Pemindahan buah pinggang merupakan rawatan terbaik? Ikuti pencerahan pakar nefrologi terkenal negara

A
A
A

PEMINDAHAN buah pinggang merupakan rawatan terbaik bagi kebanyakan pesakit yang mengalami kerosakan organ itu.

Walaupun dialisis sama ada hemodialisis atau dialisis peritoneal merupakan pendekatan yang baik untuk membolehkan golongan itu meneruskan kehidupan, ia tetap mempunyai had-had tertentu.

Salah satu daripadanya adalah komplikasi kesihatan jangka panjang.

Pakar Nefrologi dan Ketua Bahagian Buah Pinggang, Jabatan Perubatan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Lim Soo Kun berkata, meskipun dialisis berkesan untuk menyingkirkan sisa buangan dan cecair berlebihan daripada darah, ia bukanlah pengganti yang terbaik untuk buah pinggang yang berfungsi.

 

Pesakit yang menjalani prosedur ini masih terdedah kepada komplikasi kronik seperti anemia, penyakit tulang renal, penyakit jantung dan strok. Mereka juga menghadapi kekangan gaya hidup yang ketat, terutamanya dari segi pekerjaan dan perjalanan. Ini kerana dialisis adalah sejenis prosedur yang menggunakan peralatan perubatan khas dan perlu diulang dengan kerap,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Beritahu Dr Soo Kun, pesakit yang menjalani hemodialisis biasanya perlu ke pusat hemodialisis tiga kali seminggu selama kira-kira empat jam setiap kali.

Bagi mereka yang menjalani dialisis peritoneal pula, harus menjalani prosedur tersebut empat kali sehari selama 30 hingga 40 minit setiap kali dengan dialisis peritoneal ambulatory berterusan.

Ada juga yang melakukannya sekali sehari (biasanya semasa tidur) selama lapan hingga 10 jam dengan dialisis peritoneal automatik.

Dari segi ketahanan hayat, hanya kira-kira separuh daripada pesakit dialisis masih hidup dalam tempoh lima tahun selepas memulakan rawatan,“ katanya.

Pun demikian, ujar pakar terbabit, ia berbeza dengan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan memilih menjalani pemindahan buah pinggang.

Kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada mereka masih hidup dalam tempoh lima tahun selepas prosedur tersebut, beritahunya.

Serentak dengan itu, ungkap Dr Soo Kun, kualiti hidup golongan tersebut juga jauh lebih baik kerana tidak terikat dengan jadual dialisis, biarpun perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresan (antipenolakan) sepanjang hayat untuk mencegah tubuh daripada menolak buah pinggang yang didermakan.

Mereka juga tidak menghadapi risiko komplikasi kesihatan kronik akibat dialisis dan ketiadaan buah pinggang yang berfungsi. Pesakit wanita yang lebih muda khususnya, mungkin dapat membalikkan masalah ketidaksuburan yang disebabkan kegagalan buah pinggang dan mampu hamil secara semula jadi.

“Malah, amat sesuai untuk pesakit yang buah pinggangnya semakin merosot untuk mempertimbangkan pemindahan buah pinggang terdahulu (pre-emptive) iaitu sebelum memulakan dialisis,“ jelas beliau.

Dr Soo Kun memberitahu, di Pusat Perubatan Universiti Malaya, lazimnya pakar akan cuba mengutarakan kaedah pemindahan buah pinggang apabila pesakit mengalami penyakit buah pinggang kronik tahap 4 (apabila fungsi buah pinggang kurang daripada 30 peratus).

Ini kerana lebih lama pesakit menjalani dialisis, lebih banyak komplikasi akan mereka hadapi, seterusnya mengurangkan manfaat pemindahan buah pinggang.

Ujar beliau, pendekatan itu juga mempunyai hasil yang jauh lebih baik berbanding dialisis, walaupun ia dibuat beberapa tahun selepas pesakit memulakan dialisis.

Ketahanan hidup lebih tinggi

Dalam proses pemindahan buah pinggang, terdapat dua jenis penderma iaitu individu yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.

Di Malaysia, kata Dr Soo Kun, penderma yang masih hidup mestilah menawarkan buah pinggang secara sukarela (tanpa paksaan atau ganjaran seperti wang) dan mestilah mempunyai pertalian darah dengan penderma. Contohnya seperti ibu bapa, pasangan, adik beradik atau sepupu terdekat.

Setakat ini, majoriti penderma buah pinggang adalah yang masih hidup.

Bagi yang telah meninggal dunia selalunya golongan itu adalah penderma organ berdaftar. Secara amnya di Malaysia, mereka adalah mangsa kemalangan jalan raya. Mereka biasanya mengalami kecederaan kepala yang amat teruk dan dianggap telah mati otak, namun buah pinggang masih berfungsi,“ kongsi pakar terkenal itu.

Mengulas lanjut, Dr Soo Kun menjelaskan, walaupun tiada prosedur pembedahan yang 100 peratus tidak berisiko, kelebihan pemindahan buah pinggang daripada penderma yang masih hidup dipilih adalah kerana ia merupakan sejenis prosedur elektif.

Ini bermakna, pasukan perubatan, pesakit dan penderma mempunyai masa yang banyak untuk merancang dan membuat persiapan bagi pembedahan tersebut.

Risiko pembedahan juga tidak serius seperti pembedahan pintasan jantung, tetapi tidak semudah apendektomi (pembedahan untuk membuang apendiks).

Sebagai contoh, kebarangkalian untuk penderma yang mengalami komplikasi pembedahan seperti meninggal dunia akibat pembedahan pendermaan itu adalah 30 dalam 10,000, tinggi sedikit berbanding ‘disambar kilat‘ (satu dalam 100,000) atau meninggal dunia akibat kapal terbang yang terhempas (10 dalam 100,000).

“Namun, ia kira-kira tiga kali lebih rendah berbanding kematian akibat kemalangan motosikal (100 dalam 100,000). Pesakit juga biasanya perlu tinggal di hospital selepas pembedahan selama tujuh hingga 10 hari.

“Sementara, penderma biasanya dibenarkan pulang lebih awal (kira-kira tiga hari selepas pembedahan). Buat masa ini, standard penjagaan untuk pembedahan pendermaan adalah pembedahan laparoskopik invasif minimum,“ katanya.

Menjawab satu soalan, ujar Dr Soo Kun, untuk pendermaan buah pinggang daripada penderma yang masih hidup, penerima lebih cenderung memerlukan dos ubat-ubatan imunosupresan yang lebih rendah.

Ini disebabkan mereka berkongsi kandungan bahan genetik tertentu dengan penderma (mengurangkan kebarangkalian buah pinggang ditolak oleh tubuh) sekiranya mereka mempunyai pertalian darah.

Buah pinggang yang didermakan juga biasanya berfungsi dengan baik untuk jangka masa yang lebih panjang.

Ramai ibu bapa yang menawarkan diri untuk menjadi penderma, berkeras untuk memberikan buah pinggang yang ‘lebih sihat‘ kepada anak mereka, walaupun sebagai doktor, kami mengamalkan prinsip mengutamakan kesihatan penderma. Sebaliknya, apabila buah pinggang tersebut adalah daripada penderma yang sudah meninggal dunia, akan ada tempoh ‘keemasan‘ selama 24 jam untuk menyelesaikan prosedur pemindahan. Ini termasuklah masa untuk mengenal pasti penerima yang sesuai dan memastikan mereka hadir, di samping penerima dan pasukan perubatan membuat segala persiapan untuk pembedahan,“ ujarnya sambil menambah, buah pinggang yang didermakan juga mungkin tidak berada dalam kondisi yang ideal berbanding daripada penerima yang masih hidup.

Ketiadaan gen yang dikongsi juga bermakna penerima lebih cenderung untuk memerlukan dos ubat-ubatan imunosupresan yang lebih tinggi.

Namun begitu, penerima pemindahan buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia tetap mempunyai kebarangkalian ketahanan hidup yang lebih tinggi, berbanding pesakit yang meneruskan dialisis jangka panjang, jelas beliau.

 

Sangat digalakkan

Kepada SinarPlus, Dr Soo Kun berkata, meskipun pada dasarnya, pemindahan buah pinggang adalah lebih baik berbanding dialisis dari segi kesihatan keseluruhan dan hayat hidup, bilangan prosedur sedemikian amat rendah berbanding keperluannya.

Pada tahun 2020, 151 pemindahan buah pinggang telah dijalankan dengan kebanyakannya daripada penderma yang masih hidup.

Setakat ini, terdapat tujuh buah hospital yang menjalankan pemindahan buah pinggang di Malaysia iaitu Hospital Kuala Lumpur; Hospital Selayang, Selangor dan University Malaya Medical Centre, Kuala Lumpur.

Selain itu, Hospital UiTM, Selangor; Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur; Sunway Medical Centre, Selangor dan Mahkota Medical Centre, Melaka.

Berdasarkan rekod, terdapat kira-kira 25,000 pesakit yang sedang menunggu buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia iaitu kira-kira separuh daripada jumlah pesakit yang menjalani dialisis di negara ini.

“Dengan hanya kira-kira 50 pendermaan organ daripada penderma yang sudah meninggal dunia dijalankan setiap tahun, tempoh menunggu untuk buah pinggang biasanya lebih dari satu dekad.

Walaupun Sistem Peruntukan Buah Pinggang Malaysia biasanya menjalankan pembedahan berdasarkan prinsip ‘yang awal dapat dulu‘ mengikut tempoh dialisis, ia mengutamakan pesakit yang lebih muda dan tidak menghidap diabetes kerana mereka akan mendapat hasil yang terbaik daripada pemindahan buah pinggang,“ terang pakar itu.

Kesimpulannya, pesakit yang menghidap penyakit berkenaan amat digalakkan untuk mempertimbangkan kaedah pemindahan buah pinggang, sebaiknya sebelum buah pinggang mereka gagal sepenuhnya.

“Sokongan keluarga amat penting kerana pendermaan buah pinggang dari penderma masih hidup adalah lebih cepat, kurang rumit dan memberi manfaat yang lebih baik berbanding daripada penderma yang sudah meninggal dunia.

“Rakyat Malaysia yang sihat juga amat digalakkan untuk mendaftar sebagai penderma organ. Anda bukan sahaja berpeluang untuk menawarkan hadiah kehidupan kepada pesakit buah pinggang, malah kepada mereka yang memerlukan organ-organ lain,“ katanya.

 

 

ANEKDOT

MITOS dan salah faham masyarakat tentang kaedah pemindahan buah pinggang

i) 'Terapi imunosupresan membuatkan saya mudah jatuh sakit'

Fakta: Doktor bertanggungjawab untuk melaras dos ubat-ubatan bagi memastikan keseimbangan yang terbaik dapat dicapai dari segi mencegah sistem imun daripada menolak buah pinggang yang didermakan dan cukup kuat untuk melawan jangkitan.

Kemajuan dalam pemeriksaan telah membolehkan doktor mengawal dengan teliti jumlah ubat-ubatan yang diperlukan dan untuk mengkhususkan rawatan tersebut.

ii) 'Selepas pemindahan buah pinggang, saya akan boleh berhenti menjalani terapi imunosupresan pada suatu hari nanti'

Fakta: Dos ubat-ubatan mungkin dikurangkan, namun anda tidak akan boleh berhenti mengambil ubat-ubatan antipenolakan. Sistem imun anda masih boleh mengenal pasti dan menolak buah pinggang yang didermakan sebagai objek 'asing' walaupun selepas beberapa dekad pemindahan tersebut dijalankan.

iii) 'Kumpulan darah penderma dan penerima mestilah sama untuk membolehkan pemindahan buah pinggang dijalankan'

Fakta: Pemindahan buah pinggang yang tidak sama kumpulan darah atau ABO telah dijalankan di MAlaysia sejak tahun 2011. Penerima hanya perlu menjalani prosedur tambahan (dikenali sebagai pertukaran plasma atau immunoadsorption) sebelum pemindahan dijalankan bagi memastikan sebarang antigen yang tidak sesuai dengan kumpulan darah penerima dapat disingkirkan.

iv) 'Sesetengah agama menghalang pendermaan organ selepas kematian'

Fakta: Semua agama membenarkan pendermaan organ seperti yang diputuskan dalam beberapa sesi penglibatan doktor bersama pemimpin-pemimpin agama di Malaysia.

Sumber Prof Madya Dr Lim Soo Kun

 

INFORMASI terkini mengenai buah pinggang

-Pesakit kegagalan fungsi buah pinggang di Malaysia dijangka mencecah 106,000 orang menjelang tahun 2040.

-30 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda berusia bawah 45 tahun.

-Setakat 15 Februari lalu, terdapat kira-kira 40,000 pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis di seluruh negara.

-Kajian mendapati kira-kira 8,000 pesakit baharu disahkan pada tahun 2018 dan trend ini meningkat saban tahun.

-Perkhidmatan Nefrologi Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Nefrologi Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia akan melaksanakan pelbagai acara bagi memperkasa kempen untuk meningkatkan penjagaan buah pinggang kepada rakyat negara ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca