Pembedahan pintasan perut bukan sekadar untuk kurus semata-mata
ADA di antara kita yang sudah berusaha sepenuhnya untuk mengurangkan berat badan, namun masih menemui jalan buntu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dunia kini sedang mengalami epidemik kegemukan kerana hampir setiap dua dari lima orang (39 peratus) mempunyai berat badan berlebihan pada tahun 2016 dan 13 peratus mengalami kegemukan.
Menurut statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional pada tahun 2019 pula, Malaysia mempunyai kadar obesiti dan berat badan yang paling tinggi dalam kalangan negara-negara Asia dengan 64 peratus lelaki dan 65 peratus wanita.
Pastinya, obesiti bukan satu masalah yang mudah untuk diatasi kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhi corak makan dan senaman sesetengah individu.
Memberi solusi kepada masalah tersebut, pembedahan pintasan perut atau bariatrik mungkin salah satu jalan keluar yang boleh dipertimbangkan.
Sebenarnya, bariatrik yang memfokuskan kepada pembedahan mengecilkan perut sesuai dijalankan ke atas mereka yang mempunyai Indeks Jisim Badan melebihi 35 dan gagal mendapatkan penurunan badan kekal dan konsisten dengan cara lain.
Perlu diingatkan, pembedahan berkenaan bukannya sebagai pembedahan kosmetik, sebaliknya fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar kelihatan kurus, tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti adalah punca pelbagai penyakit kronik.
Apakah yang berlaku selepas menjalani pembedahan berkenaan?
Jawapannya, selepas pembedahan itu dilakukan, pesakit akan berasa cepat kenyang dan kurang selera makan serta menyebabkan sistem tubuh mengambil tenaga daripada lemak pada badan sebagai ganti kepada makanan yang biasa diambil.
Hasilnya, berat badan akan berkurangan dan pesakit akan dapat melihat kesan positif seperti pengurangan berat badan yang ketara, tekanan darah menurun, memulihkan pesakit yang mengalami diabetes tahap 2 dan merendahkan kolesterol.
Selain itu juga, ia dapat memulihkan masalah pernafasan ketika tidur, pedih ulu hati, memperbaiki pergerakan anggota badan malah pembedahan tersebut juga dapat menghilangkan sakit teruk pada sendi-sendi tulang akibat berat badan yang berlebihan.
Antara berita baik manfaat pembedahan berkenaan juga dikaitkan dengan masalah kitaran haid wanita obes yang tidak teratur sehingga mengganggu kesuburan juga dapat diperbaiki.
Artikel berkaitan: Cantik, kurus dan muda, penampilan Rina Harun jadi perhatian
Bukan itu sahaja, dari segi psikologi juga, ia memberi kesan bagus kerana ia meningkatkan keyakinan diri dan pengawalan emosi terutamanya ketika berada di hadapan khalayak ramai.
Pastinya, pembedahan pintasan perut telah terbukti mampu mengurangkan berat badan sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua tahun sahaja tau!
Lebih mengujakan, pembedahan bariatrik bukan sahaja menyebabkan penampilan fizikal akan bertambah baik, malah kebanyakan penyakit metabolik seperti kencing manis, kolesterol dan darah tinggi berjaya dikawal.
Pun demikian, menurut Pakar Perunding Bedah Umum, Payudara, Endokrin dan Bariatrik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Kirubakaran Malapan, rata-rata pesakit yang menggunakan salah satu daripada kaedah berkenaan akan susut lebih kurang 15 kilogram iaitu kira-kira 10 ke 15 peratus daripada berat badan asal dalam masa yang sangat singkat.
“Bagaimanapun, sikap pesakit juga penting dan mereka perlu dipujuk mengurangkan jumlah makanan selain meningkatkan senaman.
“Sebagai panduan, pasukan multidisiplin terlibat akan merumuskan program lengkap untukmembantu diet sihat, rejimen senaman dan yang paling penting adalah mengubah gaya hidup dan kesihatan individu berkenaan,” katanya menerusi satu e-mel baru-baru ini.
Beberapa selebriti tempatan popular seperti Aishah, Chef Zam, Rahim (Sepahtu) dan Micheal Ang telah menjalani pembedahan berkenaan dan hasilnya boleh dilihat pada hari ini.
Semoga perkongsian di atas bermanfaat kepada semua dan tolong 'nyahkan' daripada fikiran bahawa pembedahan tersebut hanya bertujuan kurus semata-mata.
Sumber: Public Health Malaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang