HALWA maskat yang dikatakan berasal dari bandar Masqat, Oman kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mentransisikan sajian itu mengikut selera tempatan.

Jika di negara itu, kuih berkenaan terlalu manis, namun melalui sentuhan orang kita, ia diadun dengan tahap kemanisan yang sederhana dan warnanya lebih keemasan.

Baca juga Guna teknik kukur kelapa bikin inti kuih sopang jadi enak dan lembut

Pun demikian, untuk menemui halwa maskat yang enak dan berkualiti tidak mudah, sementelah pembuatannya difahamkan amat renyah dan memerlukan masa berhari-hari.

Jangan lupa follow kami Instagram! 

Namun, SinarPlus berjaya menemui Maslina Muhamad Muktar yang merupakan salah seorang pengusaha kulinari berkenaan yang berniaga di bawah jenamanya sendiri, Halwa Maskat Utara.

Ungkap Maslina, nama itu diberi adalah untuk membezakan kuih yang terdapat di negeri-negeri lain.

Mengusahakan perniagaan bersama suami tercinta, Rostam Abu Seman, wanita itu berkata, bisnesnya tidak hanya beroperasi pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, malah makanan tersebut boleh dibeli pada hari-hari biasa.

Berbicara lanjut, Maslina yang berasal dari Pulau Pinang berkata, beliau mewarisi bakat membuat halwa maskat daripada bapa mertuanya, Abu Seman Darus.

“Sebenarnya bapa mertua saya sudah 30 tahun menjalankan bisnes menjual kuih ini. Sebelum itu, beliau hanya mengambil tempahan membuat dodol sahaja.

“Namun, selepas mendapat permintaan untuk membuat kuih tersebut, bapa mertua saya terus pelajari resipi istimewa itu daripada rakannya,“ imbasnya.

Menceritakan serba sedikit proses penyediaan halwa maskat yang dikatakan agak payah, Maslina berkata, beliau lazimnya menggunakan sekurang-kurangnya 14 kilogram tepung gandum untuk menghasilkan 100 kotak manisan tersebut.

Bagi memperoleh hasil yang sempurna, peniaga tersebut menggunakan teknik ‘basuh tepung‘ sebelum mengadun bahan tersebut bersama ramuan lain.

“Maksud ‘basuh tepung‘ itu adalah merujuk mencucinya (tepung) dengan air bersih bagi membuang getah atau gluten yang terdapat dalam tepung.

“Selepas itu, sisa basuhan tepung itu akan diperam sekurang-kurangnya dua hari. Pastikan air peraman ditukar setiap enam jam sekali sehinggalah air yang berwarna keruh tadi berubah menjadi jernih dan bersih.

“Memang rumit, tetapi itulah cara untuk mendapatkan halwa maskat yang terbaik dan kelazatannya memang tidak dapat diragukan lagi,“ ujarnya sambil memberitahu, untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, elak melangkau cara penyediaan seperti yang dicadangkan.

Baca juga Petua pikat calon mentua? Kenalah pandai buat kuih tradisional

Iklan

Seperkara, pesan Maslina, pastikan sukatan setiap bahan tepat. Jangan terlebih atau terkurang.

Ujar usahawan berjaya itu lagi, tempahan Halwa Maskat Utara diterima dari seluruh pelosok negeri termasuk pelanggan negara seberang.

RESIPI KUIH HALWA MASKAT

Bahan-bahan

500 gram tepung gandum
250 mililiter minyak masak
500 mililiter air
5 gram gula batu
1 kilogram gula pasir
1/2 sudu teh perisa oren
1 mililiter pewarna makanan (warna kuning telur)
1/2 sudu teh batu nasila
20 gram kacang tanah atau badam hiris

Iklan

Cara penyediaan:

1. Tepung diuli menjadi doh.
2. Basuh doh tepung di dalam air bersih untuk membuang ‘getah tepung‘.
3. Sisa basuhan tepung perlu diperam sekurang-kurangnya 48 jam.
4. Setiap 6 jam, air peraman perlu ditukar sehingga ia menjadi bersih dan jernih.
5. Setelah diperam selama 2 hari, buang air dan tinggalkan mendapan tepung.
6. Terlebih dahulu, masak gula pasir, gula batu dan batu nasila dengan api sederhana.
7. Masak campuran gula tadi dengan air sehingga sebati.
8. Kemudian, masukkan mendapan tepung ke dalam air gula itu.
9. Masak dengan api sederhana sehingga adunan agak kental.
10. Masukkan minyak sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi likat.
11. Adunan mestilah dikacau tanpa henti untuk mengelakkan ia hangus.
12. Akhir sekali, masukkan perisa oren, kacang ataupun badam dan juga pewarna.
13. Adunan mesti dimasak dan dikacau selama 1 hingga 2 jam sehingga masak.
14. Apabila adunan tidak lagi melekat di kuali itu tandanya halwa maskat sudah masak dan sedia untuk dihidangkan.

Sumber Maslina Muhamad Muktar

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI