannya sebanyak 16 kilogram (kg)!

Sebelum ini, ujar wanita itu, berat badannya adalah 75kg. Hasilnya, beliau berjaya hamil anak sulung.

“Selepas berbincang dengan doktor dan pakar pemakanan, mereka kata, tiada cara lain selain saya diminta untuk turunkan (berat badan) agar tahap kesuburan saya boleh meningkat,“ ujarnya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Berkongsi mengenai rutin harian, selain mengamalkan puasa sunat, Noor Farhana berkata, beliau akan berjalan kaki lebih kurang 45 minit hingga sejam dalam sehari.

“Alhamdulillah, saya lakukannya sejak enam bulan lalu. Saya juga berharap puasa pada kali ini menyuntik aura baharu selepas berhempas-pulas menurunkan berat badan.

“Selain berjalan dan berpuasa, saya juga mengamalkan senaman lompat tali secara perlahan-lahan hingga kini mampu mencecah 4,000 lompatan (satu jam) sehari,“ beritahunya.

Namun demikian, ujar Noor Farhana juga, aspek pemakanan juga sangat dititikberatkan.

“Saya sudah beralih dan menggunakan minyak zaitun dalam masakan dan hanya memilih makanan yang rendah minyak. Sejak beberapa bulan lalu, saya juga sudah ‘berpantang‘ daripada membeli makanan segera dan minuman manis,“ tambah beliau sambil memberitahu, usia kandungannya kini telah memasuki tujuh minggu.

Justeru, kepada wanita yang ingin hamil, inilah masa terbaik untuk anda menurunkan berat badan. Pun demikian, dari aspek pemakanan juga perlu diberi perhatian.

ANEKDOT

JENIS-JENIS ujian kesuburan:

1. Ujian pangkal rahim.

Iklan

Pap smear adalah sejenis saringan untuk memeriksa sel-sel di pangkal rahim (servis). Ia dilakukan bagi mengesan kehadiran sel-sel prakanser atau sel-sel kanser di serviks. Semasa prosedur itu, sel-sel dari pangkal rahim akan diambil dan diperiksa untuk sebarang pertumbuhan tidak normal.
(Nota: Ujian ini tidak boleh dilakukan oleh orang Islam semasa bulan puasa.)

2. Ujian hormon darah.

Ujian tersebut dilakukan untuk mengesan ovulasi (keluar telur) dilakukan dengan mengukur tahap progesteron dalam sampel darah. Ia dilakukan semasa haid iaitu diambil di antara hari kedua hingga hari keempat untuk memeriksa ketidakseimbangan hormon folikel hormon luteotropin.

3. Imbasan ultrabunyi.

Tujuan pemeriksaan itu dilakukan untuk mengikuti perkembangan saiz folikel. Proses itu juga dinamakan sebagai imbasan folikel bagi mengenal pasti sama ada wanita itu sedang berovulasi dan untuk menentukan jika folikel sudah pecah dan mengeluarkan telur.

4. Histerosalpingogram.

Histerosalpingogram dilakukan untuk memeriksa tiub falopio. Ujian itu melibatkan suntikan cecair kontras melalui pangkal rahim. Pada masa yang sama, x-ray diambil pada bahagian bawah perut untuk melihat sama ada pengaliran kontras melalui saluran falopio.

5. Laparoskopi dan histeroskopi.

Laparoskopi merupakan satu pembedahan kecil menggunakan teropong (laparoskop) melalui abdomen dan kemudian pewarna disuntik melalui serviks untuk memeriksa tiub tersumbat.
Histeroskopi pula proses teropong dengan menggunakan teleskop untuk melihat dalam rahim bagi memeriksa keadaan seperti fibroid atau polip.
(Nota: Ujian ini tidak boleh dilakukan oleh orang Islam semasa bulan puasa.)

6. Analisa air mani.
Ujian sperma untuk memeriksa rupa bentuk, bilangan sperma dan kualitinya.
Beberapa faktor yang akan diambil kira oleh doktor untuk mengetahui tahap kesuburan seseorang lelaki seperti bentuk sperma, pergerakan sperma, tahap pH, jumlah air mani, kecairan air mani dan kiraan sperma.
(Nota: Ujian ini tidak boleh dilakukan oleh orang Islam semasa bulan puasa)

7. Ujian darah untuk saringan risiko jangkitan
Antara ujiannya adalah Anti-HIV-1 dan 2 untuk mengesan virus imunodefisiensi manusia (HIV), HBsAg/Anti-HBC untuk hepatitis B dan ujian makmal penyelidikan penyakit venereal iaitu ujian saringan untuk sifilis.

Sumber: www.myhealth.gov.my